Di kebelakangan ini sambutan ceramah KeADILan, PAS dan DAP kian hangat mendapat sambutan. Maka pimpinan umno kian gelabah dan mempersulitkan kelulusan permit ceramah.
Program malam nanti di Jalan Ipoh,dalam kawasan Parlimen Batu masih belum mendapat kelulusan. Kita akan meneruskan acara dengan aman inshaAllah.
Di Kuantan beberapa hari dulu, pihak polis meluluskan permit. Hanya sebaik saya mulakan pidato pada jam 11.30 malam (selepas menyampaikan ceramah di kemaman), saya diminta menamatkan ceramah. Walau bagaimanapun ceramah diteruskan sehingga jam 12 malam. Hanya terdapat insiden yang sedikit mendebarkan tatkala saya diserbu khalayak selesai ceramah. Mudah-mudahan selamat inshaAllah.
Yang dikesalkan ialah peristiwa di Batu Burok, Kuala Terengganu. Program anjuran Bersih tidak diberikan permit. Halangan di Terengganu atas arahan Menteri Besar, Idris Jusoh kian menjadi-jadi. Ceramah saya juga dihalang awal tahun ini. Semalam Dato’ Mustafa Ali dan Tan Sri Khalid melaporkan kepada saya dan Ustaz Hadi Awang, kami berdua bersama di Bagan Serai semalam, mengenai keganasan polis FRU di sana.
Jenayah dan rasuah meningkat, sambutan ceramah KeADILan dan PAS kian hebat, maka tekanan pun tambah ganas.
Jenayah dibiar, ceramah dikepung!
ANWAR IBRAHIM
















