Majlis pelancaran dua buku Allahyarham Rustam A Sani di Perpustakaan Selangor menyentuh perasaan kami, sayu setelah kehilangan sahabat, rakan pejuang dan pemikir bangsa yang disegani. Terbayang kepiluan di wajah Rohani dan anak-anak. Namun merasa kagum dengan kecekalan mereka, serta kepetahan perbicaraan kedua anaknya.
Fikiran saya melayang mengenangkan jaguh dan pejuang yang telah kembali ke alam baqa’ – Almarhum-almarhum Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Niamat Yusuf, Sheikh Azmi Ahmad, Usman Awang, A Razak Ahmad, Pak Lang M Zaki A Rashid, Umar Tan dan lain-lain.
Sorotan Sdr Syed Husin Ali, guru dan rakan lama Allahyarham Rustam dan ayahnya Ahmad Boestamam saya kira padat. Beliau menyinggung perawakan Allahyarham dan pengorbanannya dalam perjuangan bersama PRM dan KeADILan hinggalah merangka manifesto KeADILan dalam PRU lalu. Sentuhan halus dengan bahasa dan puisi pendek yang memukau daripada Sasterawan Negara A Samad Said, penampilan Allahyarham sebagai sarjana wibawa dan prihatin oleh Prof Clive Kessler, serta penglibatannya dalam aktiviti Kelab Sosialis dan aktiviti demonstrasi.
Saya diundang Allahyarham beberapa minggu sebelumnya untuk melancarkan buku. Namun saya sempat menukil pengalaman bersamanya, teguran yang diterima termasuk terhadap menteri yang melancarkan buku yang tidak dibaca, apa lagi dihadam. Maka untuk berlaku adil kapada pemikir bangsa tersebut, saya turut mengupas karya Allahyarham, kegelisahannya lantaran merosotnya mutu pendidikan negara, tekadnya mempertahankan mutu penguasaan dan pembakuan bahasa. Pokoknya beliau mencabar minda dan meransang wacana segar terutama dalam iklim politik yang membelenggu pemikiran.
Kesempatan singkat bersama A Samad Said, A Bakar Hamid, Hassan Ahmad, Syed Ahmad Jamal, saya menfaatkan untuk menyentuh inisiatif lanjut memperhebat wacana mengenai isu bahasa, budaya dan ekonomi.
ANWAR IBRAHIM
















