20
Mar
07

Sekolah-Sekolah Malaysia Terperangkap dengan Kemudahan dan Kurikulum Dunia Ketiga

Dasar pendidikan seharusnya menjadi asas dasar pembangunan sesebuah negara. Maka adalah amat merisaukan ketika kita berada di ambang Kemerdekaan negara yang ke 50, sekolah-sekolah kita masih lagi terperangkap dengan kurikulum dunia ketiga dan banyak lagi yang tidak memiliki ‘kemudahan dunia pertama’ kita.

Meskipun kerajaan telah merwarwarkan Sekolah Bestari selama lebih sedekad, Pelan Induk Pembangunan Pendidikan telah mendedahkan bahawa hampir 20% daripada sekolah-sekolah rendah kita tidak mempunyai bekalan air bersih; hampir 35% tiada makmal komputer; lebih dari satu perlima tiada makmal sains dan satu persepuluh tidak mempunyai bekalan elektrik sempurna. Secara keseluruhannya, lebih dua pertiga sekolah rendah tidak mempunyai kemudahan yang lengkap. Ini merupakan tambahan kepada pendedahan YB Dr. Wan Azizah Wan Ismail di dalam suratnya kepada Menteri Pelajaran bertarikh 13 Disember 2006 bahawa peratusan perbelanjaan pendidikan kita ketinggalan berbanding Senegal, Malawi dan Kenya di samping kita tergolong di kalangan 24 negara termasuk Palestin dan Maldive yang menghadapi kemerosotan enrolmen sekolah rendah antara 1999 hingga 2004.

Lazimnya, kawasan luar bandar yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat miskin dan terpinggir yang terperangkap dengan sekolah-sekolah yang paling dasyat keadaannya, khususnya di Sabah dan Sarawak. Ini mengeruhkan lagi jurang sosial dan melemahkan kebolehan pendidikan untuk memberikan mobiliti sosial yang lestari. Tiada gunanya kerajaan terus bercakap mengenai modal insan sekiranya golongan-golongan ini terus ketinggalan. Majoriti yang menjadi mangsa ialah golongan Bumiputera, tetapi Menteri Pelajaran lebih mementingkan menghunus keris daripada menyelesaikan masalah ini.

Ini ditambah pula dengan keputusan tergesa-gesa menukar pengajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Inggeris. Ini telah mengakibatkan tahap pendidikan menjadi lebih rendah kerana Kementerian ingin membuktikan bahawa perubahan bahasa penghantar ini tidak menjejaskan prestasi pelajar. Kita tidak mempertikaikan keperluan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, tetapi ini sepatutnya dilakukan menerusi meningkatkan kualiti pengajaran dan penambahan masa pengajarannya, bukannya dengan mengorbankan perjuangan kita menegakkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan di kalangan semua rakyat Malaysia.

Pada masa yang sama, kurikulum kita masih terlalu berorientasikan peperiksaan. Penekanan ialah pada hafalan dan cemerlang di dalam peperiksaan. Sistem terbuka SPM yang baru diperkenalkan bukannya membolehkan suatu pendekatan menyeluruh terhadap pendidikan, sebaliknya mengakibatkan kegilaan untuk mendapat seberapa banyak A tanpa memikirkan tentang keperluannya. Lebih merisaukan lagi, ini bermula dari peringkat umur yang awal lagi memandangkan anak-anak kita dibebankan bukan sahaja dengan beg yang berat tetapi beban kerja yang berat. Ini menjadi lebih parah lagi apabila ibu bapa menghantar kanak-kanak kecil ke pusat-pusat tiusyen.

Pengumuman oleh Kementerian Pelajaran untuk membenarkan lebih ramai warga Malaysia memasuki Sekolah-Sekolah Antarabangsa menggambarkan bagaimana kerajaan sendiri tidak yakin dengan sistem pendidikan negara. Semestinya hakikat sekolah kebangsaan kini bukan lagi sekolah pilihan untuk mereka yang mampu memilih ialah sesuatu yang menyedihkan, tetapi tragedi yang lebih besar ialah ia gagal mendidik mereka yang tidak mempunyai pilihan tersebut. Bahasa Melayu mesti dikembalikan sebagai bahasa penghantar untuk Sains dan Matematik, di samping memperkenalkan langkah-langkah konstruktif untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris. Kita tiada pilihan melainkan menyediakan anak bangsa kita untuk menghadapi globalisasi, dan ini hanya dapat dilakukan dengan kembali kepada asas pendidikan: melahirkan sistem pendidikan yang inklusif dan menyeluruh untuk semua bermula dengan sekolah rendah kita.

ANWAR IBRAHIM


13 Responses to “Sekolah-Sekolah Malaysia Terperangkap dengan Kemudahan dan Kurikulum Dunia Ketiga”


  1. 1 tokbahaman Mar 20th, 2007 at 10:37 pm

    Assalaamu’alaikom Saudara Anwar,
    Saya besehaluan dengan saudara bahawasanya bahasa pengantar di sekolah diMalaysia semestinyalah menggunakan Bahasa Melayu. Bahasa lainnya, perlu juga digalakkan pembelajaran dan penggunaannya. Inggeris,Mandarin, Tamil, Jepun, Arab, Perancis Russia dan bahasa Altantuya ia itu Bahasa Mongol? Apa bahasa pun bolehlah depelajari sebagai satu subjek.

    Banyak berpendapat bahawa Bahasa Inggeris adalah segala galanya.Jika kita lihat kepada negara maju di dunia ini seperti Perancis, Germany, Jepun Russia dan Sepanyol, adakah kemestian bahasa pengantar di sekolah dan Intitute Pengajian tinggi mereka, Bahasa Inggeris?

