Saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada ayahanda dan bonda kepada Allahyarham Nurin Jazlin Jazimin di atas pemergian anak comel ini pulang Rahmatullah. Didoakan agar Allah SWT mengurniakan kekuatan kepada sdr Azimin Abdul Jalil dan isterinya Norazian Bistaman serta sanak saudara lainnya.
Dalam masa yang sama, kelihatan sudah menjadi satu budaya untuk ‘cuci tangan’ dan tidak menggalas tanggungjawab di pelbagai lapisan kerajaan.
Mangsa yang telah dirogol, dibunuh, diragut dikatakan cuai akan keselamatan masing-masing.
Dalam konteks jenayah, kelihatan seolah-olah penjenayah dan polis adalah ‘suci’ dan tidak bersalah sama sekali.
Kini, pegawai polis yang satu ketika dahulu menjalankan penyiasatan ke atas pemecatan saya menuduh ibu bapa Nurin cuai dalam melaksanakan tanggungjawab sehingga membawa kepada kematian Nurin!
Apalah dosa ibu bapa Nurin? Mereka tidak pinta segalanya terjadi. Keduanya telah melalui trauma dan tekanan yang begitu hebat dalam tempoh hampir sebulan yang lepas.
Berbanding melihat keperluan mendesak untuk polis memperkemaskan sistem kerja mereka untuk melindungi rakyat daripada jenayah, Ketua Polis Negara lebih suka mencadangkan agar kedua ibu bapa Nurin didakwa atas kecuaian menjaga anak.
Seolah-olah beliau ingin menyatakan Nurin pergi meninggalkan kita kerana ibu bapa Nurin tidak menyayangi Nurin sepenuhnya.
Adalah sesuatu yang di luar batas kemanusiaan untuk mengalihkan kemarahan masyarakat daripada ditujukan kepada polis yang bertungkus lumus mengekori saya, ahli dan aktivis parti pembangkang sehinggalah sanggup menembak orang awam di Terengganu.
Dalam keadaan sistem kehakiman kita berada di dalam keadaan parah, dan penguatkuasaan undang-undang sudah ‘putus harapan’ untuk dipulihkan, kita kesuntukan masa untuk menyuntik perubahan demi kemaslahatan masyarakat dan negara.
ANWAR IBRAHIM