
Mengatur temu janji dengan lelaki yang dikagumi ramai ini bukanlah sesuatu yang mudah. Memahami jadualnya yang ketat, kami sekadar mencuba. Meletakkan sedikit harapan untuk dikongsi ceritanya bersama pembaca NONA. Awal-awal lagi, kami sudah ketepikan cerita tentang politik. Bukan itu yang kami inginkan. Cukuplah apa yang dipaparkan di dada-dada akhbar, televisyen dan halaman blog.
Kami sememangnya mahu keluar dari belenggu kisah begitu. Kami mahu mendekati cerita hatinya tentang anak-anak dan keluarga. Tentang puteri sulungnya yang berwajah lembut itu. Ya, sememangnya bukan mudah untuk mencari ruang dan waktu untuk kedua-duanya; Datuk Seri Anwar dan Nurul Izzah untuk ditemu bual serentak.
