    Zimbabwe menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah mereka. Majukah mereka?

    Kemungkinan besar oleh kerana kita telah dijajah oleh Bangsa Inggeris selama berabad lamanya,sepertimana juga India, kita mungkin menganggap bahawasanya Bahasa Inggeris itu adalah bahasa elit. Anehnya Bahasa Teknikal dan Bahasa Perubatan menggunakan Bahasa Latin.

    Mungkin juga oleh kerana dijajah terlalu lama, seperti juga di India, jika tidak pandai bertutur
    dalam Bahasa Inggeris walau sepatah pun kita menganggap didi kita sebagai seorang “parriah”.Mesti sekurang kurangnya memberi unkapan “good morning”

    Kita mesti mempertahankan Bahasa Melayu. “Bahasa Jiwa Bangsa” maseh bergema di telinga saya.

    Berbalek kepada Pelajaran dan Dasarnya. Jika tersesat jalan, saya dengan rendah diri mencadangkan kita balek ke pangkal jalan. Kembali kepada ‘PEYATA RAZAK’. Selidiki dan fahamkan apa yang tersurat dan tersurat didalam kandongan Penyata itu. Gunapakaikanlah.

    Tokbahaman setakat memperingatkan sahaja.

    Wassalaam.

  2. 2 Mokhzani Mar 21st, 2007 at 2:35 pm

    Assalamualaikum Saudara Anwar,

    Saudara banyak lahirkan pandangan-pandangan yang bernas, praktikal dan kritikal terhadap kelemahan-kelemahan kerajaan, secara komprehensif dan ini saya anggap satu jihad intelektual.

    Membaca pandangan-pandangan saudara di atas tersebut ibarat membaca buah fikiran saya sendiri.

    Negara kita bagi pandangan saya, masih belum boleh dianggap sebagai negara dunia pertama, berdasarkan pengalaman menetap di Barat selama sedekad lebih. Masih belum wujud pembangunan yang sekata di semua tempat di tanahair, dan rasuah di kalangan pemimpin masih ada. Mengkatogarikan sesuatu negara sebagai negara dunia pertama atau kedua perlu dibuat setelah melihat semua faktor, bukan hanya bangunan-bangunan tinggi pencakar langit di Kuala Lumpur semata-mata. Tidak guna bangunan sahaja membangun tetapi pemikiran rakyat amnya, terutamanya orang Melayu masih berada di takuk lama.
    Saya kritikal dengan sistem pendidikan kita sejak remaja lagi. Bagi saya, ia sebenarnya alat bukan untuk mendidik tetapi ‘mengindoktrinasi’ para pelajar kepada pandangan hidup yang materialistik dan lebih menjurus kepada penyediaan pekerjaan (merely access to job sector) dan bukan lagi wadah yang berkesan untuk lahirkan insan yang berilmu dan boleh berfikir. Ijazah atau sijil tidak boleh dijadikan ukuran kepandaian atau keilmuan seseorang memandangkan ramai tokoh pemikiran, seperti Edison, Einstein dan Al-Banna yang tidak cemerlang semasa di sekolah atau alam universiti. Kita mesti lahirkan satu sistem pendidikan baru berteraskan akidah dan pandangan hidup Rabbani yang seimbang antara dunia dan akhirat, yang melahirkan insan yang boleh berfikir dalam erti kata sebenarnya, bukan menghafal semata-mata atau berfikir dalam skop yang sudah ditetapkan oleh para guru.
    Jika dilihat dari sudut kewangan pun, sistem pendidikan kita banyak mengabaikan ‘financial education’ yang minimal untuk lahirkan para usahawan dan pelabur yang bertaqwa dan peka terhadap jurang perbezaan antara kaya dan miskin. Ia lebih melahirkan para profesional seperti doktor dan peguam, dalam erti kata lain mereka yang mungkin tinggi dari segi ’status’ tetapi masih lagi terperangkap dalam ‘mindset’ makan gaji. Hanya bisnes yang benar-benar dapat lahirkan mereka yang kaya, kaya yang saya maksudkan di sini ialah kaya dari semua dimensi, bukan kaya kebendaan semata-mata. Kita masih menanti sistem pendidikan yang boleh lahirkan misalnya ilmuan tetapi pada masa yang sama ahli perniagaan yang soleh. Dalam sejarah Islam, Imam Abu Hanifah berjaya membuktikan ia tidak mustahil. Beliau seorang mujtahid dan beliau juga ahli perniagaan yang kaya raya di Baghdad.
    Kita masih boleh melahirkan generasi pelajar yang boleh menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, tanpa perlu menjadikan Inggeris sebagai bahasa sains dan matematik. Dasar bahasa Inggeris kerajaan adalah pantulan kepada penyakit ‘rendah diri’ para pemimpin UMNO terutamanya terhadap Bahasa Inggeris. Bagi saya, biarlah kita kuasai Inggeris sama baik dengan orang Inggeris sendiri, tanpa perlu berbangga dengan bahasa tersebut. Ramai pemimpin UMNO yang cakap Inggeris sendiri lintang pukang dan mencampur-adukkan dengan Bahasa Melayu, dan merasa bangga dengan bahasa tersebut.
    Akhir sekali sistem ‘pendidikan’ yang berorientasikan peperiksaan bagi saya mesti dibubarkan dan diganti dengan sistem yang lebih komprehensif dan ‘thinking-oriented’.

