Archive for May 18th, 2007

18 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Cadangan pengharaman buku May 13 Declassified Documents on the Racial Riots of 1969 mencabuli kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Di dalam era di mana maklumat tersebar secara bebas, dan kebebasan Perlembagaan mesti dihormati dan bukan dicabuli, undang-undang dan peraturan yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk menyekat penerbitan mestilah digunakan hanya dalam keadaan-keadaan yang cukup luar biasa.

Buku tersebut mungkin mengundang kontroversi, tetapi sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan isu-isu yang dibangkitkan, kerajaan sepatutnya menyanggah isu-isu tersebut dengan cara yang terbuka dan telus. Sebagaimana isu-isu berkaitan agama, kerajaan tidak boleh menggunakan tindakan keras untuk menutup perbincangan awam secara berterusan. Ini tidak termasuk hakikat bahawa menyekat buku tersebut akan secara langsung meningkatkan nilainya dan menaikkan keinginan pembaca. Lebih penting lagi, pengharaman buku ini akan memperkukuhkan lagi tesis bahawa rusuhan 13 Mei tersebut sememangnya disebabkan oleh rampasan kuasa yang dirancang pimpinan tertentu untuk menjatuhkan Tunku Abdul Rahman.

Secara peribadi, saya menganggap buku ini sebagai proses untuk memberi penjelasan kepada rusuhan perkauman 13 Mei yang selepas hampir empat dekad terus dibincangkan secara senyap memandangkan tiada jawapan muktamad yang diberi oleh pihak berkuasa. Sememangnya akan wujud perbezaan pendapat berkenaan kejadian tragis di dalam sejarah kita dan saya menyeru rakyat Malaysia untuk mempunyai pemikiran terbuka di dalam perbincangan ini dan terus menghormati sensitiviti semua kaum.

ANWAR IBRAHIM

18 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

Acara di Kelantan begitu ketat sekali tetapi amat memberansangkan. Ternyata semangat dan keghairahan di peringkat akar umbi yang terus melonjak. Fitnah negatif media rasmi tajaan Umno-BN atau karenah beberapa individu di dalam parti tidak perlu dihiraukan.

Di Kota Bahru saya rasmikan Pusat Khidmat KeADILan Bahagian Kota Bharu. Saya diundang untuk menerima keahlian baru seramai dua ribu orang kebanyakannya dari Umno. Di Pasir Mas, saya terharu melihat kegigihan pimpinan KeADILan bahagian menyewa pejabat dan bilik gerakan. Pasir Mas merupakan kawasan pilihanraya yang ditandingi calon PAS,YB Ustaz Ismail Noh, tetapi komitmen KeADILan begitu jitu. Bangunan tidak gagah dan megah malah boleh dikira daif. Yang membanggakan ialah pengorbanan pimpinan bahagian mengumpul dana dan memperkemas jentera parti.

Dialog di Hotel Perdana jam 8 malam dihadiri ramai masyarakat Cina, India dan Siam. Saya mengulas isu perpaduan dan keadilan sejagat. Perhimpunan malam di Dataran Majlis Daerah Ketereh dibanjiri puluhan ribu orang. Saya mengupas makna kemerdekaan sempena 50 tahun merdeka. MB Kelantan Tuan Guru Nik Aziz turut berucap menegaskan keperluan istiqamah dalam perjuangan menegak makruf dan menolak kemungkaran tatkala mengulas penyelewengan di Ijok dan perjuangan menentang kezaliman Umno-BN.

ANWAR IBRAHIM

18 May 2007

Pendapat

Pendapat Anda?

saya merujuk kepada beberapa cadangan dan formula buat KeADILan/BA yang dicadangkan oleh Tak Kisah dan beberapa teman pengunjung yang lain. Alhamdulillah, saranan sdr bernas dan perlu diberikan pertimbangan segera. Cadangan tersebut akan saya bentangkan di mesyuarat pimpinan KeADILan minggu ini inshaAllah.

Sebahagian dari isu telah dikupas secara terperinci saperti kenaikan tol, harga air di Selangor, SPR, kenaikan harga minyak dan lain lain isu. Tetapi banyak isu lain yang disebut perlu dikaji dan laporannya perlu didedahkan secara lebih berkesan lagi.

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan balas daripada para pengunjung,khususnya di dalam merangka agenda politik, sosial dan ekonomi rakyat.inshaAllah mana-mana buah fikiran yang menarik boleh kita ketengahkan demi mempertingkatkan kepedulian KeADILan kepada rakyat marhaen.

ANWAR IBRAHIM