Program Ceramah Perdana Parlimen Pandan

28 October 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

img_2924.jpg

img_2901.jpgimg_2914.jpgimg_2922.jpg
img_2886.jpgimg_2891.jpg

*kredit buat sdr Kiki Gridawangsa

Catitan Perjalanan Program oleh Sdr Din Merican [dipetik daripada Laman M@rhaen]

5000 orang penduduk Kawasan Parlimen Pandan yang berkumpul di Padang Cheras Indah telah memberikan Dato Seri Anwar Ibrahim satu sambutan meriah ketika dia tiba pada 9 malam 26 Oktober, 2007 untuk memberikan ceramah di Malam Solidariti dan Ceramah Perdana.

Mereka telah berada di sana sejak 8 pm mendengar Tan Sri Khalid Ibrahim, Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Dato Hassan Ali daripada PAS dan YB Teng Chan Kim, ADUN Selangor daripada DAP.

Setelah bersalaman dengan ramai penduduk di sana, Dato Seri Anwar telah duduk di satu tempat yang dikhaskan kepadanya di atas pentas. Para hadirin telah dihiburkan dengan satu pita video rakaman bertajuk “Correct, Correct, Correct’ yang memaparkan seorang peguam bernama VK Lingam. Beliau dilihat sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz yang kini masih menjadi Ketua Hakim Malaysia. Perbualan ini berlaku pada satu ketika dalam 2002 . Jelas ia menunjukkan betapa mereka terlibat dengan Tunku Adnan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan tauke judi Vincent Tan dalam satu muslihat untuk menentukan siapa yang patut naik menjadi hakim supaya mudah mereka pengaruhi dalam menentukan keputusan pengadilan mahkamah.

Pita rakaman itu hanya untuk 8 minit sahaja. Ketika para hadirin merasa seronok dengan tingkah laku si penyangak, mereka ternyata terkejut dengan skandal penentuan hakim boleh berlaku di sebuah Negara seperti Malaysia yang mendakwa mempertahankan Hukum Undang-Undang dan melindungi kebebasan badan kehakiman Negara.

Secara tiba-tiba segala-galanya nampak semacam sesuai dimuatkan dalam satu corak salahguna kuasa oleh Ketua Eksekutif Kerajaan selama dua dekad yang lalu sejak pemecatan Tun Salleh Abbas bekas Ketua Hakim pada 1988 dan selepas itu penghakiman perbicaraan Anwar Ibrahim yang sungguh memalukan pada 1998 hingga membuatkan beliau disumbat dalam penjara selama enam tahun di hotel Sungai Buluh sebagai tetamu Raja.

Keadaan riuh rendah memang membingitkan ketika Dato Sri Anwar mengambil tempat untuk memulakan ucapannya. Beliau telah memberikan taklimat mutakhir mengenai Pita Rakaman Lingam. Beliau memberitahu para hadirin bahawa beliau telah menunggu di pejabatnya di Petaling Jaya pada pagi 25 Oktober untuk menyerahkan ‘thumb drive’ mengandungi rakaman perbualan itu kepada Badan Pencegah Rasuah untuk membolehkan mereka memperakukan kesahihannya. Tetapi pegawai BPR telah menelefon beliau pada 11.15 pagi untuk menyatakan mereka telah menerima arahan “daripada orang atasan” untuk menangguhkan pertemuan itu ke satu tarikh lain.
.
Kemudian, beliau telah diberitahu oleh BPR bahawa dia sepatutnya telah menghadirkan diri di pejabat BPR di Putrajaya dan kerana tidak berbuat demikian, dia telah melanggar undang-undang dan boleh didakwa yang memugkinkan dia didenda dan dikenakan dua tahun penjara. Semasa bercakap demikian dia masih belum pasti apakah mereka akan datang untuk menangkap beliau. Ketidaktentuan ini memang amat dirasakan oleh isteri beliau yang tercinta Datin Seri Wan Azizah dan ahli keluarga. Ini mungkin satu ulangan kepada peristiwa yang berlaku padanya pada 1998.

Pada waktu yang sama para peguam beliau telah mengemukakan satu permohonan pada 26 Oktober agar diketepikan arahan Mahkamah Tinggi (Bahagian Jenayah) di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Nampaknya kerajaan adalah lebih berminat untuk menyimpan beliau dalam penjara dan menyekat beliau daripada turut serta dalam pilihan raya umum yang akan datang, berbanding menangani masalah badan kehakiman negara yang diketahui begitu korup.

Beliau telah berkata, masalah dalam kisah Pita Rakaman Lingam amat mudah untuk diselesaikan. Tidak perlu sampai 14 minit untuk meyakinkan sesiapa bahawa VK Lingam sedang merencana kerja-kerja memutar belit pelantikan hakim yang dapat mengeluarkan hukuman yang memihak kepada kliennya. Lagi pun terdapat cukup bahan bukti dalam perbualan 8 minit itu untuk memperaku bahawa VK Lingam sesungguhnya sedang bercakap dengan Ahmad Fairuz sahaja dan bukan dengan orang lain. .