    Ahmad Mokhzani Abdullah.
    (www2.blogger.com/profile/15364387890980600084)

  3. 3 aput83 Mar 21st, 2007 at 2:58 pm

    I’m going to be a bit objective on the issue of education, because I don’t think this is merely a problem concerning the government. It is a problem of incompetence on many parts, including both ministries of education, the contractors who built the schools, the water companies and the electric companies.

    Sure, we could all blame it on the government for giving the contractors a chance to prove their worth, but what I don’t understand is how the school could be allowed to operate with improper supply of basic amenities, such as water and electricity. How could the government, both federal and local, not be found negligent on these issues?

    As for the computer labs, Dato’ Seri, I have to disagree with you after personally experiencing a scenario that shocked me about our current teachers. I had a cousin who went to school in Subang Jaya, which had a computer lab. A very well equipped lab at that.

    However, what surprised me was the fact that the school faculty in this case had received those 12″ Apple laptops from the federal government.

    And these were not used by the faculty members. They just left them in the boxes, unused, until my cousin asked to borrow one for a video editing assignment.

    This shows just how miserably mis budgeted our current education system is.

    Furthermore, on the same topic, we do not have a lot of IT personnel wanting to be teachers in rural areas, thus the almost nonexistent need for computers there. Also, TM may yet to put in cables there, and the VSAT technology provided by Maxis may not be enough to compensate the number of students who want to access the Internet.

    On the issues of SPM being a quest to garner the most A’s, I do concur with you. To curb this, we must encourage the Higher Education Minister to stop looking at the SPM results first, and look at the workmanship being delivered throughout the student’s tenure in secondary school?

    Did the student display leadership qualities? Or were they simply bookworms pressured by parents to hit the books and disregard the need for extracurricular activities?

    What were the student’s involvements in society? Did he help organize a donation drive? Did he help organize concerts and entertainment venues?

    These acts display more moral fiber and involvement in society than a student who reads a gazillion books, and it should be accredited just as well.

    Now on to the subject of English as the medium to disseminate education. I disagree with your opinion on Malay being used as the medium for Science and Maths. This is out of respect for the students who showed their support of this move by choosing the English papers over the Malay papers in the recent SPM exams. We should respect the student’s choice in this affair.

    But then, it really surprised me that the teachers are still not comfortable with presenting the material in English. Simply goes to show that preparation for this migration of languages was foul and foolhardy.

    But then, so is screaming Allahuakbar while brandishing a keris and threatening 30% of the population of Malaysia for questioning an article in our Constitution that was, quoting Dr. Ismail, “a handicap for the Malays to level the playing field”. My father says that this brandishing of the keris apparently passes on between cousins, from Najib.

    Goes to show what you can expect from some people.

    It is not a sign of disrespect to allow another language to be used to teach. If anything, I’d say it is out of pure respect for the classical Malay language. I’ve heard our current DBP people butcher the Malay language with badly spelled English words or direct translations to the point that I almost choked once that I had to use the word muat turun to describe downloading to some friends.

    On the issue of rising number of students going for international and private secondary schools, well, there’s an obviously simple reason behind that.

    They have better facilities which give comfort to parents to pay much extra to allow their kids to study in a better environment. Has nothing to do with the government. Heck, if the government charged us all that amount in taxes, I’m sure we’d have all our government schools well equipped like that of SMK Sri KDU.

    Personally, I see the need for teaching our kids English on a higher priority on that as maintaining our Malay language in BM.

    Don’t go out calling me a traitor to my own race just yet. Allow me to explain.

    BM reminds us of who we are as a nation. However, English is the language being used and understood on an international level. Democracy dictates that we follow the majority, does it not?

    I understand that Bahasa Melayu is our national heritage and deserves to be looked after. However, I don’t subscribe to the belief of “sacrificing the son for the sake of culture”.

    If learning Malay and having a grand oratory ability gets them to act in Parliament like my current MPs in Parliament, then by all means, let’s switch to English.

  4. 4 echopena Mar 22nd, 2007 at 6:58 am

    Paling menakutkan saya ketika melihat kepada situasi pembelajaran di negara kita, adalah sikap berlumba-lumba untuk mendapatkan kuantiti dan bukan semestinya kualiti. Bagi sesetengah pelajar dan ibu bapa, mendapat markah 80 untuk mendapat A itu sudah mencukupi sedangkan jelas sekali pelajar belum dapat benar-benar menguasai apa yang dipelajari.

    Pembelajaran yang terlalu berorientasikan peperiksaan juga menyebabkan pelajar berada di bawah tekanan dan berkemungkinan tinggi tidak belajar dalam suasana yang seronok. Tanpa menyukai apa yang dipelajari, sukar untuk kita melihat orang Malaysia melahirkan idea-idea baru yang mampu menggegar dunia.

    Teringin juga untuk saya menimbulkan persoalan: Dalam bahasa apakah sesi pembelajaran berlangsung di Jepun? Korea? China?
    Negara-negara Asia ini mempunyai kemajuan teknologi dan ekonomi yang sungguh hebat. Sesungguhnya kemahiran menguasai bahasa Inggeris bukanlah pra-syarat kepada ketinggian ilmu pengetahuan. Sebaliknya sikap ingin belajar dan mencintai ilmu pengetahuan itulah yang lebih penting lagi.

