Archive for December 31st, 2008

31 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Akooo menanyakan:

Salam DSAI,

Saya ingin bertanya kepada Dato’ Seri mengenai KWSP.

Sejak kebelakangan ini banyak cerita mengenai kenaikan gaji/pencen kakitangan awam/swasta/OKU/pesara dan lain2 lagi.Memanglah ianya merupakan langkah yang bijak yg diambil oleh pihak kerajaan.Sekurang kurang nya dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan dapat menjana ekonomi negara seterusnya rakyat dapat hidup dengan lebih selesa lagi.

Tapi itu bukanlah perkara yang saya hendak tanyakan.Persoalan saya ialah, bagaimana dengan nasib pekerja2 yang telah diberhentikan kerja(VSS) yang telah melebihi umur 47 tahun.Mereka2 ini kalau hendak cari kerja pun rasanya tak akan berjaya memandangkan kepada usia mereka yang telah lanjut walaupun ada diantara mereka mempunyai kelayakan yg mencukupi dan merupakan golongan2 professional.Bukannya mereka malas bekerja tetapi tidak mendapat tawaran kerja.

Sekiranya mereka ini tidak mempunyai pekerjaan dan duit habuan VSS telah habis, dimanakah mereka akan mendapatkan wang untuk menyara keluarga mereka untuk terus hidup?Apakah mereka harus mencuri,merompak,menyamun,meragut?Kalau hendak berniaga atau menceburi bidang pertanian pun memerlukan wang juga.Pinjam bank?Apakah bank akan bebesar hati memberi mereka pinjaman sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang kerja tetap.Macamana nak bayar balik pinjaman?

Apakah bezanya diantara pesara atau orang yg telah pencen dengan orang yg telah diVSS?.Jawapannya,yang si pesara dapat wang pencen tiap2 bulan sedangkan orang VSS tidak dapat apa2 wang pun walhal mereka sama tidak bekerja.Apakah orang2 pencen sahaja yang harus hidup sedangkan orang VSS tak boleh hidup lagi?

Apa yang saya nampak, sumber wang yang ada bagi orang2 yang VSS adalah wang KWSP mereka.Namun ianya tidak dapat dikeluarkan kecuali umur mereka 50 tahun(itu pun dapat keluar satu pertiga sahaja dari simpanan KWSP) atau telah mencapai umur 55 tahun seperti mana yang termaktub pada Akta KWSP.Kalau ditanya kepada KWSP atau Kementerian Kewangan pun saya pasti dan yakin yang mereka akan memberikan jawapan standard iaitu “wang tersebut tidak boleh dikeluarkan kerana akan melanggar Akta KWSP”.

Kalau umur orang VSS tu dah 47 tahun kena tunggu 3 tahun lagi untuk dapat keluarkan wang itu.Dimanakah lojiknya kalau untuk 3 bulan pun mereka belum tentu boleh hidup sebab takda wang inikan pula nak tunggu 3 tahun lagi.Lebih malang lagi kalau mereka mempunyai hutang yang banyak yang perlu dibayar.

Persoalan saya selanjutnya ialah kenapa Akta KWSP tersebut tidak dapat dipinda bagi membolehkan mereka2 yg VSS mengeluarkan wang KWSP mereka walhal wang tersebut adalah wang mereka dan bukannya wang kerajaan.Sebaliknya kerajaan telah menggunakan wang itu untuk pelbagai tujuan yg tak perlu saya sebutkan dan pencaruman hidup dalam kesusahan.Dimanakah keadilan yang selalu dilaungkan2 itu?Apakah menteri tidak mempunyai kuasa2 khas untuk membuat pindaan kepada Akta KWSP itu?Apakah negara akan bankrap kalau orang2 VSS itu mengeluarkan wang2 mereka?Itu hak mereka.

Sekiranya Akta KWSP itu tidak boleh dipinda kenapa sekarang ini macam2 pengeluaran yang telah disediakan oleh KWSP?Seperti contoh, pengeluaran untuk mengurangkan baki pinjaman perumahan bulanan.Setahu saya benda ini tidak ada dizaman2 80an.Baru2 ini pulak kerajaan mengumumkan pulak yang membolehkan pengurangan caruman pekerja kepada KWSP untuk menambah pendapatan boleh guna dan akan merangsang perbelanjaan domestik sekaligus mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.Kalau benar kenyataan ini untuk momentum pertumbuhan ekonomi negara kenapa golongan VSS dipinggirkan?Bukankah jika mereka dapat mengeluarkan wang KWSP itu akan membantu dalam pertumbuhan ekonomi negara.?

Jadi saya amat bebesar hati sekiranya Dato’ Seri dapat menjawap persoalan saya ini dan seterusnya membawa isu ini ke Parlimen demi untuk menjaga kepentingan rakyat dan juga negara.

Sekian, terima kasih.

—–

Saudara Akooo,

Inshaallah nasib pekerja akan kami perjuangkan terus. Malah dalam sesi Parlimen lepas tatkala membahaskan pindaan Akta Pencen, hal tersebut juga dibangkitkan selain keperluan melabur dengan berhemat sebagai amanah membela pekerja dan bukan dana mempertahan kepentingan kroni.

ANWAR IBRAHIM

31 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

A Peace menanyakan:

Baru-baru ini saya mendengar khabar yang tak baik dari orang Umno yang mengatakan bahawa ada pergolakan di dalam kepimpinan KeADILan di Selangor.

