Archive for December 25th, 2008

25 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

Pimpinan negeri silih berganti. Semua negeri menyaksikan perubahan barisan pimpinan setiap dua atau tiga tahun sekali. Dalam struktur pimpinan parti, pimpinan negeri lebih bersifat penyelaras. Tokoh berpengalaman akan dipindahkan ka Biro Pusat atau bertindak sebagai penasihat. Pimpinan baru berpeluang mendapat pendedahan, memperkenalkan pendakatan baru atau menarik minat kelompok baru.

Kegiatan parti masih tertumpu di peringkat Bahagian dan Pusat dengan barisan pimpinan yang dipilih secara langsung olih anggota parti.

Kita tidak bermaksud meremehkan kritikan dan dengan nada sama tidak sekali-kali melekehkan pengurbanan dan sumbangan rakan-rakan pimpinan yang berjasa di peringkat negeri atau Pusat. Perhatikan bekas Setiausah Agung, Datuk Kamarul Bahrin, kini mengetuai Negeri Sembilan; YB Johari Abdul bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah dan kini merupakan ahli MPT; Dr. Mansor Othman dulunya Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang; saudara Nik Mahmud (Kelantan); Abdul Rahman Yusuf dan Muhd M. Amin (kedua-duanya pernah memimpin Terengganu). Malah Selangor pernah dipimpin oleh Azmin Ali, saudara Abdul Rahim dan Dato’ Dr. Zainal.

Ternyata sebahagian teguran yang diluahkan samada secara terbuka atau yang ditujukan kepada saya atau Azizah selaku Presiden telah mengalihkan fakta, samada isu rundingan dengan sebahagian pimpinan negeri, biro politik atau MPT. Umpamanya ada yang menelah bahawa Pengerusi Perhubungan Negeri Perak, saudara Ismail dipecat, walhal beliau kekal sebagai Pengarah Pilihanraya Negeri. Saudara Zakaria Abd Hamid (Pahang) pula diserap ka Jawatankuasa Pilihanraya Pusat.

Usaha pimpinan Johor dihargai namun prestasi dari sudut keanggotaan, program dan pilihanraya perlu ditingkatkan. Dr. Zaleha Mustaffa merupakan satu-satunya tokoh wanita yang diamanahkan untuk memimpin di peringkat negeri. Tugas pimpinan lainnya, lama dan baru perlu digembleng untuk merangkul dan memantapkan kekuatan dengan pengawasan rapi olih Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali.

Demikianlah harapan kita bersama bagi semua negeri. Janganlah diandaikan tugas penyelaras negeri sebagai sesuatu yang tetap dan tidak harus dirombak.

Secara peribadi saya tidak cenderung untuk menyelaras kegiatan di Sabah dan Sarawak. Malah Wilayah Persekutuan juga mendesak agar saya membantu. Saya kira dengan kedudukan Tan Sri Khalid selaku Menteri Besar Selangor, beliau lebih berupaya melonjakkan kekuatan gelanggang utama parti lebih-lebih lagi dengan jaminan dan dukungan penuh olih bekas pengerusi, saudara Azmin dan YB Tian Chua. Tambahan pula tokoh kanan parti saperti YB Azmin bersama YB Sivarasa dan YB William Leong membantu beliau di Selangor.

Kesediaan saya membantu gerakan di Sabah dan Sarawak telah dijelaskan dalam kenyataan sabelum ini olih Dato’ Salehuddin Hashim (Setiausaha Agung parti). Namun ia tidak dapat meleraikan kegusaran sebahagian yang mengungkit soal suku kaum atau faham kabilah. Saya hargai jaminan mantap dari Jeffry Kitingan (Naib Presiden parti) dan bekas Pengerusi Perhubungan Negeri Sabah, saudara Ansari Abdullah.

Gelanggang parti di Sarawak kini terbuka luas dengan penyertaan ramai anggota dan pimpinan Melayu, Cina, Iban, Bidayuh, Melanau, Kedayan, Orang Ulu, Penan dan lain-lain. Maka penggemblengan tenaga tokoh lama saperti Datin Hafsah, Wan Zainal di samping YB Dominic Ng, YB Gabriel Adit, Sdr. Baru Bian, Sdr. Nicholas Bawin, Harrison Ngiau, Abang Zul dan lain-lain perlu didukung.

Cabaran berat, harapan melangit tinggi. Pimpinan dinilai dari sudut iltizam, istiqamah dan semangat tuntas. Ketaatan dan kepatuhan tetap pada perjuangan – samada tatkala didera, dirampas hak, beralih jawatan dan kedudukan. Kekuatan sabenar adalah di bahagian yang kita pimpin – diukur dari segi keanggotaan dan program.

Semuga Allah memberikan kekuatan.

ANWAR IBRAHIM

25 December 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

sya omel menanyakan:

salam DSAI…apa yang hendak ditulis ialah suara kami peringkat bawah yang lebih hampir kepada rakyat…saya remaja wanita berusia 23 tahun, seorang ahli Bloggernetwork@perak berjuang untuk menjadi penahan tomahan kepada Kerajaan Pakatan Rakyat, mengikuti perjuangan ini sejak berumur 13 tahun mula merasa bahang merebut kekuasaan atau pun gila kuasa dikalangan pemimpin parti ini.bila saya berkempen untuk parti ini saya akan ditanya dimana ISLAMNYA parti ini,dimana benarnya laungan keramat parti ini….Mungkin saya ada jawapannya…tapi bagi yang dibawah mereka melihat rentak yang diatas…!!!

Semakin hari dapat dilihat kepincangan dari soal kepimpinan baik di atas mahupun dibahagian bawah,sebagai ketua umum apakah yang dilakukan oleh DSAI dan PREsident parti untuk memperbetulkan beberapa kepincangan tersebut…Pertamanya soal TKM1 p.Pinang apakah tidak ada tindakan wajar yang perlu dilakukan,cukupkah hanya sekadar kata-kata nasihat yang acap kali diulang dan hanya dipandang remeh oleh TKM1 tersebut.Sebagai pemimpin wajarlah DS menunjukan nilai sebenar kepimpinan islam itu sendiri…Bendunglah masalah ini sebelum terlambat…Sebagai pemimpin ISLAM takutlah hanya kepada ALLAH SWT!!!Jika DS ada pandangan dan jawapan pada soalan saya emailkan kepada saya agar yang dibawah mengerti derita yang diatas….

Secara individu saya menghormati DSAI dan DSWA sebagai ibu dan Bapa penggerak REFORMASI rakyat,selagi Parti ini menegakkan kebenaran dan menjatuhkan kezaliman maka saya sedia berjihad untuk ISLAM dan ALLAH swt yang menjadi wadah perjuangan Parti ini..KALAU TAKUT DENGAN RISIKO JANGAN BICARA SOAL PERJUANGAN…LAWAN TETAP LAWAN….ALLAH HU AKBAR….

——

Saudari sya omel,

Jazakallah..dan kami menerima baik teguran saudari. Kami juga dihujani dengan pelbagai kritikan dalam hal yang sama, sebahagiannya dianggap munasabah tetapi terdapat juga tohmahan melulu.

Permasalahan tersebut ditangani sebaiknya, namun harus adil dan berhikmah. Tanpa kecuali semua pemimpin akan dipertanggugjawabkan. Maka inshaallah kami akan bertindak seandainya terdapat bukti sahih salahlaku atau kecuaian siapa saja.

Wassalamualaikum.

ANWAR IBRAHIM