  5. 5 padamar Mar 22nd, 2007 at 4:10 pm

    Asalamualaikum Dato’ Seri,

    Membincangkan soal pendidikan ini, saya terpanggil untuk memberi sedikit input agar perkembangan Sektor pendidikan kita akan terus dimajukan melampaui sebarang agenda politik. Walaupun pendidikan di Malaysia hampir -hampir kenampakkan dan mungkin setengah orang sudah nampak yang sistem pendidikan kita seolah-oleh telah dipolitikkan. Orang akademik sepi, orang lain pula yang perasan sebagai ‘Ahli Akedemik’ terlebih-lebih. Mudahnya kita serahkan saja soal pendidikkan ini kepada mereka yang AHLI. Insya Allah bermutulah pendidikkan kita.

    Saya percaya secara asasnya bahawa sesuatu ilmu itu amat bergantung rapat dengan bahasa yang paling banyak, kerap malah lebih difahami untuk berkembangbiak dalam sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, Kenapa Allah menurunkan Al-Quran dalam bahasa Arab? Ini kerana ianya lebih mudah bagi Rasul kita menyampaikan ilmu tersebut dalam bahasa tersebut apatahlagi itu adalah bahasa ibunda baginda dan masyarakat sekelilingnya juga menggunakan bahasa yang sama. Dan Ilmu Al-Quran berkembangbiak dengan baiknya ketika itu. Itu dalam bab teragung Kita sebagai Umat Islam. Dan sekarang Al-Quran telah diterjemah ke dalam beberapa bahasa. Paling mengangumkan lagi, orang barat telah memperkembangkan ilmu Al-Quran dengan cara kajian saintifik maka lahirlah ilmu-ilmu sekunder yang pelbagai dengan bermacam-macam genre dengan menggunakan bahasa English, bahasa yang mereka fahami dan mahir menggunakannya. Ini menunjukkan kejayaan itu bukan kerana bahasa itu semata-mata tetapi kejayaan mereka disebabkan mereka mengguna BAHASA PEMIKIRAN mereka untuk mengembangkan sumber ilmu yang mereka perolehi. Jadi kata kuncinya disini adalah BAHASA YANG DIGUNAKAN OLEH OTAK UNTUK BERFIKIR.

    Dalam konteks kita di Malaysia, malah sekitar nusantara ini Bahasa Melayu merupakan bahasa yang paling kerap dan banyak digunakan. Sejajar dengan itu ada satu laporan yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu merupakan bahasa ke 4 paling banyak digunakan di dunia. Secara rasionalnya ilmu akan berkembang di sekitar rantau ini jika ilmu itu dalam Bahasa Melayu. Jadi strategi KERAJAAN menggunakan bahasa INGGERIS dalam pengajaran SAINS dan MATEMATIK sebenarnya telah merosakkan satu sistem pengembangbiakkan sesesuatu ilmu itu. Dalam ertikata lain, telah melemahkan operasi sistem pemikiran. Bagi yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan sehari-hari, mereka ini tidak terjejas, tapi bagaimana dengan majoriti masyarakat yang masih menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa seharian. Bagi saya, Satu sistem pendidikan yang berjaya ialah satu sistem pendidikkan yang membenarkan sesuatu ilmu berkembangbiak tanpa merosakkan cara pemikiran semasa masyarakat. Dengan cara menetapkan sesuatu ilmu mesti dipelajari dalam bahasa tertentu dan sebahagian lagi dalam bahasa lain. Sudah tentu kita menjadi sebuah komputer yang hanya melakukan sesuatu kerja seperti yang diarahkan kalau salah input maka salahlah output. Apa yang kita mahu sebenarnya ialah seorang manusia yang mampu menghuraikan sesuatu ilmu sebanyakmana yang mungkin tanpa lari dari skop dan hukum sesuatu ilmu itu dengan tepat dan benar seperti yang difikirkan dan difahaminya. JADI SARANAN SAYA AGAR BAHASA MELAYU MESTI DIMAJUKAN SELARAS DENGAN PERKEMBANGAN ILMU TERKINI demi menyelamatkan Masyarakat Malaysia dalam era globalisasi.

    Namun harus dingat, untuk lebih berjaya dalam era globalisasi ini, kita mesti mengetahui bahasa lain selain Bahasa Melayu. Sebagai contoh, Dalam konteks Pemasaran, kita kena mahir bahasa yang digunakan sekitar ruanglingkup pemasaran. Sebagai contoh, Kalau hendak berniaga ke China kenalah tahu Bahasa Cina dan begitulah dengan negara-negara lain barulah ada ‘ong’. Jadi, kalau sekolah Cina menggunakan bahasa pengantarnya bahasa Cina, galakkanlah, begitu juga Bahasa Tamil. Janganlah pula mereka dipaksa menggunakan bahasa orang lain, tapi galakkan mereka supaya memperlajari bahasa lain sebagai alat untuk bersaing dalam era pemasaran Global. Dalam ertikata lain, kita menggalakkan rakyat kita supaya jadi manusia yang ‘Multi boleh’ dengan pendekatan yang lebih tersusun tanpa mengorbankan apa-apa.

    Kesimpulannya, Jika Malaysia ingin melihat rakyatnya bertukar dari Masyarakat Pengguna kepada Masyarakat Pencipta dan Pemula maka kajilah apakah BAHASA PEMIKIRANNYA dan usahakanlah agar Masyarakat kembali ke Dunia Ilmu. Dan Lagi, Bagilah peluang Pelajar di U tu peluang untuk terlibat dalam arus perkembangan negara terutamanya dalam hal-hal politik, bukalah ‘gari’ yang merantai mereka selama ini. Biarlah mereka sibuk dengan “SUASANA ILMU” daripada LEKA dari suasana NAFSU DAN AMARAH. Biarlah Mereka gagal dalam hujah daripada mereka gagal dalam Nafsu dan Amarah.

