Saya dihujani semula dengan mesej membelasah blog pro-Umno dan para juak mereka yang mengulangi fitnah jijik terhadap saya pada September 1998. 9 tahun berlalu dan mereka belum serik. Sudah mereka gunakan media milik Umno-BN, polis, Peguam Negara, Hakim; dipukul sudah, diaib dan dipenjara pun sudah. Namun nafsu serakah mereka belum puas. Mereka tidak mampu menjawab tuduhan mengenai jenayah dan pembunuhan, rasuah dan rompakan khazanah negara. Yang mampu dilakukan dengan keuntungan dari laba rasuah dan syarikat perjudian adalah memfitnah,memfitnah dan terus memfitnah.
Di kalangan mereka sendiri pun bermazhab. Ada blog pro-Umno yang mengagungkan Dr. M dan membelasah PM Abdullah dan disebaliknya; ada yang hanya mengecam Najib Razak dan lain-lain seolah-olah semua bencana dan rasuah berlaku tanpa pengetahuan Abdullah.
Kita berjuang bersandarkan prinsip. Kezaliman dan rasuah tetap salah dan khianat tanpa mengira kelompok mana yang melakukannya. Mari kita teliti semula kerangka besar dan agenda perjuangan. Mari kita kuatkan tekad menjana perubahan.
ANWAR IBRAHIM
















