Sembah Takziah Atas Kemangkatan DYMM Almarhum Tuanku Ja’afar

27 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Saya, Azizah serta seluruh barisan kepimpinan Parti Keadilan Rakyat menyembahkan ucapan takziah dan rasa dukacita yang teramat sangat kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Negeri Sembilan, Tuanku Najihah Binti Tuanku Burhanuddin dan semua kerabat Di Raja Negeri Sembilan di atas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia, Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.

Keprihatinan Almarhum dan Tuanku Najihah terhadap permasalahan rakyat memberi ruang secukupnya mendengar sambil bergaul selesa dengan rakyat biasa. Baginda memperlihatkan kecemerlangan di pelbagai bidang dan sewajarnya menjadi contoh buat semua rakyat Malaysia. Memulakan khidmat di sektor awam sebagai Pegawai Daerah Rembau, kemudiannya sebagai diplomat, sebelum ditabalkan sebagai Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan pada tahun 1968, Almarhum Tuanku Ja’afar sememangnya tidak dapat berpisah dengan kehidupan berbakti kepada nusa dan bangsa.

Secara peribadi kami amat sedih dan terkesan dengan kemangkatan Almarhum. Hubungan kami lebih akrab tatkala Baginda menjadi Yang Di-pertuan Agong. Malah Almarhum Tuanku tidak memperkenan pemecatan saya pada 2 September 1998, dan sehingga kini kes tersebut masih belum diputuskan secara muktamad olih mahkamah.

Kami tambah terharu manakala baginda berdua berangkat menziarah saya di Klinik Alpha, Munich sejurus satelah saya dibebaskan pada tahun 2004. Kali terakhir saya dan Azizah mengadap kebawah duli Tuanku berdua ialah beberapa bulan dahulu di Seremban.

Semuga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum dan dihimpunkan bersama orang-orang yang soleh.

Al-Fatihah.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site