Oleh Eekmal Ahmad (dipetik dari akhbar Sinar Harian)
Politik itu merupakan gugatan tulis budayawan terkenal Indonesia Goenawan Mohamad, setidak-tidaknya itulah peranannya awal abad ke 20 di kala kolonialisme masih menguasai tanah air. Makanya politik itu menjadi pergerakan, melibatkan rakyat dan sarat dengan wacana. Ia berhadapan dengan kuasa yang jauh maju ke hadapan. Politik membantu panglima-panglimanya memahami realiti sekitar dan menghayati sejarah. Ia menggasak putera-puteranya menerima hakikat. Dan waktu itu politik tidak berundur malah ia bangkit menjadi senjata ampuh bangsa.
Pengungkapan politik itu aneh dan unik sekali. Yang biasa-biasa sahaja pasti dilupakan. Menjadi pengungkap bahasa politik memerlukan kecerdasan akal dan tenaga luar biasa. Barulah retorik menjadi tajam, memberi harapan dan inginkan perubahan. Namun ramai jua yang terperangkap. Terperusuk dalam yang biasa-biasa sahaja. Makanya bila berpeluang dengan sosok yang luar biasa hujung minggu lalu saya menjadi sedikit gementar, sedangkan ini merupakan kali kedua saya bertemu dengan Kiai Haji Abdul Rahman Wahid atau lebih dikenali sebagai Gus Dur. Kali pertama di Pejabat Pengurus Besar Nahdlatul Ulama di Jakarta.
Tiada yang biasa-biasa bagi Gus Dur. Kelaihan bukannya sebahagian dari dirinya. Bayangkan sahaja beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari pengajian syariahnya di Universiti Al Azhar kerana sudah tidak ada apa lagi yang boleh dipelajarinya di sana! Pengajian kemudiannya diteruskan di Baghdad. Empat tahun Gus Dur di sana. Puisi-puisi Imru al Qais dan al Nabighah al Dhubyani dihadam meresap. Dan dengan tiba-tiba beliau membacakan beberapa bait sajak al Nabighah di dalam Bahasa Arab yang beliau sendiri terjemahkan;
“Engkau bukan orang pertama yang menyakiti saudaramu, Jika benarlah wujud orang sesopan itu”
Dan kedatangan Gus Dur kali ini adalah untuk menemui saudaranya yang sudah dikenal lebih dari 15 tahun yang bernama Anwar Ibrahim. Persahabatan yang dimeterai kerana percaya Islam itu bukannya asing dari Demokrasi. Persahabatan yang diikat kukuh bahawa keunggulan budaya tidak boleh sama sekali disisihkan jika ingin melihat ketamadunan dibina dan mereka berdua percaya keadilan adalah hak untuk semua. Maka tidak hairanlah Gus Dur hadir memberi sokongan kepada sahabatnya yang menjangkau umur 61 tahun pada 10hb Ogos lalu. Beliau ingin mengetahui perkembangan kes pertuduhan liwat dan juga persediaan pilihanraya kecil Permatang Pauh yang dihadapi oleh sahabatnya itu.
Kedua-duanya berusaha merubah lanskap politik negara masing-masing kerana mereka mempunyai kepercayaan yang sama; sistem demokrasi adalah pilihan tepat untuk masyarakat, baik buat Indonesia mahupun Malaysia. Oleh itu Gus Dur memilih untuk bertanding pada pilihanraya untuk memilih Presiden Indonesia pada tahun 2009 akan datang di atas tiket Parti Kebangkitan Bangsa(PKB). Perasaan tanggungjawab sebeginilah membuatkan kedua-duanya berusaha memimpin perubahan. Kerana bagi mereka politik bukan sekadar kembang api, ianya adalah getaran yang mencipta tekad dan hasrat, untuk mencipta perubahan yang lebih baik bagi rakyat seluruhnya. Ikatan yang kuat ini membuatkan Gus Dur untuk tidak teragak-agak menandatangani surat bersama Sandra O’ Connor mantan Hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat, surat yang tegas menyatakan, ‘mempertahankan Anwar Ibrahim adalah mempertahankan demokrasi di Malaysia.’
Pengalaman pahit membuatkan Gus Dur begitu membenci sistem tirani yang menindas. Di Baghdad, beliau sering mengunjungi rumah salah seorang pensyarah yang dekat dengannya. Tiga kali seminggu beliau akan mengunjungi Syeikh Aziz Badri, seorang tokoh Ikhwan Irak, hinggalah pada satu ketika Regim Saddam Hussein menculik gurunya itu dan hanya selepas tiga hari barulah mayatnya dihantar ke rumah. Gurunya disiksa sehingga menemui maut.
“Pada saat itu saya amat membenci tirani dan Saddam Hussien” jelas Gus Dur.
Kegetiran melalui pemerintahan kuku besi dan terpaksa berhadapan dengan diktator tua yang berpengaruh, dialami sendiri oleh Gus Dur pula bila memimpin organisasi Nadlatul Ulama yang diasaskan oleh datuk beliau Kiai Haji Hasyim Asyaari.
“Soeharto tiga kali cuba membunuh saya.” jelas Gus Dur kepada saya. Pendedahan ini mengejutkankan kami.
Menyedari hakikat inilah membuatkan Gus Dur menyampaikan hasratnya kepada bekas Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dr Mahathir, sebanyak tiga kali, agar membebaskan Anwar Ibrahim. Ternyata usahanya tidak berhasil, namun hasrat itu berjaya menarik perhatian antarabangsa untuk memastikan Anwar Ibrahim tidak diapa-apakan oleh pemerintah ketika itu.
Sudah hampir 10 tahun peristiwa gelap dalam sejarah Malaysia itu berlalu. Kini semuanya mengharap untuk bergerak ke hadapan. Sentimen rakyat mahukan perubahan sungguh kuat sekarang. Rakyat mahukan pemerintahan yang telus, terbuka dan adil. Mereka sudah muak dengan salah urus ekonomi negara. Anwar Ibrahim selaku pemimpin Pakatan Rakyat dilihat mampu untuk membawa perubahan. Gus Dur ternyata mempunyai sentimen yang sama.
“Anwar akan menjadi pemimpin yang baik bagi Malaysia” kata Gus Dur. “ Beliau akan menjadi pemimpin yang teguh bersama demokrasi dan melindungi hak etnik lainnya” tambahnya lagi.
“Indonesia beruntung kerana keterbukaan untuk etnik serta agama lainnya sudah lama mengakar dalam kebudayaan Indonesia, misalnya Bhinneka Tunggal Ika itu dari Kekawin Sutasoma karangan Mpu Tantular warisan Majapahit abad 12” tambah Gus Dur kepada saya. Gus Dur juga menyedari ia tidak boleh berhenti di situ sahaja. Cabaran dan tantangan pasti datang pada masa hadapan untuk menidakkan prinsip demokratik dan keterbukaan di Indonesia.
Ini bermakna rakyat Malaysia harus percaya di dalam mencipta Malaysia yang baru, harus kekal teguh untuk memperjuangkan demokrasi dan membina negara yang makmur. Malaysia sekarang sedang berada di persimpangan, ianya merupakan saat penentu bagi 25juta rakyat Malaysia, dari Perlis hinggalah ke Sabah. Pilihanraya Permatang Pauh akan menjadi bongkah awal untuk membina satu cita-cita yang lebih besar iaitu Malaysia yang demokratik dan adil untuk semua.
















