Kami semua di International Crisis Group sangat bersedih dengan berita pemergian Penasihat Presiden Indonesia dan mantan Menteri Luar Ali Alatas, yang baru sahaja dipilih untuk menganggotai Lembaga Pemegang Amanah International Crisis Group. Beliau merupakan rakan kepada kebanyakan ahli lembaga pengarah dan kakitangan di sini. Kami merakamkan ucapan takziah kepada balu beliau, Junisa dan ahli keluarga beliau.
Ali Alatas terkenal sebagai seorang yang berhemah dan bijaksana, serta dihormati sebagai seorang negarawan ulung. Beliau memainkan peranan penting bagi memastikan proses peralihan yang lancar buat Indonesia, dari pemerintahan kuku besi tentera kepada sebuah negara demokrasi. Peranan beliau juga sangat penting di dalam membentuk ASEAN sebagai satu forum untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau ini serta menjadi jambatan di antara negara membangun dengan negara maju melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan forum-forum lainnya.
Saya secara peribadi merasakan kehilangan di atas pemergian saudara Ali. Beliau dan saya, sama-sama dilantik sebagai menteri luar pada tahun yang sama-1988- kami bekerjasama dengan erat bagi memulihkan hubungan di antara Australia dan Indonesia; sentiasa mencuba mencari jalan penyelesaian yang terbaik buat isu Timor Timur. Pendekatan beliau terhadap isu yang sukar itu membuatkan beliau dikenal sebagai seorang yang moderat(malah Jose Ramos Horta juga mengakuinya)dan suara konstruktif. Beliau menjalankan tugas di waktu sukar terutamanya di saat-saat akhir pemerintahan Suharto.
Beliau sentiasa berusaha untuk memastikan adanya tekanan dari luar buat junta tentera Burma yang bertindak melanggari hak asasi rakyatnya; juga sumbangan beliau pada tahun-tahun 1989-1993, di dalam merangka serta melaksanakan proses damai tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB)di Kemboja. Inisiatif yang dimulakan oleh Australia itu berhasil dengan kemahiran diplomasi Ali Alatas. Mutakhir ini kami bekerjasama bagi menjayakan inisiatif Australia-Jepun mengenai International Commission on Nuclear Non-Proliferation and Disarmament. Beliau seperti biasa, mempamirkan kebijaksanaan, juga berpengetahuan dan berpandangan jauh. Sudah tentu dengan ditemani Junisa; isteri beliau.
GARETH EVANS
President
International Crisis Group
149 Avenue Louise, Level 24
B-1050 Brussels, Belgium
(more…)