Sah, Dr Hassan ketuai bantahan PPSMI

9 January 2009

Pendapat

Pendapat Anda?

Malaysiakini | Jan 8, 2009

Bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad secara rasmi memimpin Sekretariat Selamatkan Bahasa Melayu yang kini dikenali sebagai Gabungan Mansuhkan PPSMI – yang mengancam mengadakan perhimpunan besar ala-Bersih – bagi membantah pelaksanaan dasar pengajaran dan pembelajaraan Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Pengerusi Jawankuasa Pelaksana program berkenaan, Hasni Abas berkata, Dr Hassan akan bertindak sebagai pengerusi jawatankuasa induk gabungan itu.

Menurutnya lagi, persetujuan itu dicapai dalam pertemuan beliau – yang mengetuai sembilan lagi wakil NGO dan sayap Pemuda parti pembangkang yang bergabung dalam GMP – dengan bekas ketua pengarah DBP itu di Yayasan Karyawan di Damansara tengahari tadi.

Isnin lalu, Dr Hassan dilaporkan menyatakan kesediaanya untuk memimpin gabungan itu bagi membantah pelaksanaan PPSMI.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Hasni berkata, mesyuaratnya dengan Dr Hassan juga memutuskan untuk melantik sembilan tokoh politik dan bahasa berprofil tinggi bagi mengganggotai jawatankuasa induk itu.

Mereka termasuk Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa; bekas ketua pengarahDBP, Datuk Aziz Deraman; tokoh sastera Datuk Dr Anwar Ridwan dan penyair terkenal, Dinsman.

Ditanya tentang tugas pertama Dr Hassan, Hasni berkata: “Panggil mesyuarat jawatankuasa induk.”

Perarakan keranda

Jawatankuasa induk yang dibentuk itu merupakan badan utama pembuat keputusan dalam GMP; manakala jawatankuasa pelaksana bertindak menggerakkannnya di peringkat bawah.

Hasni yang juga pengerusi Kesatuan Pekerja DBP berkata, jumlah ahli jawatankuasa induk mungkin ditambah daripada masa ke semasa, mengikut keperluannya.

Beliau sebagai pengarah jawatankuasa pelaksana, secara automatik bertindak sebagai setiausaha GMP.

Selain itu, jawatankuasa pelaksana GMP akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan gerak kerja lanjut bagi menjayakan perhimpuna besar yang dijadual Mac depan.

Selain perhimpunan ala-Bersih (Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil ) Mac depan, kerajaan juga mungkin berdepan dengan satu “perarakan keranda” Februari ini berhubung isu PPSMI oleh sebuah lagi badan bahasa, Gabungan Penulis Nasional (Gapena).

Perarakan sambil mengusung keranda sebagai simbol kematian bahasa Melayu – dinamakan Keranda 152 – akan menjadi sebuah lagi tindakan, selain tindakan mahkamah, selepas tuntutan mereka supaya kerajaan memansuhkan PPSMI tidak diendahkan.

Selain NGO Melayu, persatuan pendidikan Cina turut membantah pelaksanaan dasar itu.

Lapan NGO itu, yang diketuai Dong Jiou Zong hari ini memberikan tarikh akhir kepada kerajaan sehingga Mac ini untuk membuat keputusan atau turut menghadapi siri-siri bantahan mereka.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site