Catatan Dari Perak: Wacana Ilmiah ‘Santapan Istimewa’ Buat Pimpinan Negeri

20 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Dr. Lee Boon Chye, Naib Presiden KeADILan telah menganjurkan satu jamuan di Rapat Setia, Ipoh malam tadi. Lebih 1000 tetamu yang membeli tiket bagi menjayakan majlis tersebut. Perkembangan ini amat menarik kerana menunjukkan kesediaan rakyat bersama menyokong KeADILan.

Saya menekankan di antara lain keperluan memperkenalkan budaya politik baru yang tidak bercorak perkauman sempit tetapi mempertahankan prinsip perjuangan berlandaskan keadilan. Kejayaannya bergantung kepada pimpinan yang waras dan matang, tidak sekadar mengangguk setuju belaka atau tidak punyai keberanian menyuarakan pandangan kerana kononnya sensitif.

Dari Ipoh kami bergegas ke Bukit Merah menghadiri majlis jamuan anjuran KeADILan Negeri di bawah pimpinan Sdr Ismail Yusuf. Azizah tiba lebih awal satelah berada semalaman di Permatang Pauh dan petang sebelumnya di Bagan Serai, Perak. Saya perhatikan dewan dipenuhi pimpinan KeADILan Negeri Perak, beberapa pemimpin Pusat serta tetamu lainnya. Sebelum berucap saya meminta pandangan Azizah apakah wajar saya mengungkapkan persoalan yang agak serius dan ilmiah?

Saya memberikan penafsiran maksud nilai dan akhlak dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara malah buat kemanusiaan sejagat. Saya mengupas maksud Al-Quran “uswatun hasanah” dan Hadith Rasulullah SAW “makarimal akhlaq”. Saya bandingkan konsep ihsan atau virtue mengikut ajaran Kung Fu Tze dan menyinggung wacana Arjuna dalam epik Hindu.

Kemudian saya rumuskan pandangan Mahatma Gandhi mengenai “apa yang benar dari sudut politik tidak mungkin salah dari segi moral dan apa yang benar dari sudut moral tidak mungkin salah dari sudut politik“. Maknanya isu nilai dan akhlak harus tuntas dan mungkin dirubah menurut zaman atau selera penguasa. Demikian kupasan filasuf Jepun Toshihiko Itsutzsu yang menekankan di antara lain bahawa sistem nilai dan akhlak Islam mantap dan tuntas sebagai “morally justifiable principle“.

Ini bermakna rasuah di kalangan pegawai rendah harus dibanteras bersama rasuah di kalangan penguasa politik. Pemerasan hak rakyat atas nama pengagihan saham, komisyen pembelian senjata, kontrak sama saja rasuah meskipun istilah dirubah dan kaedah lebih canggih.

Pendapat Anda