    MANUSIA KALAU GAGAL…
    Kalau gagal mudanya, dewasanya masih ada masa lagi, kalau gagal dewasanya, tuanya ada lagi,
    Kalau gagal tuanya, Pastinya dia tidak pernah berjaya dari mudanya lagi…..

    Wassallam.

  6. 6 pengundimuar Mar 23rd, 2007 at 12:26 am

    Saudara Anwar Ibrahim;

    Dasar subjek matematik dan sains dalam bahasa inggeris; mengarut

    Pendahuluan
    Sekarang bukan zamannya lagi berpencak atau bersilat tetapi masanya untuk berhujah dengan idea. Walaupun rasanya“darah-muda” saya cepat sahaja cair dan mendidih, tak perlu dijerang, cukup dengan hanya suasana keliling berbahang. Kadang-kadang saya terdiam, ada orang yang sempit fikirannya berkata pada saya bila saya bersembang, “tak payah lah kau menyalak, seolah-olah anjing menyalak bukit, bukit tak akan runtuh”, saya pening dan tak faham, lalu saya diam dan simpan dalam hati, mungkin betul katanya. Rupanya bila saya simpan ia jadi penyakit, perut saya senak, mata saya merah, otak saya beku dijajah.

    Suatu masa dulu, untuk mencari duit tambahan, saya pernah menjadi penghantar pizza rumah ke rumah. Antara banyak pelanggan yang saya hantar, saya ingat seorang pelanggang tetap bangsa cina yang mempunyai anjing. Banyak kali aku terserempak dengan anjing yang menjaga rumah tuannya. ANJING itu menyalak setiap kali melihat saya. Dia akan terus menyalak tidak kira pagi atau petang. Dia akan menyalak apabila terlihat objek melintas di hadapannya. Kekadang salakannya memanjang, mendayu dan menyeramkan. Kata orang, salakan begini bererti anjing itu ternampak hantu.Tabiat semula jadinya ialah menyalak. Lantaran apa sahaja pergerakan yang dilihatnya, dia akan terus menyalak. Anjing kalau tidak menyalak, bukan anjing namanya. Menyalak bukan hobinya tetapi naluri kehidupannya.

    setelah kerap saya kesitu, saya berkata” encik, anjing encik ini menyalak setiap kali saya hantar pizza, sampai takut saya nak kemari”. Sehingga esoknya saya datang tidak lagi dengar salakan anjing itu. Saya bertanya tuannya mengapa?. rupanya, tuannya mencari simpai dan menyimpai mulutnya. Saya terfikir, niat anjing itu murni untuk menjaga rumah tuannya. Mulutnya terkunci dan lantaran itu menegahnya daripada menyalak. Nalurinya untuk menyalak telah dihalang. Haknya untuk menyalak telah disekat. Itulah satu-satunya hak asasi yang ada pada binatang yang bernama anjing.saya fikir, apalah salah yalakan anjing tadi, hanya untuk memberitahu tuanya supaya berhati-hati dan menjaga dari terancam, Cuma salahnya saya takutkan salakan anjing tadi. Baguslah sebenarnya saya takut, supaya siapa sahaja ke situ akan berhati-hati. Tuan nya itu lah yang tak patut, zalim dan tak faham erti kehidupan. Beberapa hari selepas itu saya pergi lagi, kali inu rupanya anjing itu sudah mati dan mungkin menanggung derita perasaannya dengan tidak dapat menyalak.

    Dengan itu, saya rasa aku patut bersembang dan menyampaikan juga memberitahu dengan hujah dan fakta bila mana saya terlihat sesuatu yang salah, terpulanglah mereka ingin tahu atau tidak. Kerana itu naluri saya sebagai seorang manusia normal.

    Dasar pelajaran sains dan matematik dalam bahasa inggeris

    Perkara ini satu dasar yang GILA dan BODOH, maaf saya menggunakan perkataan yang kasar agar sampai maksudnya. Penulisan ini bukanlah sahaja usaha saya untuk menyampaikan maksud, sehingga ada menteri yang saya jumpa juga telah saya sampaikan ketidakpuasan hati akan perkara ini. Mengapa saya berfikir begitu akan dasar ini akan saya hurai satu persatu.

    Mematikan minat belajar dengan penggunaan bahasa lain dari bahasa ibunda

    Banyak juga Negara yang telah saya dalam pelbagai tujuan. Jepun, china, germen, US, UK dan sehingga sebenarnya saya mendapat pendidikan selama 5 tahun di negara barat dengan berorentasikan bahasa pengantarnya adalah bahasa inggeris. Penguasaan bahasa saya tidak lah teruk sangat malah jika dibandingkan pelajar negara lain kita lebih keterdepan. Setelah saya fikir dan dalami, mana ada negara yang mengajar sains dan matetatik dalam bahasa yang mereka tidak tahu seawal hari pertama masuk sekolah bagi anak-anak mereka. Ini yang saya katakan perkara ini satu keputusan yang gila. Cuba bayangkan anak seorang nelayan dikampung, sudahlah percakapan harianya loghat melayu-setempat, tiba-tiba hari pertama kesekolah dia diajar dengan bahasa yang dia tak pernah faham. Bagaimana mahu menarik minat pelajar itu untuk terus maju. Mereka terpaksa dengan tiada pilihan lain dan tertinggal dalam pembelajaran akhirnya.

