Archive for April, 2008
Respon Kepada Pengunjung
Terdapat respon pengunjung yang wajar diulas.
Berkaitan penyertaan Ahli Parlimen bersama PR, ada yang menyanggah sebagai tidak beretika. Mengapa tidak disentuh isu moral dan etika tatkala menilai prestasi SPR yang dinodai dengan penipuan, undi pos, sekatan media, rasuah!
Yang disarankan adalah pemerintahan bersih dan adil, royalti 20 peratus untuk negeri pengeluar minyak - Sabah, Sarawak dan Terengganu.
Walaubagaimanapun, kaedah pengurusan kewangan akan diperketatkan dan keutamaan adalah pembinaan prasarana asas, tumpuan pendidikan, kesihatan dan pembasmian kemiskinan. Malah yang lebih menarik adalah justeru kesediaan Ahli Parlimen BN yang memohon untuk menyeberang.
Tan Sri Khalid ditohmah kononnya rasuah. Demikianlah propaganda jijik BTN dan sekutu. Perasuah dilindungi dan pejuang rakyat dikhianati. Apakah saudara kira Umno-BN akan mendiamkan diri jika ada secebis bukti utk didakwa?
Isu Foundation for the Future telah dikupas. Yang mengusulkan saya adalah Turki dan Qatar. Saudara asyik saja dengan Yahudi. Walhasil pembiaya Jack Ambramoff (Pelobi Yahudi) dan pertemuan dengan si zalim Sharon sanggup saudara lindungi.
Sambutan pengunjung lain termasuk dari Sabah dan Sarawak mengenai perkembangan politik mutakhir amat menyegarkan.
ANWAR IBRAHIM
Majlis pelancaran dua buku Allahyarham Rustam A Sani di Perpustakaan Selangor menyentuh perasaan kami, sayu setelah kehilangan sahabat, rakan pejuang dan pemikir bangsa yang disegani. Terbayang kepiluan di wajah Rohani dan anak-anak. Namun merasa kagum dengan kecekalan mereka, serta kepetahan perbicaraan kedua anaknya.
Fikiran saya melayang mengenangkan jaguh dan pejuang yang telah kembali ke alam baqa’ - Almarhum-almarhum Ustaz Fadhil Nor, Ustaz Niamat Yusuf, Sheikh Azmi Ahmad, Usman Awang, A Razak Ahmad, Pak Lang M Zaki A Rashid, Umar Tan dan lain-lain.
Sorotan Sdr Syed Husin Ali, guru dan rakan lama Allahyarham Rustam dan ayahnya Ahmad Boestamam saya kira padat. Beliau menyinggung perawakan Allahyarham dan pengorbanannya dalam perjuangan bersama PRM dan KeADILan hinggalah merangka manifesto KeADILan dalam PRU lalu. Sentuhan halus dengan bahasa dan puisi pendek yang memukau daripada Sasterawan Negara A Samad Said, penampilan Allahyarham sebagai sarjana wibawa dan prihatin oleh Prof Clive Kessler, serta penglibatannya dalam aktiviti Kelab Sosialis dan aktiviti demonstrasi.
Saya diundang Allahyarham beberapa minggu sebelumnya untuk melancarkan buku. Namun saya sempat menukil pengalaman bersamanya, teguran yang diterima termasuk terhadap menteri yang melancarkan buku yang tidak dibaca, apa lagi dihadam. Maka untuk berlaku adil kapada pemikir bangsa tersebut, saya turut mengupas karya Allahyarham, kegelisahannya lantaran merosotnya mutu pendidikan negara, tekadnya mempertahankan mutu penguasaan dan pembakuan bahasa. Pokoknya beliau mencabar minda dan meransang wacana segar terutama dalam iklim politik yang membelenggu pemikiran.
Kesempatan singkat bersama A Samad Said, A Bakar Hamid, Hassan Ahmad, Syed Ahmad Jamal, saya menfaatkan untuk menyentuh inisiatif lanjut memperhebat wacana mengenai isu bahasa, budaya dan ekonomi.
ANWAR IBRAHIM
Lawatan ke Kelantan
Akhbar Sinar melaporkan berita pertemuan saya dengan Tuan Guru Nik Aziz semalam. Saya hargai dukungan padu beliau kepada Pakatan Rakyat dan langkah-langkah yang akan diambil berikutnya.
Kerajaan Kelantan akan mengadakan mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat pertama di Kota Baru memandangkan pengalaman dan kewibawaan beliau.
Saya juga menemui perhubungan negeri, pekerja Pakatan Rakyat Ketereh, Kuliah Maghrib, merasmi Bilik Gerakan Machang bersaman Saifuddin dan dua ceramah malam di Machang.
ANWAR IBRAHIM
Saya merujuk kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan Malaysia yang dilaporkan oleh akhbar tempatan hari ini (April 25, 2008) tentang pemecatan Iran dari Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2008 di Kuala Lumpur atas alasan negara tersebut telah melanggar resolusi 1747 dan 1803 Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Resolusi-resolusi tersebut melarang sama sekali memindah dan menjual kepada negara lain bahan dan peralatan yang boleh membunuh dan memusnah.
Nampaknya dalam hal ini, Malaysia telah tunduk kepada desakan dari Amerika Syarikat dan rakan-rakan sekutunya. Pameran ini adalah untuk semua negara berdaulat yang ingin mengambil bahagian secara bebas, bukan untuk menjual senjata dan alat pertahanan lain. Oleh itu, Malaysia sebagai tuan rumah bebas menjemput negara yang sanggup mengambil bahagian tanpa syarat. Kerana itu Iran telah dijemput oleh Malaysia untuk mengambil bahagian dalam DSA2008. Mustahil sekali apabila Malaysia membuat keputusan tergempar tentang penyertaan Iran itu. Malaysia sebagai negara berdaulat dan bermaruah sepatut mengamalkan dasar laur yang bebas dan tidak boleh tunduk kepada arahan dari Amerika Syarikat dan kuasa lain.
