Archive for May 20th, 2007

20 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Foundation for the Future (Yayasan Masa Hadapan) mula-mula diumumkan di Bahrain pada November 2005 oleh menteri-menteri luar dan pembangunan dari Timur Tengah, Afrika Utara, Eropah dan Amerika Syarikat. Yayasan tersebut merupakan sebuah badan independen, melibatkan kerajaan dan masyarakat madani untuk menyokong badan-badan bukan kerajaan di dalam usaha membangunkan demokrasi dan kebebasan di Timur Tengah dan Afrika Utara.

Dari awal, sebanyak US$56 juta telah dijanjikan kepada Yayasan. Setakat ini, Yayasan hanya menerima dana dari Turki, United Kingdom dan Jordan, antara lain. Amerka Syarikat tidak memberikan sebarang dana kepada Yayasan..

Saya dijemput untuk menyertai lembaga pengarah Yayasan pada pertengahan 2006 bersama-sama wakil dari Maghribi, Kuwait, Iraq, Sepanyol, Syria, Turki, Lubnan, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Mesir, Switzerland dan Qatar.

Ahli lembaga pengarah yang lain termasuklah Kamel Abu Jaber, penasihat kepada Menteri Luar Jordan; Dr. Cornelio Sommaruga, bekas Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa; Professor Ibrahim Kallin, penasihat Menteri Luar Turki, dan Sandra Day O’ Connor, bekas hakim Mahkamah Agung Amerika Syarikat.

Mesyuarat lembaga pengarah yang pertama diadakan di Doha, Qatar di atas jemputan Sheikh Hamad Bin Jassim Bin Jabr Al-Thani, Menteri Luar dan kini Perdana Menteri Qatar pada 15 Julai 2006, dan saya telah dipilih secara sebulat suara sebagai Pengerusi Kehormat Yayasan. Keputusan yang disepakati ialah untuk mendirikan ibu pejabat di Beirut, Lubnan.

Walaubagaimanapun, di dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 4 Disember 2006 di Amman, Jordan, saya bertemu Menteri Luar Jordan Abdelelah Al-Khatib, yang menyokong saranan penubuhan sekretariat serantau di Amman memandangkan penangguhan di dalam mendirikan ibu pejabat Beirut akibat serangan Israel terhadap Lubnan. Mesyuarat lembaga pengarah seterusnya akan diadakan pada 29-30 Mei 2007 di Bahrain.

Saya tidak melantik Shaha Ali Reza ke Yayasan. Beliau mula-mula ditugaskan oleh Bank Dunia menerusi Jabatan Negara Amerika Syarikat untuk Yayasan pada hujung 2005 sebelum saya menjadi Pengerusi. Jawatankuasa eksekutif telah memutuskan pada pertengahan 2006 untuk menyeragamkan perlantikan tersebut agar Shaha menasihati secara langsung dari Bank Dunia dan bukannya Jabatan Negara.

Yayasan tersebut akan mengeluarkan kenyataan penuh selepas mesyuarat di Bahrain minggu hadapan. Tetapi, memandangkan propaganda yang berterusan dari media kawalan Umno, saya telah memutuskan untuk mengeluarkan kenyataan ini. Sekiranya tiada penjelasan oleh media berkenaan isu ini, Yayasan tidak akan teragak-agak untuk memulakan tindakan perundangan terhadap pihak-pihak terbabit.

ANWAR IBRAHIM
Pengerusi Yayasan Masa Hadapan

20 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Dr. Lee Boon Chye, Naib Presiden KeADILan telah menganjurkan satu jamuan di Rapat Setia, Ipoh malam tadi. Lebih 1000 tetamu yang membeli tiket bagi menjayakan majlis tersebut. Perkembangan ini amat menarik kerana menunjukkan kesediaan rakyat bersama menyokong KeADILan.

Saya menekankan di antara lain keperluan memperkenalkan budaya politik baru yang tidak bercorak perkauman sempit tetapi mempertahankan prinsip perjuangan berlandaskan keadilan. Kejayaannya bergantung kepada pimpinan yang waras dan matang, tidak sekadar mengangguk setuju belaka atau tidak punyai keberanian menyuarakan pandangan kerana kononnya sensitif.

Dari Ipoh kami bergegas ke Bukit Merah menghadiri majlis jamuan anjuran KeADILan Negeri di bawah pimpinan Sdr Ismail Yusuf. Azizah tiba lebih awal satelah berada semalaman di Permatang Pauh dan petang sebelumnya di Bagan Serai, Perak. Saya perhatikan dewan dipenuhi pimpinan KeADILan Negeri Perak, beberapa pemimpin Pusat serta tetamu lainnya. Sebelum berucap saya meminta pandangan Azizah apakah wajar saya mengungkapkan persoalan yang agak serius dan ilmiah?

Saya memberikan penafsiran maksud nilai dan akhlak dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat dan negara malah buat kemanusiaan sejagat. Saya mengupas maksud Al-Quran “uswatun hasanah” dan Hadith Rasulullah SAW “makarimal akhlaq”. Saya bandingkan konsep ihsan atau virtue mengikut ajaran Kung Fu Tze dan menyinggung wacana Arjuna dalam epik Hindu.

Kemudian saya rumuskan pandangan Mahatma Gandhi mengenai “apa yang benar dari sudut politik tidak mungkin salah dari segi moral dan apa yang benar dari sudut moral tidak mungkin salah dari sudut politik“. Maknanya isu nilai dan akhlak harus tuntas dan mungkin dirubah menurut zaman atau selera penguasa. Demikian kupasan filasuf Jepun Toshihiko Itsutzsu yang menekankan di antara lain bahawa sistem nilai dan akhlak Islam mantap dan tuntas sebagai “morally justifiable principle“.

Ini bermakna rasuah di kalangan pegawai rendah harus dibanteras bersama rasuah di kalangan penguasa politik. Pemerasan hak rakyat atas nama pengagihan saham, komisyen pembelian senjata, kontrak sama saja rasuah meskipun istilah dirubah dan kaedah lebih canggih.

20 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Dermaputra menanyakan:

Datuk Seri,

Saya ingin merujuk semula soalan saya berhubung dengan skandal Wolfowitz yang pernah saya utarakan di blog ini bulan lalu (namun masih belum menerima respons Datuk Seri sehingga kini) dengan merujuk kepada laporan akhbar NST hari ini dan kelmarin yang seolah-olah cuba mengaitkan Datuk Seri sebagai salah seorang yang terlibat dalam urusan kenaikan posisi
Shaha Riza di Bank Dunia.

(Kita percaya, akhbar sampah sebegini memang sengaja mempromosikan nama Anwar Ibrahim dengan tujuan memburuk-burukkan beliau)

Mohon respon dan kenyataan balas dari Datuk Seri berhubung isu ini. Juga apa perkembangan terkini Foundation For The Future.

Dermaputra,

Sdr mengaitkan berita sensasi “akhbar sampah” dan saya tidak berhasrat melayani. Mengapa NST tidak melapurkan mengenai bayaran kepada pelobi Yahudi Jack Abramoff olih kerajaan Umno-BN? Tidak pula disentuh mengenai Goldman Sachs yang dilantik Khazanah sebagai penasihat.

Mengenai yayasan yang saya pengerusikan dan tindakan yang diambil akan saya jelaskan dalam waktu terdekat. Kami mengalukan siasatan terbuka.

ANWAR IBRAHIM