(1) Ada yang menyinggung mengenai Blackberry saya yang sudah berusia dua tahun dan harus diganti. kini saya punyai jenis terbaru dengan Vodafone, tetapi mengambil waktu untuk memindahkan maklumat ke Blackberry baru. Ini agak rumit dan saya memerlukan bantuan Nurul Izzah.
(2) Mengenai perbincangan dengan Bill Gates dan Michael Dell, sepanjang ingatan saya, mereka lebih menekankan latihan dan pendedahan, menumpukan kapada pemberdayaan sumber tenaga manusia. Mereka tidak terpesona dengan gedung canggih atau prasarana megah. Ini diungkapkan hampir sepuloh tahun lalu. Dan kini terbukti telahan mereka.
Kita masih ketinggalan berbanding kota Bangalore yang mengembangkan prasarana satelah terdapat pengisian. prasarana Bangalore bermula secara sederhana kerana yang ditekankan adalah latihan. mereka mampu menghasilkan institut teknologi terkemuka, dianggap di antara yang terbaik di dunia. kita masih tertiarap dalam lingkungan 200!
Perhatikan sahaja mutu pendidikan negara, pimpinan universiti yang bergelut untuk mengampu dan tidak menghasilkan karya akademik bermutu atau graduan berkualiti.
(3) Terima kasih kerana maklumat mengenai BTN. Sudah hampir 9 tahun mereka memfitnah dan hamun, belum puas dan reda lagi. nampaknya dalam pendekatan Hadhari, semuanya halal, termasuk menggunakan jentera BTN menyerang peribadi musuh dengan merekayarsa pelbagai tohmahan.
Merujuk gelagat si pegawai tentera berkenaan, saya syorkan sdr menulis terus kepada Ketua Turus Angkatan Tentera dan menanyakan samada tugas pegawai tentera menjadi alat pencacai kepada perasuah dan penjenayah, atau mempertahankan negara dari musuh.
Saya ulangi nasihat kapada semua bakal peserta kursus BTN, tanya dengan sopan mengenai komisyen pembelian kapal selam dan pesawat sukhoi, berbilion ringgit kontrak, saham, penswastaan yang dirompak oleh pimpinan Umno-BN untuk keluarga dan kroni; mutu pendidikan negara, taraf kesihatan luar bandar; penguasaan Bahasa Melayu dan dasar pendidikan negara dan lain-lain.
(4) Kepada jiwa muda dan mahasiswa lainnya yang menanyakan kemungkinan diadakan pertemuan atau program khusus, saya ingin tegaskan bahawa saya bersedia. Masalahnya sekarang ialah sekatan oleh pemerintah zalim yang tidak memberikan ruang untuk saya ke universiti atau menganjurkan perjumpaan yang melibatkan mahasiswa.
Sila kemukakan cadangan dan pulihkan semangat generasi muda agar ada sedikit keberanian memperjuangkan hak dan keadilan.
ANWAR IBRAHIM
