Dato Seri Anwar berkata si talibarut memang bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya dengan kerajaan seandainya ada jaminan tentang keselamatan mereka daripada dicederakan dan mereka dilindungi daripada dakwaan perundangan. Atas alasan inilah makanya kerajaan seharusnya mewujudkan sebuah Suruhanjaya DiRaja untuk menyiasat kisah badan kehakiman itu. Suruhanjaya semacam itu mesti mempunyai kuasa untuk memanggil sesiapa sahaja sebagai saksi dan mempunyai kuasa untuk melindungi mereka. Rakyat Malaysia telah mendesak agar ditubuhkan satu Suruhanjaya DiRaja tetapi kerajaan masih lagi mengabaikan permohonan mereka..

Seterusnya Dato Seri Anwar Ibrahim telah bercerita tentang keadaan negara dan agenda dasar ekonomi baru beliau. Beliau berkata Malaysia sekarang berada di belakang kebanyakan negara di rantau ini seperti Singapura, Korea Selatan dan Taiwan sedangkan Thailand dan Indonesia senantiasa menghambat kita daripada belakang. Kita sudah kehilangan sifat dayasaing dan mesti mengambil tindakan segera untuk mempromosi pertumbuhan ekonomi yang berkekalan dan menangani masalah kenaikan harga barangan yang semakin naik (inflasi) dan kos mengendalikan perniagaan (korupsi dan ketidakcekapaan). Malaysia perlu menguruskan sumbernya untuk kemudahan rakyatnya, mengembalikan keyakinan pelabur dan melakukan perubahan dasar untuk menarik industri tambah nilai yang baru, memperbaiki kecekapan perkhidmatan awam, dan mengembalikan standard akademik di universiti kita supaya mereka menjadi pusat utama dalam penyelidikan, inovasi dan biasiswa. Kenapakah Malaysia tidak mempunyai universiti yang unggul di Asia. Kenapakah anak-anak kita mesti berhijrah ke Singapura, China ataupun Amerika Syarikat kalau mereka mahu belajar? Dalam masa pendek ini kita seharusnya mencipta persekitaran yang sesuai untuk rakyat Malaysia yang bijak pandai dan berkelulusan tinggi pulang ke tanah air dan berkhidmat kepada negara sendiri.

Beliau memberitahu para hadirin betapa orang kerajaan dan UJMNO telah berkata bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) akan dibubarkan, seandainya dia menjadi Perdana Menteri dan orang Melayu akan merana. Beliau menjawab sebagai seorang Melayu dan Bumiputera dia tidak akan mengabaikan bangsanya sendiri. Pada waktu yang sama, dia memberi ingatan kepada orang Melayu di antara hadirin itu betapa mereka juga mesti menerima hakikat bahawasanya Malaysia ialah sebuah negara majmuk dan sebagai seorang pemimpin, dia mempunyai tanggungjawab untuk menentukan keadilan kepada semua.

Beliau berkata: “saya yakin Bumiputera bersedia dengan agenda baru ini, kerana agenda ini akan tetap berpaksikan tindakan afirmatif bagi membela nasib rakyat miskin dan terpinggir. Bantuan pendidikan, perniagaan dan pekerjaan perlu ditekankan untuk semua golongan miskin dan terpinggir, kerana tidak mungkin dipertahankan system bobrok yang tidak mempedulikan nasib rakyat miskin terutama di kalangan Bumiputera. Kebimbangan kononnya Agenda Ekonomi Malaysia akan mengetepikan masyarakat Bumiputera daripada segi biasiswa dan bantuan pendidikan, peluang perniagaan dan sebagainya sengaja dicanang oleh pemimpin kaya bukannya untuk membela nasib rakyat terbanyak – pekerja, petani dan nelayan—tetapi buat mempertahankan kontrak, saham, AP and lesen mereka yang lunak-lunak sehinggalah permit bas dan teksi kecil.”

Beliau menambah: “apabila saya jadi Perdana Menteri saya janji saya akan tarik balik permit teksi yang dipegang oleh kroni-kroni pemimpin politik dan akan berikan permit tersebut kepada pembawa teksi secara individu supaya beban mereka untuk rezeki yang halal dapat dikurangkan, InsyaAllah”.

Akhir kata, hanya dengan jiwa merdeka, mampu kita robohkan kerawang dan tembok yang membelenggu pemikiran, memundurkan negara dan minda rakyat. Tokoh politik, sarjana, aktivis, pekerja dan mahasiswa harus merasa tercabar untuk berfikir dengan waras dan bertindak dengan bijaksana. Perubahan bukannya mudah, tetapi ia perlu bagi memastikan Malaysia berjaya memenuhi impian kebebasan kesaksamaan dan persaudaraan yang diwar-warkan oleh pejuang-pejuang Kemerdekaan kita.

Selepas beliau menamatkan ucapan sepanjang 90 minit itu, orang ramai berdiri dan memberikan tepukan gemuruh kepada Dato Seri Anwar. Mereka meluru untuk bersalaman tangannya dan mengucapkan terima kasih kerana datang berucap kepada mereka di Padang Cheras Indah, Pandan Indah.

Pendapat Anda