Oleh yang demikian, saya berasa dukacita dengan tindakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan terhadap tertamu kita, Iran.
ANWAR IBRAHIM
Saya ke Mambong, Sarawak melancarkan KeADILan yang memperoleh keahlian baru terutama di kalangan suku kaum Bidayuh.
Sesudah itu di Kuching saya menemui pimpinan KeADILan Sarawak dan wakil media.
16 tokoh politik, sarjana dan profesional Iban menyertai KeADILan serentak. Ini termasuk tokoh penting Nicholas Bowing, Stanley (Setiausaha Agung SNAP), Derryl (Ketua Pemuda SNAP), dan lain-lain. Penyertaan mereka jelas memberi nafas baru kepada perjuangan kita di Sarawak.
Setibanya di KLIA saya mengadakan perbincangan dengan Simon Zadek, Pengarah Eksekutif Accountability.
ANWAR IBRAHIM
Semalam di Sabah
Bikin penguasa gelabah
Ada konco melatah
Konon kita merasuah!
Sambutan di dewan sesak, termasuk dikalangan rakyat dan profesional. Majlis disusuli dgn penerimaan ribuan ahli baru.
Sdr Ansari dan Dr Jeffrey memulakan ucapan menekankan masa depan terjamin dibawah KeADILan dan Pakatan Rakyat.
Saya menyorot kembali pengalaman Pilihanraya Umum Ke-12 yang dinodai dengan penipuan dan tipu helah. Namun kemenangan di Semenanjung cukup menakjubkan.
Kita ulangai jaminan keadilan buat semua, royalti minyak 20 peratus.
Maka sukar buat Ahli Parlimen menolak pelawaan kita berdasarkan tawaran yang menunjukkan kepedulian terhadap rakyat.
Tidak ketinggalan menjelang tengah malam adalah celoteh khas secara rahsia dengan ahli parlimen BN!!
ANWAR IBRAHIM
Merujuk komen-komen berkenaan bidasan Tun Dr. Mahathir:
Dr Fulus diminta teliti Agenda Ekonomi Malaysia.
Mengenai analisa krisis kewangan 10 tahun lalu, sila rujuk ucapan saya di Singapura.
Saya menerima baik pandangan sdr-sdr utk mengenepikan saja leteran Tun Dr. Mahathir.
ANWAR IBRAHIM
KeADILan dan Pakatan Rakyat dikejutkan dengan pemergian Allahyarham Rustam A. Sani ke rahmatullah, sekitar jam 3.00 pagi tadi. Dikhabarkan Allahyarham diserang sakit jantung pada waktu berkenaan di rumahnya di Bukit Lela.
Awal pagi tadi saya dan Azizah segera menziarahi Allahyarham.
Pemergian beliau adalah kehilangan besar buat perjuangan kita, khususnya beliau antara pimpinan Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang gigih dan komited sewaktu berada di dalam Barisan Alternatif dahulu, sehinggalah ke fasa penggabungan PRM-KeADILan pada tahun 2004.
Allahyarham akan sentiasa diingati dengan analisis tajam dan tepatnya, mengulas mengenai isu-isu semasa daripada sudut pandang beliau yang tersendiri. Saya agar terkilan kerana saya dijadualkan akan merasmikan karya terbaru beliau, “Social Roots of the Malay Left” dan “Failed Nation?” pada Sabtu ini.
Ternyata Allah SWT lebih menyayangi Allahyarham. Kini, karya-karya Allahyarham akan terus tinggal mengisi ruang wacana intelektual yang kosong lantaran pemergian Allahyarham. Kita kehilangan tokoh akademia yang kritis.
Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atasnya.
Al Fatihah.
ANWAR IBRAHIM
Ramai yang menggesa saya memberikan respon balas ke atas bidasan Dr Mahathir. Tidak perlu saya melayani bidasan tersebut. Dengan ruang media yang agak terbuka sedikit, rakyat lebih terdedah dengan maklumat.
Dr M memilih untuk membela peguam peribadi beliau VK Lingam - correct..correct..correct!
Pastinya terlalu berat baginya memikul beban dan bahana dari membara semula kes penyingkiran Tun Salleh Abbas dan hakim Mahkamah Persekutuan!
Dan saya musykil dengan tegurannya terhadap sikap “penakut” Dato’ Seri Najib, apakah helah atau muslihat?
ANWAR IBRAHIM
PM Abdullah meneruskan siri pengulangan pengumuman menarik. Kali ini beliau ingin menambah taring BPR.
Kalangan yang sabar, boleh saja menunggu.. Perubahan hanya bermakna dengan peruntukan undang-undang dan bidang kuasa jelas termasuk pendakwaan. Pegawai juga harus bebas dan berwibawa.
Ujian awal ialah fail kes rasuah besar yang bertimbun yang masih tersimpan di almari!
Semalam saya dan Azizah sempat menziarah Tuan Guru Haji Hadi di samping berbincang gagasan PR serta beberapa langkah lanjut. MB Kedah Ustaz Azizan, Dr. Hatta dan Dr. Syed Azman hadir bersama.
Di sebelah petang saya berbual panjang dengan Sdr. Lim Kit Siang dan Dr. Chen Man Hin di sekitar mauduk yang sama.
Mudah-mudahan kerjasama malah muafakat yang terjalin dapat terus dimantapkan.
ANWAR IBRAHIM






Komen Terkini