    Bahasa melambangkan bangsa
    Kalau ditanya sudah ada negara yang mula menggunakan bahasa inggeris secara meluas. Ya, memang ada negara-negara maju mula menggunakan bahasa inggeris contohnya china dan jepun. Tetapi mereka tidak menggantikan bahasa pembelajaran kepada inggeris. Alangkah ruginya kita hanya mengagungkan bahasa penjajah, sedangkan telah banyak buku rujukan dalam bahasa melayu. Bukankah bahasa melambangkan bangsa.. Kita orang islam sudah menggunakan bahasa melayu sudah lebih 800 tahun dulu, konsep islam, syariat islam, ilmu islam, budaya islam dan sebagainya kita faham melalui bahasa kita. Contoh yang paling dekat, perkataan ijab dan Kabul tak ada kamus bahasa inggeris, nikah pun tak ada. Engaged makna bertunang itu betul, Dan banyak lagi..

    Bukan sedikit yang telah memperolehi PhD dalam pelbagai bidang dengan sistem lama(penggunaan bahasa melayu), bukan sedikit sudah menjadi menteri, bukan sedikit mereka sudah menjadi pakar. Terkenal diantarabangsa, bukan sedikit telah menjadi “internasiotnal player” dalam setiap penjuru kepakaran. Apa gusarnya dengan bahasa melayu yang digunakan dalam sistem pendidikan..emm kita mengundur kebelakang sebenarnya.

    Negara lain maju dengan bahasa mereka, mengapa tidak kita. Kita seolah-olah terlalu mahukan bahasa inggeris itu sahaja penyelesaian untuk banyak perkara. Kita dianggap moden kalau kita berbahasa inggeris, ya ke begitu?. Kita harus ingat banyak negara yang maju hanya menggunakan bahasa mereka sahaja dalam sistem pembelajaran mereka, iran boleh buat bom sendiri, sampai US takut, jepun maju hingga menggegar dunia. Benua eropah yang hanya sejengkal sahaja jaraknya jika dibuka peta dunia dari united kingdom menggunakan bahasa ibunda mereka dalam pendidikan asas, mereka terus maju. Saya tidak nampak masalah langsung dalam perkara ini. Sekiranya kita berkata ada “pemimpin” kita yang masih berkiblatkan penjajah, yang indah-indah itu dari sana, mereka marah tetapi banyak perbuatan mereka terjurus pada paksi itu tadi.

    Genarasi masa depan dipimpin golongan “bangsawan”.

    Perkara ini tidak dapat dilihat kesannya secara mendalam dalam tempoh terdekat, ianya akan terkesan dan dirasai dari kesilapan sistem yang ada sekarang 20 tahun dari sekarang. Sudah diketahui umum sesuatu keputusan diMalaysia selalunya seperti “mee segera”, pak menteri “mimpi” hari ini, esok akan mula terlaksana. Apa yang lebih merisaukan saya adalah generasi 20-30 tahun yang akan datang.

    Dalam apa sahaja organisasi (dari kerajaan sampai ke swasta, dari menteri sampailah pengurus kedai kecil) akan didokongi dan diketuai oleh mereka generasi ke-dua yang cemerlang dalam sistem sekarang (pendidikan bahasa inggeris). Cuba anda fikir siapa yang cemerlang sekarang, tentunya mereka yang memang mendapat pendedahan dari keluarga, atau anak golongan “menengah”, orang pekan/bandar, anak saya, anak anda yang mendapat pendedahan yang cukup. Apa yang akan jadi pada anak-anak kampung, hanya mewarisi kemiskinan ibu dan ayah mereka. Jurang antara penduduk bandar dan kampung melebar, bagaimana slogan kerajaan menghapuskan jurang perbezaan ekonomi antara kaum dan antara orang Bandar dan kampung.

    Siapa yang banyak duit sekarang, bukan orang melayukan, siapa ramai dipekan-pekan dan menghantar sekolah anak-anak mereka disekolah yang baik, bukan orang melayukan. Dan siapa yang mampu menghantar anak-anak mereka ke kelas tambahan sehingga ada guru datang ke rumah mengajar, bukan orang kampung bukan. Golongan ini akan menjadi kelompok besar akan mengambilalih kepimpinan disemua peringkat. Mereka sudah hidup senang dan tidak akan peduli orang bawahan.

    Saya dibesarkan dan bersekolah rendah dengan murid sekolah itu kurang dari 200 orang dan mungkin kurang dari itu. Sekolah itu 2-3 kilometar dari jalan besar muar-batu pahat masuk kedalam. Sekolah berkenaan pada masa itu hanya kurang dari 10 guru dan kebanyakkan guru akan mengajar semua subjek tidak ikut pengkhususan mereka, saya tak pasti adakah masa itu guru pengkhususan bahasa inggeris di sekolah itu. Bila saya kesekolah itu semula sekarang, sekolah itu tidaklah banyak berbeza dengan 20 tahun dulu saya tinggalkan. Bangunan sekolahnya hanya sebaris blok yang mempunyai kelas darjah 1 hingga 6. Biasa berlaku, saya belajar bahasa inggeris masa itu, seingat saya akan dicampur darjah satu dan darjah dua dalam satu kelas, tidak ingat alasannya apa. Kekurangan murid di sekolah itu adalah kerana ramai penduduk di sekitar itu menghantar anak-anak mereka ke sekolah di jalan besar dan memikirkan akan kecemerlangan anak-anak mereka. Ramai orang kampung di situ adalah nelayan, kerja sendiri, pesawah dan petani. Bagaimana hendak dibandingkan pendidikan yang tersedia di sekolah dipekan dengan berbagai kemudahan. Cuba anda fikirkan, sekolah itu masih ada dan tidak banyak berubah sehingga sekarang, juga saya percaya masih banyak sekolah seperti itu. Mereka inilah golongan yang akan tertinggal dalam sistem yang ada sekarang.