Khabarnya Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedang dalam percubaan digulingkan dan Azmin Ali hendak dinaikkan sebagai MB Selangor baru.

Saya harap masalah dalaman KeADILan dapat diatasi segera supaya boleh bertumpu bebakti kepada rakyat di samping melunaskan janji-janji pilihanraya.

Samada ini fitnah atau tidak saya harap masalah ini wajar diatasi supaya seluruh pimpinan atas KeADILan dapat bekerja seperti biasa untuk rakyat.

Kalau tidak kerajaan Selangor takkan kekal lama lagi lima tahun kelak. PR akan terus kempunan nak perintah M`sia.

——

Saudara A Peace,

Terima kasih. Tidak wajar dilayani propaganda Umno. Sila rujuk ulasan saya di blog sabelum ini.

Wassalam.

ANWAR IBRAHIM

31 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Setiap kali tiba tahun baru, maka kita berkesempatan melakukan dua perkara; merenung kembali apa yang sudah kita usahakan sepanjang tahun yang bakal berlalu pergi serta menetapkan matlamat baru mahupun menjayakan apa yang belum kita capai.

Tahun 2008 merakamkan beberapa peristiwa bersejarah. Sekian lama kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin Umno tidak pernah digugat kedudukannya, namun tahun ini rakyat membuktikan perubahan tidak pernah mustahil untuk dilaksanakan. Nuansa politik perkauman yang dipintal bersama ketakutan ditolak rakyat.

Pilihanraya Umum ke 12 menyaksikan kerusi milik pembangkang bertambah dan menafikan Barisan Nasional majoriti 2/3. Harapan rakyat begitu besar, perubahan mesti dilakukan, makanya hasil dari persetujuan dan permuafakatan ketiga-tiga parti; Pas, Dap dan Parti Keadilan Rakyat melahirkan Pakatan Rakyat. Sepanjang tahun ini tidak dapat dinafikan pelbagai cabaran yang datang untuk menggugat permuafakatan ini.

Hasrat Barisan Nasional untuk melihat kehancuran Pakatan Rakyat nampaknya menemui jalan buntu. Mereka lupa, asas kepada permuafakatan ini berpasak kuat dari cita-cita memperjuangkan agenda rakyat dan melakukan perubahan mendasar. Perubahan adalah tuntutan melewati sempadan kaum dan politik kepartian.

Negara kita berdepan dengan kedudukan ekonomi sejagat yang tidak menentu. Kesannya kepada rakyat semain terasa. Kadar Inflasi yang tinggi menyebabkan harga barang melonjak naik. Krisis keyakinan terhadap institusi keselamatan dalam negeri juga terhadap sisten kehakiman ternyata tidak membantu menarik pelaburan bagi menjana ekonomi negara. Kita tidak boleh lagi berada dalam keadaaan penafian. Kepimpinan yang menggalas beban pastinya menghakis kepercayaan rakyat. Pengurusan ekonomi memerlukan kepimpinan yang berpandangan jauh, tegas dan jujur.

Sering saya ulangi, negara ini dan rakyatnya yang berbilang kaum sudah mengharungi pelbagai rintangan bersama. Kita yakin dengan berlakunya perubahan, dan bila negara ini mula berada di haluan yang tepat, maka sekali lagi kita akan dapat melepasi cabaran ini.

Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2009 kepada semua rakyat Malaysia.

Ubah sebelum parah, ubah demi maruah.

Selamat Tahun Baru 2009

ANWAR IBRAHIM & DR WAN AZIZAH WAN ISMAIL

31 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Bagi pihak barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat, saya menjunjung kasih dan tahniah sempena pertabalan KDYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di Pertuan Negeri Sembilan ke 11.

Saya yakin rakyat akan mendapat manfaat dengan adanya seorang Yang diPertuan yang berpengetahuan dan perihatin terhadap nasib rakyat jelata. Sesungguhnya pertabalan Tuanku merupakan amalan dari Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Saya berdoa semoga Allah S.W.T melimpahkan taufik dan inayahNya kepada KDYMM Tuanku Muhriz dan Tuanku Ampuan Tengku Datuk Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud agar selamat sejahtera bersemayam dengan penuh daulat dan kebesaran.

Di harap kan di bawah naungan Tuanku, Negeri Sembilan dan rakyatnya akan bertambah maju dan makmur.

ANWAR IBRAHIM

31 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan ganas dan tidak berperikemanusiaan regim Israel ke atas Gaza, Palestin yang menyaksikan ratusan nyawa tidak berdosa terkorban.

Tindakan kejam dan tidak bertamadun tentera Israel cukup dikesali lebih-lebih lagi selepas sambutan hari Natal yang disambut dengan semangat harmoni di seluruh dunia, juga usai sambutan Tahun Baru Maal Hijrah yang diraikan oleh umat Islam kelmarin.

Kebiadaban regim Israel keterlaluan. Mereka melancarkan keganasan kerana yakin dengan dukungan Amerika khususnya pentadbiran Bush. Dunia seolah-olah kelu, pemerintah negara Arab kelihatan tidak bermaya. Rintihan rakyat Palestin menyusuk hingga ke kalbu!

Saya menggesa agar pihak berkuasa kedua-dua negara segera menghentikan perbalahan dan mencari jalan penyelesaian segera demi memastikan keamanan dicapai, juga bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

ANWAR IBRAHIM