Sehari suntuk saya mengetuai sidang mesyuarat Lembaga Yayasan Masa Hadapan (Foundation For The Future). Dalam struktur lembaga, ada pengerusi sukarela (tanpa elaun) dan ada presiden selaku CEO bertugas sepenuh masa. Kita masih meneliti nama calon layak sebagai presiden, sebaiknya dari rantau Arab. Mana tahu jika ada calon keturunan Arab dari Malaysia, boleh juga dipertimbangkan, haha! Gaji lumayan, tetapi harus telus dengan peraturan dan pengawasan audit yang ketat. Maka menteri Umno pastinya automatis terbatal!
Sementara itu mesyuarat memutuskan agar saya bertugas selaku pengerusi merangkap presiden. Saya akhirnya terpaksa menerima dengan memberikan dua syarat: pertama, untuk beberapa bulan sahaja dan mengendali tugas dari Kuala Lumpur. Kedua, saya bertugas sukarela dengan dibantu seorang setiausaha di KL yang dibayar oleh yayasan tersebut.
InshaAllah kita akan dapat memilih calon presiden dalam tempoh terdekat dan beban saya dapat dikurangkan. Ada percubaan nakal media Umno-BN mengaitkan yayasan dengan Amerika dan yahudi. Walhal, cadangan pembentukan di akhir 2005 adalah dalam sidang menteri Arab, Afrika Utara, G8 dan Eropah bersama badan NGO di Bahrain.
Setakat sumbangan hanya dari Turki, Jordan, UK, Switzerland, tanpa dana dari Amerika. Majoriti ahli lembaga adalah dari dunia Arab dan Turki. Sidang meluluskan projek pusat media bebas dan memperkukuh suruhanjaya pilihanraya bebas Palestin, penubuhan institusi penggalak NGO, kerja amal berjumlah jutaan ringgit, termasuk di Lubnan, Mesir dan Maghribi (Morocco). Pejabat di Amman, Jordan mulai beroperasi setelah tergendala penyusunan pejabat di Beirut.
ANWAR IBRAHIM






Komen Terkini