Archive for October 22nd, 2007

22 October 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

letter-threatening-anwar.JPG

Pada hari ini tiga orang pegawai dari Badan Pencegah Rasuah mengunjungi pejabat saya buat kali kedua dalam tiga minggu berikutan siasatan mereka terhadap rakaman video yang telah saya siarkan kepada awam pada 19 September 2007.

Saya menghargai kerjasama BPR yang berterusan tetapi saya ingin menegaskan kegusaran saya bahawa kerajaan menggunakan BPR untuk melambatkan siasatan sebenar dan mengalihkan perhatian orang ramai dari isu-isu penting berkaitan salahlaku kehakiman yang ditimbulkan oleh video tersebut.

BPR merakam sebuah kenyataan lanjutan dari saya hari ini. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa klip video 14 minit yang asal bersama dengan sumber yang membawanya kepada saya. Saya memberikan mereka jaminan saya bahawa saya akan membekalkan salinan sebenar yang mana mereka boleh menentukan kesahihan klip video tersebut pada Khamis 25 Oktober. Namun selepas habis mengambil kenyataan serta mendapat jaminan saya, pegawai BPR menerima arahan untuk mengarah saya menyerahkan klip asal rakaman video tersebut, termasuk segmen 6 minit yang belum dikeluarkan kepada orang ramai, pada atau sebelum Khamis. Arahan ini dikeluarkan meskipun saya sudah memaklumkan bahawa salinan asal ada dengan sumber. Kegagalan memenuhi arahan ini mungkin akan berakhir dengan pendakwaan.

Adalah langsung tidak munasabah bahawa BPR terus menumpukan perhatian mereka terhadap kesahihan video tersebut sedangkan VK Lingam, Ahmad Fairuz, Vincent Tan dan Tengku Adnan yang disebut di dalamnya masih belum disiasat atau memberi kenyataan awam menafikan perbualan di dalam video tersebut.

Justeru, saya menyeru BPR untuk memenuhi matlamat mereka untuk membanteras rasuah dan menyiasat salahlaku pegawai awam dan bukan sekadar siasatan terhadap pendedah rasuah.

Saya juga amat prihatin dengan kebajikan individu atau individu-individu yang telah meminta saya membawa video ini ke perhatian umum. Permintaan kami untuk jaminan terhadap keselamatan peribadi mereka dan perlindungan dari tindakan undang-undang masih lagi belum dijawab. Ini merupakan persoalan yang mesti dijawab sebelum kami mengeluarkan baki rakaman video tersebut.

Penubuhan sebuah Suruhanjaya DiRaja yang bebas untuk menyiasat tuduhan serius rasuah di dalam video ini terus mendapat sokongan Majlis Peguam Malaysia, parti-parti politik dari pembangkang dan juga di dalam kerajaan, serta badan-badan bukan kerajaan. Saya hanya ingin mengulangi desakan saya agar langkah-langkah ini diambil agar siasatan ini dapat disempurnakan segera.

Rombongan BPR tersebut diketuai Tuan Sazali bin Salbi, Ketua Cawangan Tindakan Khas merangkap Timbalan Pesuruhjaya BPR Putrajaya.

ANWAR IBRAHIM

22 October 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Belum pernah berlaku dalam sejarah negara, di mana kebobrokan sistem separah sekarang. Apa lagi yang mahu dipertahankan oleh pimpinan Umno-BN? Hanya kuasa dan harta! Seandainya yang diwarwarkan adalah survival melayu dan negara ternyata hambar sekali.

Lihat saja indeks kebebasan media – mengaibkan bila kita tergolong bersama negara yang diperintah sang diktator. Teliti alasan penghakiman hakim Dato’ Hishamuddin dalam kes penahanan Malek Hussin. Tonton video VK Lingam yang memaparkan rasuah dan pembelian hakim oleh tauke judi Vincent Tan dan sekutunya pemimpin Umno yang diwakili menteri Adnan Mansor (sekarang bergelar Tengku).

Rasuah merebak, rompakan khazanah negara oleh keluarga dan kroni, kadar jenayah meningkat, ekonomi muram, mutu bahasa dan pendidikan merosot…

Senarainya tak berkesudahan dan penghinaan merebak hingga keluar negara. Di Indonesia, negara jiran dan serumpun, Malaysia terkenal sebagai negara pelindung penjenayah dan pemerasan ke atas pekerja miskin!

Sdr-sdri,

Tepuk dada tanya selera. Tunduk kepada kebenaran atau ugutan? Menelan propaganda media yang dikuasai penguasa kaya dan perasuah atau menghadham fakta?

Malah di kalangan kita juga tidak mungkin terlepas dari pujukan habuan wang, kontrak dan kedudukan. Seandainya gagal, ugutan dan tekanan akan bertambah.

Maka kita harus bangun dan menumpukan sepenuh kekuatan, memperkukuh jentera parti dan mengasak terus ke seluruh pelusuk negara.

Bekerja dari sekarang dengan segala ikhtiar dan kudrat yang ada. Semoga Allah SWT memeberkati usaha murni bersama.

ANWAR IBRAHIM