Minggu ini Majlis Raja-Raja akan memutuskan samada khidmat Ketua Hakim Ahmad Fairuz akan dilanjutkan atau tidak.
Gesaan reformasi kehakiman yang dibuat oleh Bekas Ketua Hakim Negara, Sultan Azlan Shah semalam sewaktu merasmikan Konferensi Undang-UNdang Malaysia ke-14 semalam adalah begitu sesuai dan tepat pada masanya. Kredibiliti kehakiman Malaysia sudah berada di tahap yang paling rendah dalam sejarah 50 kemerdekaan negara. Fakta yang didedahkan di dalam perbualan VK Lingam – Fairuz jelas membuktikan penyelewengan dan korupsi di mana peguam, ahli perniagaan dan ahli politik mempengaruhi perlantikan hakim di peringkat tertinggi di dalam negara ini.
Reformasi kehakiman menyeluruh adalah sesuai dengan memulakan satu Suruhanjaya Bebas Kehakiman untuk memantau perlantikan hakim.
Saya menggesa Majlis Raja-Raja dan Yang DiPertuan Agong, yang dijadualkan akan bersidang pada 30 dan 31 Oktober ini, memastikan bahawa kedudukan Tun Ahmad Fairuz sebagai Ketua Hakim Negara tidak akan disambung selepas bulan ini. Permintaan Perdana Menteri Abdullah kepada Yang DiPertuan Agong untuk melanjutkan perkhidmatan Fairuz menunjukkan kelemahan pemahaman beliau ke atas nilai integriti kepimpinan sebuah negara, lantas ini perlu diubah demi kepentingan negara dan sistem kehakiman itu sendiri.
ANWAR IBRAHIM
















