Keputusan Kes Eric Chia: Integriti Kehakiman Kian Parah

27 June 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Pembebasan Tan Sri Eric Chia semalam menjadi satu lagi bukti bagaimana sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri beliau gagal mengotakan janjinya untuk memerangi gejala rasuah.

Kesungguhan mahkamah untuk membuktikan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes terhadap Eric Chia langsung tidak munasabah memandangkan wujud bukti salahlaku yang jelas di dalam kes ini. Mutu siasatan yang dijalankan terhadap skandal serius ini juga amat mengecewakan.

Sebaliknya, saya telah mengumpulkan fakta yang cukup lengkap sebagai bukti rasuah dan penyelewengan berdasarkan laporan audit Price Waterhouse Coopers. Bahan-bahan ini telah melibatkan Chia di dalam pelbagai kegiatan bertentangan dengan undang-undang daripada melupuskan dana sehinggalah pembayaran yuran yang tinggi dan tanpa sebab kepada firma guaman Datuk VK Lingam.

Dengan rekod sistem kehakiman negara yang telah tercemar, memang tidak mengejutkan bahawa perbicaraan ini akan berakhir dengan pembebasan selepas sandiwara yang begitu berpanjangan. Apabila wujud bukti rasuah yang jelas dan tidak dapat dipertikaikan Peguam Negara telah mengenepikannya, kesalahan di mana beliau dan Ketua BPR sepatutnya meletak jawatan atau disiasat segera.
.
Ketika kita di ambang apa yang dijangkakan pilihan raya wal, rakyat Malaysia sepatutnya memahami niat dan matlamat kerajaan Barisan Nasional dengan jelas. Rasuah masih lagi cara pilihan kita, dan retorik anti-rasuah hanyalah untuk digunakan untuk kempen politik tetapi akan dilupakan apabila melibatkan kepentingan mereka sendiri.

Pada masa yang sama, kita boleh menjangkakan berbilion-bilion ringgit yang diselewengkan daripada Perwaja, Transmile dan lain-lain skandal, wang yang sepatutnya diperuntukkan untuk membasmi kemiskinan, pendidikan dan kesihatan akan terus berada di dalam kocek perasuah dan penjenayah yang terus bermaharajalela di negara kita.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda