Penerbangan MAS ke Kuala Terengganu tertangguh lagi! Sistemnya kian bobrok, mengikut istilah Jawa. Jadual awal saya ke Pulau Duyong di mana projek raksasa Patrick memusnahkan kehidupan nelayan terpaksa dibatal. Tetapi setibanya saya di Lapangan Terbang Kuala Terengganu, Sdr Mustaffa Kamil memberitahu penduduk pulau duyong masih menunggu.
Ratusan penduduk berhimpun dan setelah pengerusi membaca dua rangkap pantun saya terus berucap. Pulau Duyong adalah pusat pembangunan oleh Patrick Lim dan keluarga dan kroni Umno. Saya lahirkan rasa kagum kerana manusia kerdil kampung berani bersama berjuang walaupun diugut untuk membatalkan program.
Sungguh berbeda semangat dan komitmen masyarakat di peringkat akar umbi dengan teori berlarut dan karenah serabut sebahagian cendekiawan kota.
Arakian kami kemudiannya menuju ke setiu untuk bersama rakyat di sana. Rakan-rakan Umno yang berhasrat menyeberang ke KeADILan diugut. Alhamdulillah lebih 300 bertahan dan telah menyerahkan borang kepada saya. Hujan lebat sejak jam 7 petang, namun ribuan hadhir mendengar ceramah Sdr Mustafa Kamil, Dato’ Mustafa Ali dan saya.
Setelah menemui barisan pimpinan KeADILan Terengganu, saya berlepas menuju Kota Bharu dan beristirehat jam 3 pagi.
ANWAR IBRAHIM
















