17
Aug
07

Memperbetulkan Sistem Perumahan & Kehidupan Masyarakat

Kebelakangan ini saya berulangkali menyerang kegagalan Umno-BN membela nasib rakyat miskin dengan membongkar isu rumah kos rendah. Ada rakan yang prihatin dan menyerahkan buku “Housing Crisis: Back To A Humanistic Agenda” karangan Profesor Mohamad Tajuddin M Rasdi daripada UTM.

Saya menelaah buku profesor senibina ini dan terkesan dengan hasratnya mendidik mahasiswa dan melahirkan manusia prihatin dan bukannya korporat gelojoh. Gagasan beliau adalah dasar perumahan pekerja dan rakyat yang mengambilkira aspek fisikal, ekonomi dan persekitaran.

Pengarang kemudian mengupas implikasi perumahan bagi menjamin keselamatan kanak-kanak; jenayah dan kesihatan.

Prof Mohamad Tajuddin mempertikai pendekatan sekarang yang tidak memberi perhatian kapada aspek kemanusiaan dan kebudayaan apatah lagi kerana tanggapan bahawa dasar tersebut menyentuh kelompok atau kelas bawahan. Walhasil muncullah berek polis jelek binaan JKR atau bercambahnya “dewan serba tak guna”.

Pengarang merumuskan gagasan pendidikan senibina dengan idea dan perspektif Frank Wright, pendidikan ke arah pencerahan dan demokrasi, menghormati hak dan menjamin penyertaan rakyat secara segar. Dan menurut pengarang lagi, di kalangan masyarakat Islam peranan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan dan kemasyarakatan wajar dihidupkan.

Karya tersebut pasti membantu kita terutama dalam wadah keadilan untuk memperkemas agenda perumahan yang menekankan dimensi manusiawi dalam pembangunan.

ANWAR IBRAHIM


3 Responses to “Memperbetulkan Sistem Perumahan & Kehidupan Masyarakat”


  1. 1 cokelat Aug 18th, 2007 at 5:10 pm

    Masalah perumahan di bandaraya kuala lumpur masih perlu diambil perhatian oleh pihak DBKL. Perumahan Sri Selangor dan Sri Sarawak di jalan san peng contohnya masih satu bilik. Flat pekeliling yg satu bilik sebahagiannya telah di runtuhkan.

    Semasa Dato’ Seri menteri kewangan dulu DBKL dah mula membina Flat 2 bilik dan boleh dijadikan 3 bilik apabila anak-anak lelaki dan perempuan sudah besar.

    Tapi malangnya tidak menjadi kenyataan sehingga sekarang dimana DBKL membiarkan macam itu saja. PPR yg ini meliputi 30%.

    Perumahan rakyat yg baru 4 tahun kebelakangan ini alhamdullilah…..semuanya 3 bilik. Perumahan rakyat 3 bilik ini anggaran keseluruhan meliputi 30%.

    Yang perlu ditekankan sekarang ini ialah perumahan atau Flat DBKL yang satu bilik dan 2 bilik yang boleh mendatangkan masalah sosial seperti sumbang mahram. Anggaran Flat begini 40%.

    Masalah dadah,hubungan kekeluargaan dan juga pembelajaran anak-anak sekolah di Flat-flat perlu ditangani oleh pihak yang berwajib seperti POLIS, DBKL dll.

  2. 2 anak kawan Dato' Seri Aug 20th, 2007 at 3:25 am

    MIKROKREDIT atau Pinjaman Kecil dan Punca Masalah…

    Saya tertarik sokong akan pendekatan Professor Muhammad Yunus dari Bangladesh dan bekas Perdana Menteri Thailand berkenaan mikrocredit atau pinjaman kecil. Saya cadangkan Dato’ Seri kupas, bahas dan anjurkan isu ini bila berkesempatan untuk setiap rakyat Malaysia…

    Cuba tanya sesiapa yang pernah cuba buat pinjaman kecil dengan badan-badan dan syarikat-syarikat kewangan tempatan di Malaysia. Apa kata survey?

    Memang dari segi dasar pengurusan MAKRO, perkara kecil seperti pinjaman mikro nampaknya macam mudah. Pelbabai kemudahan dan dana disediakan ditahap MAKRO. TETAPI, selalunya peniaga yang cantik rekod keuntungan berniaga pun balik dengan kehampaan kalau tiada ikatan kontrak… terutama sekalilah kalau tak kenal sesiapa atau tak rasuah sesiapa…

    Memang pinjaman kecil pernah dilaksanakan oleh kerajaan Malaysia sekitar 70an dan 80an. Namun, pinjaman ini telah disalah ertikan oleh banyak pihak. Dapat pinjaman untuk berniaga tetapi dibelanjakan dengan membeli kereta baru, kahwin isteri baru dan bercuti keluar negara. Bukan dibelanjakan untuk perniagaan itu sendiri. Mungkin disebabkan sejarah ini, pinjaman kecil diperketatkan.

    Al-hasil, lahirlah gejala sosial “Ah-Long” yang hangat sekitar 90an dan kini. Bila dah kronik, “Ah-Long” juga dipersalahkan…

    Debat di parlimen tak main hebat lagi, namun tidak berkemampuan BN menangani isu ini secara menyeluruh sehingga diakar umbi! BN kabur dan tak nampak ramai rakyat yang ketawa terhadapnya…

    Masalah “Ah Long” yang dipersoalkan? Ceteknya kemampuan fikiran pemimpin negara!

    Pendekatan pinjaman kecil pasti mendapat perhatian ramai rakyat Malaysia. Ramai rakyat dah pandai dan berjaya berniaga dengan sendiri secara kecil-kecilan atau sederhana. Satu formula berkaitan ini boleh disarankan oleh Tan Sri Khalid sendiri. Canangkan cadangan keAdilan untuk paparan rakyat Malaysia.

    Bukankah statistik perceraian dimana-mana disebabkan kewangan? Bukankah gejala sosial seperti jenayah dan lain-lain disebabkan kewangan? Saya berpendapat, kiranya setiap perkara ditangani secara serius, ikhlas dan berterusan ditahap akar umbi, banyak isu dapat ditangani dengan menyeluruh. Namun, banyak isu TIDAK di tangani diakar umbi oleh mereka yang berkuasa…

    Hmmm… Mungkin memang sengaja tak mahu tangani isu diakar umbi. Kot-kot pemimpin itu sendiri yang sebenarnya masalah akar umbi?

    Gelinya… hati…
    Pedasssssnya… sesiapa makan cili…

  3. 3 Shamsul Apr 23rd, 2008 at 2:29 pm

    Dato’ Seri,

    Saya adalah seorang graduan arkitek dari UTM, anak didik kepada Prof. Dr. Mohamad Tajuddin Rasdi. Saya tertarik dengan tulisan Dato’ Seri membincangkan tentang isu perumahan ini.

    Dalam konteks negara Malaysia, pembinaan rumah kediaman pelbagai jenis tumbuh ibarat cendawan. Tapi sayangnya ia tiada kualiti dan nilai kehidupan, hanya lebih banyak kuantiti. Rata-rata pemaju perumahan lebih memikirkan kuantiti yang banyak supaya lebih banyak dapat keuntungan.

    Dalam prinsip senibina, senibina tidak boleh dinilai dari segi estetika sahaja. Apa gunanya bangunan yang cantik dan mewah tetapi gagal berfungsi dan seolah-olah tidak ada roh di dalamnya. Bangunan tersergam indah tetapi tiada pengisian dan lebih kepada bermegah-megah sahaja.

    Lihat sahaja Masjid Kristal, tersergam indah tetapi tidak dapat digunakan untuk sembahyang Jumaat dan hanya untuk menarik pelancong sahaja. Ia lansung tidak menghiraukan sensitiviti, tiada nilai-nilai budaya masyarakat setempat dan tidak ‘user-friendly’. Satu PEMBAZIRAN WANG RAKYAT.

    Dalam membetulkan pandangan kepada masyarakat, para arkitek sepatutnya mempunyai satu suara yang konkrit untuk mendidik masyarakat tentang nilai-nilai kehidupan dan senibina. Pembinaan bangunan yang mewah tetapi hanya menguntungkan sebelah pihak sahaja hendaklah dihentikan. Bangunan-bangunan warisan hendaklah dikekalkan dan dipelihara dari dirobohkan demi pembangunan baru.

    Berkenaan dengan perumahan kos rendah pula, ia dibina dengan sebegitu tinggi dan kuantiti yang banyak. Malangnya aspek-aspek asas untuk rakyat berkomuniti, bersukan dan beriadah hanya disediakan sekadar tangkap muat sahaja bagi memenuhi keperluan pihak berkuasa tempatan. Ini menjadikan persekitaran yang tidak selamat dan terjadilah konflik perkauman, kes jenayah dan macam-macam lagi.

    Saya rasa arkitek yang merekabentuk bangunan sedemikian tahu akan rekabentuk yang baik dan mesra pengguna. Bagaimanapun disebabkan oleh desakan oleh ‘client’ , segala nilai-nilai yang diterapkan dalam senibina hilang begitu sahaja.

    Itulah dia senibina Malaysia. Senibina Cacamarba…

Leave a Reply






Galeri Flickr

Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk 

Dokumentari Perbicaraan 1998

Video Manifesto KeADILan

Sila klik sini untuk versi Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Pakatan Rakyat to Putrajaya

Pamerkan Di Website Anda

Other Banners

 

August 2007
M T W T F S S
« Jul   Sep »
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031