    Bila saya di tingkatan satu, pelajaran matematik adalah paling mereka tak suka termasuk saya, apatah lagi pelajaran bahasa inggeris. Teringat seorang kawan dulu dikampung, dapat markah matematik 40 sudah berlonjak suka, disebabkan tak pernah dapat markah seelok itu [boleh lulus] dan juga dialah juga juara dikalangan kawan-kawannya. Saya fikir semula dengan dasar yang diperkenalkan sudah tentu kecemerlangan mereka itu tidak akan dapat dilihat dari awal dengan dia tidak lagi minat dalam bahasa inggeris dan semua pelajaran yang diajar dalam bahasa inggeris. Saya antara yang bernasib baik, dipilih ke sekolah berasrama penuh dan mempunyai kemudahan yang berbagai. Saya rasa mereka yang berbuat keputusan ini sehingga menyebabkan terlaksananya perkara ini adalah orang “bangsawan” atau kacang lupakan kulit. Golongan ini tidak berfikir panjang atas kesan yang akan terjadi pada bangsa melayu yang kebanyakannya dikampung.
    Mereka tidak merasa keperitan pendapatan mereka hanya 300-400 ringgit sebulan dan masa itu menuding jari akan kelemahan yang ada, bukan mahu di bantu. Hingga berkata apa perlunya lagi “tongkat” untuk orang melayu, melayu lemah dengan hanya mengharapkan kebajikan kerajaan, pilihan kemasukan universiti diluas lebarkan kononnya untuk dasar keadilan semua kaum. Pandai pula bercakap tentang keadilan tetapi sebenarnya “tongkat” itu hanya untuk golongan mereka.

    Mungkin ini hanya luahan hati seorang budak kampung, seperti saya dan siapa yang peduli. Biarlah saya cuba usaha sendiri membantu mereka dengan mengadakan kelas tambahan untuk mereka, motivasi dan lain-lain. marilah kewan-kawan kita bantu mereka, walau akhirnya, mereka masih memuja, melambong, menyokong “golongan” bangsawan tadi dengan berkata “dulu kita makan ubi je, sekarang dah ada jalan raya, cukup le, banyak kerajaan dah bantu kita”. Itu semua tidak penting, yang lebih masa depan anak-anak mereka terbela..

    Ketandusan pemimpin berjiwa besar

    Masalah sebenar dalam perkara ini adalah pendokong yang membawa sistem menyimpang dan tidak berjiwa rakyat. Menjadi pendokong, bukan hanya mengatur stratigi supaya penyokong faham pendirian kita dan mengikut kata. Tetapi menjadi pendokong yang juga berfikir bagaimana cuba memahani kehendak penyokong bawahannya. Menjadi seorang pendokong tidak boleh menjadi seorang yang “fuzzy” dengan sekurangnya sentiasa mempunyai pembolehubah antara satu dan kosong dalam banyak keadaan perjalanan dan formula matlamatnya.

    Seorang pendokong harus berpandangan dan berjiwa besar. Sebab apa?, kita sentiasa didorong dalam apa sahaja pekerjaan dan perbuatan melalui ikutan contoh atau pattern. Kau pencetus pattern itu, kau selalu dapat mewujudkan “change reaction” dalam domian setempat. Satu gerakan atau perubahan kecil atau sekurangnya akan mempengaruhi gerakan dan terkesan dari atom-atom yang lain, itu teorinya. andaian kau sebagai atom, kau boleh mengubah sekurang-kurang stuktur susunan atom asal dari satu dan merebak pengaruhnya; Walaupun prosesnya perlahan dalam perubahan itu, tetapi akhirnya Berjaya. Pendokong yang berjiwa besar sentisa berusaha menjadi “international player” dan bukan sekadar jagohan kampung. Pemimpin yang berjiwa besar meletakan kepentingan pribadi sebagai perkara keseratus melebihi dari tanggungjawabnya. Pemimpin berjiwa besar boleh melihat masalah dari luar box dalam pelbagai sudut.

    Akhirnya kita menjadi Negara buli-membuli

    DALAM buku cerita-cerita kesultanan Melayu lama, selalu ditonjolkan watak cerita di mana “siapa kuat menjadi raja atau ketua”. Perolahan cerita menjadikan seseorang ketua itu seorang yang zalim, berkuasa, mempunyai kekayaan, ramai kuncu-kuncunya, tinggi ilmu (silat atau sihir), garang atau salah satunya daripadanya.

    Pada masa itu, yang kuat akan terus kaya-raya dan yang miskin akan terus papa-kedana. Sesiapa yang berkepentingan dan berpengaruh akan hidup senang dalam sistem tersebut.Sistem seumpama berterusan atau kembali dalam era baru di Malaysia. Sistem itu saya lihat dari peringkat yang kecil hingga peringkat sebuah kerajaan yang memerintah. Tentu sekali sangat terperinci sekiranya dapat saya huraikan di sini.

    “Kita” semua dengan tiada pilihan akan masuk dalam dua kumpulan besar dalam setiap peringkat penyelesaian masalah harian iaitu kumpulan “membuli” atau “dibuli”. Tentu semua akan berlumba untuk membuli dan tiada siapa yang hendak menjadi mangsa dibuli.

