Alhamdulillah, kami selesai menyempurnakan umrah. Didoakan semoga umrah mabrur, sa’i mashkur, wa’amalan salihan, watijartan lan tabur!
Seringkali umrah saya singkat. Maka saya tumpukan waktu beristighfar dan munajat di Masjidil Haram.
Kami ketemu jamaah lain dari Malaysia, Indonesia dan lain-lain termasuk pelajar yang turut menyapa saya. Maaf kerana tidak melayani sebarang acara lain.
Saya beranggapan dengan kesibukan menangani isu politik dan keduniaan, wajar diperuntukkan waktu dalam urusan kerohanian.
A.K. Brohi, pemikir dan sarjana undang-undang Pakistan pernah mengingatkan saya sejurus mencebur diri dalam politik pesanan ahli sufi Sindhi berdasarkan Hadith Rasulullah saw. Menurutnya, ibarat sekuat besi di dalam air; akhirnya berkarat jua! Justeru wajib diangkat dan diselaputi minyak dari masa ke masa sebelum dibenamkan semula di dalam air. Begitu juga kita aktivis yang bergelut dalam kancah politik, perniagaan atau sebarang lapangan, harus ada waktu beruzlah, munajat dan memperkuat aqidah (iman amiq) dan kerohanian.
Selain itu kupasan pemikir Ali Shariati mengenai ibadah Haji yang sewajarnya mendorong kita ke arah amal dan perjuangan. Pejuang kulit hitam, Malcolm X (Shahid A. Malik As-Shabaz) pernah mencatat pengalamannya menyempurnakan ibadah Haji dalam sepucuk surat kapada kakaknya. Pakaian ihram, ucapan labbaikalLahum malab baik, menyemat semangat persaudaraan yang membenamkan kebencian kelas dan kasta, atau prasangka warna kulit.
Mudah-mudahan kita dapat mengasah kesedaran yang sama di kalangan jamaah.
ANWAR IBRAHIM