Saya kini dalam perjalanan pulang setelah berada hampir dua hari di Washington DC menghadhiri sidang mengenai Islam dan Barat di Universiti Georgetown. Beberapa sarjana terkemuka turut hadhir termasuk Profesor Syed Hussin Nasr dan John Esposito. Dari Asia hanya saya dan Prof Osman Bakar turut diundang.
Sidang ini dianggap penting kerana didukung oleh beberapa universiti utama dunia dan World Economic Forum Davos.
Beberapa isu menarik dibahaskan termasuk masalah kedangkalan ilmu di Barat dan dunia Islam, keangkuhan Amerika dan kesediaan mereka bersekongkol dengan regim authoritarian dan perasuah di dunia Islam serta kecenderungan sebahagian kecil dari umat Islam sendiri yang terbelenggu dengan kerangka pemikiran jumud.
Selain mengobrol panjang dengan John Esposito, saya banyak berbual dengan Syed Hussien Nasr. Saya terkesan sekali manakala Profesor Teologi Harvard menyebut bahawa karya Syed Hussien Nasr lebih 40 tahun lalu ‘Encounter of Man and Nature’ merupakan karya utama yang meneroka wacana mengenai manusia dan persekirannya.
Perbahasan agak mendalam mengenai faham agama samawi (Islam, Nasrani dan Yahudi) serta faham sekular liberal pelampau yang menolak sendi agama dan ketuhanan.
Wacana sedemikian melegakan, menyegarkan malah mengasyikkan, apa lagi setelah sekian lama bergelut dengan sepak terajang dan hiruk pikuk politik.
Kebelakangan ini saya menolak atau membatalkan banyak seminar ilmiah di luar negara termasuk sidang Generations Investment anjuran Al Gore di San Francisco, sidang mengenai dialog Timur Barat anjuran Club of Madrid di Mexico dan lain-lain. Tumpuan sekarang adalah politik Malaysia.
Tetapi kehadhiran saya di Georgetown penting, pertama kerana saya masih diiktiraf sebagai Visiting Fellow di universiti tersebut dan kedua, dua anak saya di sana (Nuha di Georgemason dan Ilham di Georgetown). Sempatlah menghilangkan kerinduan di musim lebaran Eidulfitr.
ANWAR IBRAHIM
















