Wacana Panjang Bersama Sheikh Taha Jabir Al-Elwani

1 June 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Selesai mesyuarat lembaga Foundation For The Future semalam, saya terus mengadakan pertemuan panjang dengan ulama usul fiqh terkenal Sheikh Taha Jabir Al-Elwani. Beliau berada di Bahrain untuk bertemu dengan Ulama’ dan Menteri Hal Ehwal Islam.

Selain perbualan biasa urusan keluarga dan perkembangan serantau dan di Malaysia, saya memohon penjelasan mengenai beberapa persoalan yang dibangkitkan dalam buku terbarunya mengenai isu murtad. Buku tersebut sudah berulangkali dicetak dalam bahasa Arab. Tetapi terjemahan bahasa inggeris masih dalam percetakan. Saya perolehi naskah awal dari penerbit, Institut Pemikiran Islam Antarabangsa, dengan izin pengarang.

Sheikh Taha berhujah berdasarkan prinsip Al-Quran dan Sunnah, merujuk kepada kitab-kitab muktabar dan wacana semasa. Menurutnya, tanggapan Al-Quran haruslah lebih mendalam, meresapi maksud selain tafsir dan tawil. Tambah beliau lagi, baki hidupnya akan dimanfaatkan sebaiknya dengan mengupas maksud Al-Quran dan mengajak umat menghayati Al-Quran.

Dan menyentuh isu murtad secara khusus, beliau melahirkan kebimbangan kerana isu aqidah dan kepercayaan kini turut dipolitikkan. Umat perlu mendalami kefahaman tentang agama, jangan mudah diperdaya dengan sogokan atau dakyah anti agama. Kini cabaran terhadap umat, dari keadaan kecamuk di Iraq dan Afghanistan, kegelisahan rakyat Palestin dan Lubnan sehinggalah isu ekonomi dan kebudayaan.

Beliau ulangi keperluan menimba turath – khazanah dan warisan Islam, dengan tunggak ilmu dan keadilan. Tanpa penguasaan ilmu dan amal yang setimpal, apa yang diluahkan adalah propaganda dangkal, semangat dan sentimen melulu. Wacana segar masih kabur kerana persekitaran tidak mengizinkan.Kalangan yang sedar dalam masyarakat harus terus mempelopori gerakan pembaharuan.

ANWAR IBRAHIM

Pendapat Anda

Switch to our mobile site