Konvensyen KeADILan di Anjung Rahmat pagi semalam menumpukan perhatian membahaskan isu ekonomi. Dr Syed Husin Ali selaku pengerusi menjelaskan kesinambungan semangat peejuangan dan penggabungan PKN dan PRM. Presiden Dr Wan Azizah menggariskan dasar pokok dan agenda pembaharuan.
Saya mulakan panel perbincangan isu ekonomi dengan membentangkan kertas mengenai Agenda Ekonomi Malaysia. Tan Sri Khalid Ibrahim memberikan kupasan terperinci bagaimana kelompok kecil Bumiputra kaya mengaut keuntungan dari DEB. Peserta tertarik dengan kehadiran pakar ekonomi yang kini bertugas dengan PBB, Dr Jomo K Sundram. Beliau membuat perbandingan menarik betapa ekonomi Malaysia berjaya berbanding Ghana tetapi tewas teruk berbanding negara rantau.
Sudah sekian lama Wakil Adat dan Guru Khalifah Silat Seni Gayong mempelawa saya untuk menerima tugas tersebut (selaku Khalifah Besar), saya akhirnya akur. Alasan Cikgu Majid Isa dengan restu Puan Siti Fadhilah Dato’ Meor Abd Rahman ialah bahawa perlantikan tersebut adalah di atas wasiat allahyarham Dato’ Meor dan muafakat semua ketua adat. Jawatan tersebut belum terisi sejak peninggalan allahyarham Dato Harun Idris.
Menteri Besar Kedah, Setiausaha Politik PM cuba melarang mereka dari meneruskan acara di Madrasah An-Nahdah Kubang Semang.Alhamdulillah majlis disempurnakan dengan baik.
Kami solat maghrib di Masjid Kubang Ulu dan menyampaikan tazkirah mengenai tugas da’wah dan ruh keislaman.
Saya menyampaikan ucapan di majlis jamuan anjuran KeADILan Bahagian Batu Kawan di Dewan Cina Sungai Bakap. Dan saya meneruskan perjalanan ke Padang Rengas Perak untuk menyampaikan ucapan hampir 11 malam.
Perjalanan ke Lubuk Merbau dari Sungai Bakap mengambil masa lebih dari satu jam kerana kami tidak begitu biasa dengan jalan tersebut. Ustaz Ahmad Awang segera memberi laluan dan saya mula berucap tepat jam 11.15 malam.
Ribuan yang hadhir dan saya rasa cukup selesa berbicara dengan senda gurauan dalam suasana kekeluargaan. Siapa pengkhianat melayu, saya bertanya. Mereka terdiri dari kalangan yang memunggah khazanah negara untuk kepentingan keluarga dan kroni, angkuh, perasuah dan penindas rakyat.
Ucapan berakhir sesudah 12 malam dan selesai bersalaman saya diundang makan malam dirumah Ketua KeADILan Bahagian, Cikgu Alias.
ANWAR IBRAHIM
















