Jumaat, 1 Febuari 2008 (Kedah-Perlis)
Dato Seri Anwar bersama rombongan dari Kuala Lumpur tiba di tol Gurun jam 3 petang untuk ke Program di Dun Naka. Dun Naka adalah salah sebuah kawasan DUN di bawah Parlimen Pedu.

Kawasan ini mempunyai jumlah penduduk Melayu-Siam yang agak tinggi kerana terletak di sempadan Malaysia-Thailand. Perjalanan kami dari Tol Gurun ke Lebuk Merbau dan Naka yang mengambil masa hampir 1 jam diiringi dengan hujan rahmat yang turun ke muka bumi. Setibanya di sana, penduduk kampung telah berkumpul untuk mendengar amanat Dato Seri Anwar. Turut bersama adalah Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail, Pengerusi Perhubungan Negeri Kedah Sdr Zamri, Sdr Wan Salleh dan juga Sdr Johari Abdul dan beberapa pimpinan BA Negeri Kedah yang lain.
Terdapat dua program yang telah diaturkan pada hari ini, saya amat terperanjat dan gembira apabila melihat sambutan rakyat di kawasan itu membuktikan bahawa propaganda picisan UMNO-BN tidak lagi dilayan oleh rakyat di bandar mahupun kampung.
Dari Naka, kami bergerak ke Kuala Kedah untuk Solat Maghrib dan Tazkirah. Surau yang sederhana itu dipenuhi ratusan Umat Islam di bahagian dalam dan luarnya untuk mendengar tazkirah oleh DS Anwar.
Dalam Tazkirah beliau, DS Anwar menitikberatkan soal keadilan terhadap setiap insan yang diajar oleh agama Islam dan juga soal pembangunan. Beliau memetik kupasan Dr. Jaafar Sheikh Idris, seorang Sarjana dan Ulama dari Sudan yang menyebut jika kita ingin bicarak soal pembangunan, ia mesti bermula atau pangkalnya daripada diri dan akidah. Kerana akidah itu mencernakan akhlak dan dari ahklak yang baik itu barulah terbinanya sebuah tamadun.
Selesai sahaja Tazkirah, kami terus bergerak menuju ke Perlis. Kali ini, DS Anwar akan melawat bandar Kangar. Program pertama bersama masyarakat Cina di Dewan Kelab Hokkien mendapat sambutan yang cukup baik.
Walaupun hujan turun lebat, Dewan itu tetap dipenuhi ratusan masyarakat Cina. Tidak berubah sedikitpun teras ucapan DS Anwar semasa Tazkirah sebentar tadi, beliau tetap dengan pendirian untuk menjamin keadilan bagi semua kaum.

Tiba masanya untuk kemuncak program pada hari ini, iaitu Ceramah Perdana di Utan Aji, Kangar. Walaupun terdapat tekanan dari pihak atasan yang begitu hebat terhadap penganjur, program tetap berjaya dilaksanakan. Tidak kurang 10,000 hadirin dari setiap golongan rakyat membanjiri kawasan lapang itu.
Tindakan berani petugas BA di sana untuk tidak tunduk kepada tekanan pihak atasan memastikan program itu berjaya. Syabas!
Ceramah berakhir jam 12 malam dan kami bergerak ke Sungai Petani untuk berehat seketika sebelum terus beraksi esok hari!
Sabtu, 2 Febuari 2008. (Pulau Pinang)
Seawal jam 9 pagi di Hotel Seri Malaysia, Perhubungan Negeri Kedah mengadakan mesyuarat bersama DS Anwar.
Kami kemudiannya bertolak ke Pulau Pinang untuk program-program yang telah diaturkan pada hari ini. Sebelum itu DS Anwar membawa kami untuk melawat rumah beliau di Cheruk Tok’un. Di rumah sederhana inilah, Mantan Timbalan Perdana Menteri dan pejuang rakyat ini dibesarkan. Rumahnya cukup sederhana, tidaklah berdiri gah mewah dan tidak pula punyai lampu Chandelier yang diimport. Di hadapan rumah terdapat sebuah galeri yang dinamakan Galeri Pejuang. Galeri ini menempatkan barang- barang dan gambar memori perjuangan DS Anwar membela rakyat. Sempat kami menjamu selera masakan kampung di rumah DS Anwar.
Merentasi jambatan Pulau Pinang jam 2.30 petang, kami tiba di Hang Chiang College beberapa minit selepas itu untuk sesi soal-jawab yang diadakan di dewan auditorium.
Majoriti yang menghadiri sesi soal-jawab ini adalah masyarakat Cina, beberapa persoalan tajam diajukan kepada DS Anwar oleh pengacara dan juga hadirin namun DS Anwar menjawab dengan penuh yakin lantas memberi keyakinan kepada hadirin untuk membuat pilihan yang tepat semasa pilihanraya nanti.
Dari Hang Chiang College, kami bergerak ke kawasan Parlimen Balik Pulau. Dua program yang diaturkan tidak kurang hebatnya. Majlis Sepetang Bersama DSAI menyaksikan lebih kurang 2000 penduduk kampung, majoriti Melayu berkumpul mendengar ucapan DSAI. Dibawah terik panas matahari petang di Bilik Geraka Keadilan Kuala Sungai Pinang ini, mereka setia tetap setia bersama DS Anwar.
Selesai solat Maghrib di rumah Dato Zahrain yang juga Pengerusi Perhubungan Negeri Pulau Pinang, kami bertolak untuk tiga lagi program yang diaturkan di sebelah malam di kawasan Parlimen Bayan Baru. Sambutan di ketiga-tiga progam cukup hebat, ribuan penduduk Bayan Baru dari semua kaum memenuhi program-program tersebut. Apa yang menarik, walaupun hujan lebat turun dan bekalan elektrik terputus semasa Ceramah Perdana diadakan, ribuan rakyat tetap hadir dan setia mendengar ceramah DS Anwar hingga lewat malam.
Selesai sahaja Ceramah Perdana kami terus bertolak balik ke Kuala Lumpur. Dengan yakin, semua harus bekerja keras untuk menumbangkan kerajaan korup UMNO-BN. Tidak kira siang atau malam, DS Anwar sanggup berpenat lelah demi masa depan anak Malaysia. Saya yakin, kali ini berkat kerja keras kejayaan akan menyebelahi kita. Dimana sahaja kami pergi, angin perubahan bertiup kencang. Berlainan dengan tahun-tahun sebelumnya kali ini benar-benar orang Melayu, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia komited untuk satu perubahan!
Harapan Baru Untuk Malaysia!
Gambar-gambar dan laporan oleh anwaribrahimclub.com





















