Pagi Ahad tadi saya sempat berbincang panjang dengan sahabat lama, seorang sarjana, aktivis dan pendukung reformasi. Beliau menggariskan kaedah menjana kemenangan serta keprihatinan yang dilahirkan oleh sebahagian pemerhati politik kota.
Dirumuskan secara ringkas pandangan beliau:
1. Tumpuan sepenuhnya kepada agenda pembaharuan, mengukuh jentera parti KeADILan serta menjalin hubungan akrab dgn pimpinan PAS & DAP.
2. Usahakan memenuhi tuntutan dan perhatian, kawan-kawan lama (individu dan pertubuhan) yang mudah tersinggung kerana merasakan pengorbanan mereka kurang diiktiraf.
3. Betulkan persepsi yang dijaja oleh media Umno-BN bahawa Anwar dan KeADILan kian ditinggalkan kawan dan penyokong. Dan kononnya Anwar merasa tawar hati kerana dukungan hambar!
4. Perluaskan jaringan kerja, menarik tokoh lama dan profesional dalam saf kepimpinan. Peruntukan masa mendengar keluhan dan pandangan kelompok yang lebih ramai.
5. Strategi Umno-BN lebih untuk menyerang saya secara peribadi dan terhadap KeADILan. Berbanding lain parti pembangkang, KeADILan diketahui mampu menembusi kawasan atau kubu Umno.
Demikian menurut sahabat saya, luahan pandangan ramai.
“Lantas bagaimana pendapat sdr?” Saya menggesa beliau mengulas. Maka dengan yakin beliau mengusulkan:
a. Layan semua pandangan sekadarnya. Ada yang ikhlas, ada pula yang menunggu habuan dana dan projek. Tekanan Umno-BN lebih ganas dan upah juga meningkat. Malah laman web pun mendapat tajaan taukeh dan pemimpin kaya, ujarnya. Kelompok kecil kota pandai berteori tetapi kurang terdaya untuk terjun langsung dalam gerakan.
b. Saya harus terjun sepenuhnya ke gelanggang mengharung kota dan desa, menemui kelompok kecil dan ceramah umum. Seiring dengan ini, puluhan pimpinan lain perlu menjalar ke wilayah dalam acara latihan dan kursus, mesyuarat dan ceramah.
c. Ratusan ribu risalah mesti di edar secara berkala ke seluruh negara.
Teman saya ini kelihatan lebih realistik kerana tidak terganggu dengan teori ilmiah atau percambahan idea termasuk nada sinis dan negatif yang sering didengar.
Saya hargai keikhlasan beliau, dan menyatakan bahawa sebagai contoh, hujung minggu ini sahaja setakat yang saya ketahui, pimpinan giat di peringkat akar umbi: Saya di Terengganu, Kelantan & Selangor; Azizah di Sarawak; Tan Sri Khalid di Sabah dan Selangor; Dr Syed Husin di Pahang; Azmin di Wilayah Persekutuan dan Pahang; Dr Lee Boon Chye di Perak; Mustafa Kamil di Terengganu dan Perak; Shamsul Iskandar Di Pulau Pinang dan Perak; dan Tian Chua di KL dan Melaka.
Mudah-mudahan kita teruskan program memperkukuh jentera parti dan bersama rakyat.
ANWAR IBRAHIM
