    Di masa ini ukuran kekayaan, kekuatan, kegarangan, kekuasaan, kepandaian dan pengaruh mengambil peranan meletakkan kita di dalam golongan mana. Tentu sekiranya kita dalam kumpulan “membuli,” kita rasa selesa. Bagaimana jika kita di kumpulan satu lagi, kita akan rasa tertindas. Masalahnya sistem ini terus berkembang adalah kerana terdapat mereka yang berkeuntungan dalam sistem ini walaupun sebahagian besarnya tersepit dalam keadaan.

    Semoga segalanya berakhir tidak lama lagi

    PengundiMuar
    panglimaselampangmerah@yahoo.co.uk

  7. 7 Mokhzani Mar 23rd, 2007 at 7:47 am

    aput83,

    As a bilingual myself, I personally think it is not impossible to master both Malay and English, and without compromising both, our national pride i.e. The Malay Language first and foremost, and secondly the need to utilise English as a global dominant lingua franca, especially in today’s fast growing business world.
    Adopting the ‘Think Locally Act Globally’ mantra as first propunded by John Naisbitt would be a fair approach. We have some Malaysian citizens of the so-called elite class who were even born and bred here, but still cannot speak Malay with fluency. I am sure this is not something to be proud of. I came across many Asian and Arab bilinguals in the United Kingdom and those coming from the States who master with fluency both English and their native tongues.
    I think it’s time we change our mindset and paradigm and look at situations in a wider perspective.
    Why not strive from today to master both Malay and English? Both have their roles to play on local as well as global scales.

    Ahmad Mokhzani Abdullah
    www2.blogger.com/profile/15364387890980600084

  8. 8 rudy_ramly Mar 23rd, 2007 at 10:21 am

    salam.

    Timbul satu persoalan.
    Amat hairan kenapa dalam perbahasan di parlimen sekarang amat kurang soalan atau perbahasan oleh MP keADILan dan PAS.
    Kenapa banyak pula soalan dan isu-isu panas yang di bahaskan MP DAP mendapat liputan media.
    Adakah kerana soalan atau isu-isu yang dikemukakan MP keADILan dan PAS tidak berkualiti….atau isu remeh temeh yang tidak layak dikeluarkan liputannya oleh media.
    Mungkin disebabkan MP DAP yang gigih membela dan memperjuangkan hak rakyat di parlimen sekarang menyebabkan DAP disegani sebagai pembangkang terkuat negara.mampu memenangi kerusi terbanyak di kalangan pembangkang bersendirian tanpa terlalu bergantung pada PAS dan keADILan.
    Sesuatu perlu dilakukan oleh MP keADILan dan PAS dalam perbahasan parlimen kali ini.

  9. 9 mkhairie Mar 23rd, 2007 at 11:13 am

    Rudy_ramly, hukum media oleh kebanyakan negara khususnya dimonopoli oleh sesebuah kuasa bukannya untuk melapor tetapi sebagai propaganda. Usaha propaganda pula adalah untuk membentuk acuan pemikiran tertentu. Teori perancangan media dan ‘gate-keeper’ menjelaskan bahawa media berperanan membentuk sesuatu pemahaman yang hendak diterapkannya. Saya mempunyai dua analisis terhadap apa yang disoalkan. Pertama, PAS dan Keadilan semakin mantap dan mempunyai kesan psikologi khususnya terhadap pengundi atas pagar. dengan melaporkan hujah-hujah MP PAS atau Keadilan, maka akan memperlihat kedua-duanya terus kukuh dan unggul. Untuk mematikan kedudukan itu lebih baik dilaporkan wakil DAP yang memang pun bagus tetapi kesannya ke atas masyarakat adalah kurang daripada PAS dan KEADILAN. Ini kerana DAP hanya mampu mempengaruhi sekumpulan rakyat sahaja. Sedangkan mereka yang sokong PAS dan KEADILAN jauh lebih besar pengaruhnya. Sekadar pandangan… salam.

  10. 10 rudy_ramly Mar 23rd, 2007 at 12:02 pm

    Tq.
    Mohon pandangan dari yang lain.

  11. 11 aput83 Mar 27th, 2007 at 5:29 pm

    I thank Mokhzani for imploring that both languages need to mastered. The reason I focus higher priority for English in our education system is to allow our newer members of scholars a fighting chance against the rapidly globalist world.

    The thing is, our English was once better than our current stature. How does a country decline in it’s capacity to communicate in a language that hasn’t evolved for centuries?

    At the same time, I will admit that our local language isn’t too hot either. With the current trend of simply translating foreign words directly into Malay, I can honestly say that our local language is losing it’s charm.

    As for the locals who cannot speak their mother tongue, it does not mean much in a global sense. Sure, in a local sense they might be branded as Melayu celup (I’ve had my share of this one), but how does that affect him in the global marketplace?

    Plus, if at all necessary and if there was ever a drive for them to master the local language, I’m sure they would do so without hesitation.

    Lee Kuan Yew did it. And he’s Singaporean.

  12. 12 Johnathan Ong Cheng Chuan Sep 30th, 2007 at 6:02 am

    Bencikan ISA guna Keadilan.

  13. 13 e2a e2at Oct 12th, 2008 at 2:25 am

    after 50 years of independent, which aspect do you think malaysia needs to improve in most? you think that malaysia should improve its educational system elaborate

Leave a Reply






Galeri Flickr

Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk Majlis Perhimpunan dan Executive Talk 

Dokumentari Perbicaraan 1998

Video Manifesto KeADILan

Sila klik sini untuk versi Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Pakatan Rakyat to Putrajaya

Pamerkan Di Website Anda

Other Banners

 

March 2007
M T W T F S S
« Feb   Apr »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031