Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa supaya ditubuhkan satu ‘piagam baru untuk buruh’ yang mengambil kira kesan globalisasi dan pertambahan perdagangan dunia tetapi pada masa yang sama, melindungi hak para pekerja untuk bebas berpersatuan dan mendapatkan gaji yang berpatutan.
Dalam satu perutusan sempena Hari Pekerja, Anwar berkata walaupun beliau mengakui bahawa globalisasi dan perubahan dalam perdagangan dunia telah menghakis kuasa kesatuan-kesatuan sekerja, namun ‘hak-hak tertentu pekerja tidak boleh dinafikan dan masih tetap utuh.’
‘Hak para pekerja untuk bebas membentuk kesatuan tidak boleh dicabuli sementara hak untuk mendapatkan upah yang berpatutan untuk sesuatu kerja yang dilakukan juga mesti diakui,’ kata bekas menteri kewangan itu yang kini menjadi pemimpin tidak rasmi pembangkang Malaysia.
Anwar berkata dalam beberapa sektor penting ekonomi di Malaysia, kedua-dua hak untuk membentuk persatuan dan menerima gaji yang berpatutan bukan merupakan sebahagian dari isu hubungan majikan-pekerja.
“Ini merupakan bintit hitam buat negara – iaitu setelah lima puluh tahun Merdeka, masih ada pekerja-pekerja yang dihalang daripada menyertai sesebuah persatuan dan bergelut untuk mendapatkan gaji untuk menyara hidup,” kata beliau dengan nada kesal.
(more…)