Saya di Dubai sekitar 24 jam langsung mengadakan beberapa pertemuan dengan pengurus syarikat dan konsultan utama yang sering memohon pandangan saya mengenai iklim potensi pelaburan Asia.
Kini saya bersama Azizah sedang di terminal Emirates untuk ke negara Turki.
Dan sementara menunggu pintu pesawat ditutup, saya akan memberikan beberapa respon kepada pengunjung:
(i) Soal menerima teguran dan kritikan:
Saya hargai keprihatinan saudara. Bahkan di kalangan yang mengikuti perkembangan Parti dari dekat, saudara akan sedar pesanan agar kita terus bermuhasabah dan introspeksi. Dan ini turut melibatkan isu Selangor dan Pulau Pinang. Hanya kita jangan terperangkap dengan kerenah jahat dan fitnah jajaan Umno. Media milik Umno-BN tidak melaporkan bahawa di Selangor sumbangan buat rakyat, samada bekalan air percuma, dana pendidikan, elauan guru KAFA, program khas membantu keluarga miskin. Malah lebih meloyakan ialah manakala malapetaka di Bukit Antarabangsa berlaku, rakyat cuba dikelirukan dari isu rasuah, kerakusan pentadbiran sebelumnya! Masalah kecil yang kini berbangkit dijadikan isu nasional.
Maka yang saya sanggah adalah kritikan sebegini, termasuk muslihat melaga-lagakan pimpinan parti.
(ii) Isu derita rakyat Gaza:
Jangan kita berdolak dalih, masalah umat Palestin berkisar isu penjajahan regim Zionis Israel bersama kelesuan Arab. Pendirian saya tidak pernah rapuh walaupun saya meneruskan dialog dengan semua pihak. Ini berbeda dengan kepura-puraan pimpinan yang menolak hak Hamas, melantik penasihat Yahudi, membayar puluhan juta ringgit kepada pelobi Jack Abramoff atau berunding sulit dengan Donald Rumsfeld!
ANWAR IBRAHIM
















