Khabar angin bertiup kencang. Media milik Umno-BN meratap dengan mantra sama, mengangkat darjat perasuah dan bernafsu menghumban pembangkang.
Poster dan kain rentang simbol dacing yang dicetak di negara China dan Indonesia yang menelan belanja ratusan juta ringgit sudah pun muncul di Perlabuhan Kelang, Pulau Pinang dan Kuching,Sarawak.
Ada teman yang turut bingung. Maklumlah pukulan bertalu-talu. Semua saluran tv dan media, selain media rasmi, disebut Media Prima – syarikat milik Umno dan kroni.
Kinilah masanya untuk masing-masing menunjuk taring, hentam sekuatnya. Ada yang membantai kasar, melambangkan kedangkalan ilmu diri. Ada yang berlagak gaya sarjana, mengulas isu yang dikira canggih, termasuk Dasar Ekonomi Baru.
Namun sukar disangkal kesediaan mereka menjadi perkakas. Gagah perkasa menyerang pembangkang tetapi kecut bagaikan tikus tatkala dipersoal mengenai kes pembunuhan Altantuya, rompakan khazanah negara, termasuk atas nama dasar bumiputra, runtuhnya akhlak masyarakat dan hilangnya daya saing negara.
Aneh sekali, jelas saya. Mengapa harus bingung? Singkap dan belek lembaran sejarah. Pengasas Umno Dato’ Onn Jaafar meninggalkan parti dan menubuhkan IMP dan Parti Negara. Dua presiden (Yang Dipertua) Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien Onn berpaling daripada Umno. Tunku Abdul Rahman berkempen menentang Umno dan BN yang dianggapnya mengkhianati perjuangan asal.
Gejala tersebut turut dialami Pas dengan keputusan Haji Ahmad Fuad, YDP pertama PAS menyertai Umno dan Dato’ Asri Hj Muda meninggalkan PAS dengan percubaan menghidupkan Hizbul Muslimin.
Justeru sepanjang satu tahun lalu saya menjadikan tema – memahami kerangka perjuangan, asas reformasi dan Peristiharan Permatang Pauh. Seandainya ini difahami, masalah dapat dileraikan, serangan media dapat ditepis, fitnah ditangkis.
Kembali kapada persoalan teman saya tadi. Apa yang harus kita lakukan? Ayuh, mari melangkah dan jangan sekadar merenung dan terus mengelamun. Jika kita asyik melayan andaian, nanti tanpa noktah dan kesudahan.
Teman saya kemudiannya lebih bermaya, nadanya meningkat. giliran beliau memberi saranan, bunyinya mirip arahan.
“Saudara Anwar perlu secara terang dan tegas mengajak kalangan yang sedar dalam masyarakat yang kini banyak mengeluh dan membebel supaya tampil ke gelanggang. Saat ini kritikal dan mencabar. Lebih ramai yang harus mara menzahirkan pendirian dan berjuang.”
Saya sahut gesaan tersebut, mudah-mudahan dipermudahkan, InshaAllah.
ANWAR IBRAHIM