Perutusan Maal Hijrah 1430

29 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Menyingkap kembali peristiwa Hijrah tatkala junjungan besar Rasulullah SAW tekad mendepani agenda perubahan dengan melangsungkan perpindahan dari kota Makkah ke Madinah Al-Munawarah pastinya menggamit sanubari.

Betapa Hijrah Rasulullah SAW telah membuka lembaran baru dalam sejarah Islam, sentimen dan faham kabilah yang menebal di kalangan masyarakat Arab ketika itu diganti semangat ukhuwah Islami yang sangat erat antara kaum Muhajjirin dan Ansar yang terbentuk atas prinsip al-adli wal ihsan.

Muafakat umat Islam pada ketika itu, meski berhadapan dengan pelbagai rintangan, senantiasa memperoleh bantuan Allah atas tersematnya aqidah yang mantap demi mempertahankan sistem yang adil demi meninggalkan kezaliman dan penindasan. Demikianlah Allah berfirman melalui Surah Al-Anfal ayat 30:

“Dan ingatlah wahai Muhammad, ketika orang bukan Islam Makkah menjalankan tipu daya ke atasmu untuk menahanmu atau membunuhmu atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka, kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.”

Sepanjang tahun 1429 kita menyaksikan betapa wujud kelompongan besar dalam beberapa persoalan tadbirurus yang nyata mengenepikan prinsip mas’uliyyah (akauntabiliti) dan itqan. Justeru penghayatan semangat dan falsafah Hijrah Rasulullah perlu memberi kita iltizam baru untuk menanam tekad dan menyemai azam untuk memperbaharui kehidupan ke arah sebuah kehidupan yang diredhai, berlandaskan prinsip keadilan yang digagaskan oleh Allah SWT. Perobahan tidak akan dicapai manakala kita sebagai ummah masih gagal menempa perubahan, sebagaimana lewat firman Allah SWT melalui Al Quran:

“Sesungguhnya Kami tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka mengubah nasib mereka sendiri…” Surah Ar-Rad Ayat 11.

Bagi pihak kepimpinan KeADILan dan akar umbi seluruhnya, saya mengucapkan Salam Maal Hijrah 1430 kepada seisi umat Islam rakyat Malaysia.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site