Laporan AIC: Solidariti Ke Atas Raja Petra Kamaruddin

8 May 2008

Pendapat

Pendapat Anda?

7 Mei 2008, Sungai Buloh – Satu majlis ringkas “Solidariti Ke Atas Raja Petra Kamaruddin” telah berjaya dilangsungkan di hadapan penjara Sungai Buloh yang bermula kira-kira jam 9.15 malam semalam. BERNAMA.TV melaporkan lebih 300 orang telah hadir untuk menunjukkan sokongan dan membantah penahanan terhadap Raja Petra. Antara yang hadir adalah penyokong Kelab Anwar Ibrahim (AIC), ahli-ahli PKR, PAS, DAP dan para penulis blog. Turut hadir adalah YB Ronnie Liu ADUN Pandamaran, YB Sim Tze Tzin ADUN Pantai Jerejak dan Puan Marina Lee Abdullah, isteri kepada Raja Petra.

Perhimpunan tersebut dimulakan dengan konvoi beramai-ramai dari pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya. Mereka turut membawa sepanduk dan poster yang mendesak tuduhan keatas Raja Petra digugurkan, menuntut kebebasan dan ketelusan media dan keadilan untuk Altantuya. Para peserta perhimpunan telah berkumpul secara aman dan teratur dihadapan penjara Sungai Buloh sambil memegang lilin dan kain rentang yang tertulis “Justice for All…Tantuya” (Keadilan untuk semua dan Altantuya). Para peserta juga turut membacakan doa dan puisi untuk Raja Petra. YB Ronnie Liu dilaporkan telah membuat pengumuman untuk mencetak 1000 helai kemeja-t yang tertera gambar Raja Petra serta tulisan “Justice for All…Tantuya” didalam masa terdekat.

Segerombolan kira-kira enam puluh orang anak-anak muda dari AIC pula telah berjaya mengumpulkan tandatangan pada peserta solidariti untuk diserahkan kepada Datin Seri Wan Azizah Ismail, Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia. Selain dari itu mereka juga menggesa kerajaan agar tidak berlaku zalim kepada rakyat dengan memanipulasikan akta-akta tertentu disamping menyekat kebebasan media dan maklumat. Walaubagaimanapun, Sekretariat AIC mengucapkan terima kasih kepada pihak keselamatan pada malam itu kerana memberikan kerjasama untuk mengawal keadaan serta tidak memprovokasi para peserta perhimpunan aman tersebut.

Sementara itu, Raja Petra, 58, diberitakan telah bersetuju untuk diikat jamin dan dijangka akan dibebaskan esok 9 Mei 2008 selepas bertemu dengan isterinya hari ini. Raja Petra sebelum itu enggan diikat jamin dan dimaklumkan oleh pegawai penjara enggan untuk bertemu dengan sesiapa. Raja Petra ataupun lebih dikenali sebagai Pet ditahan dibawah Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan. Mengikut laporan dari www.mstar.com.my, Raja Petra, 58, merupakan penulis blog pertama yang didakwa mengikut Akta Hasutan 1948 kerana dituduh menulis artikel bertajuk Let’s Send The Altantuya Murderers to Hell; yang kononnya mengandungi ayat-ayat menghasut di lawan web Malaysia Today.

Perbicaraan kes Raja Petra ini ditetapkan pada 6 Oktober 2008

Pihak Sekretariat AIC ingin mengucapkan terima kasih kepada semua para peserta yang telah menjayakan Solidariti Ke Atas Raja Petra Kamaruddin pada malam tersebut dan juga kepada para wartawan yang telah sudi membuat liputan.

Pendapat Anda