Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyeru supaya ahli dan penyokong Parti Keadilan Rakyat tidak gusar dengan proses demokrasi menjelang pemilihan pimpinan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mei depan. Beliau menyingkap kembali sejarah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, persaingan juga wujud didalam pemilihan Kulafa ar Rashidun. Saingan diantara pemimpin-pemimpin yang berwibawa didalam parti ini membuktikan wujudnya demokrasi didalam parti.
Beliau menegaskan, apa yang perlu dibantah adalah politik wang dan amalan fitnah-memfitnah yang akan memburukkan imej dan merosakkan proses pemilihan.
Jika ini berlaku, beliau bertekad untuk memastikan mereka yang didapati terlibat dikenakan tindakan keras. Beliau mengingatkan semua pemimpin supaya jangan tersilap langkah kerana gelojoh berentap tanpa menitik beratkan soal akhlak.
DS Anwar juga menyatakan bahawa Presiden parti dan rakan-rakannya telah sepakat meminta beliau menggalas tanggungjawab sebagai presiden parti. Mengikut proses, beliau telah dicalonkan namun ini tidak bermakna adanya larangan terhadap sesiapa jua untuk dicalonkan sebagai presiden parti.
Semua pihak didalam parti diberi ruang untuk memilih pemimpin yang mereka percaya mempunyai kepimpinan yang baik serta semangat perjuangan yang tinggi untuk membawa parti kearah yang lebih baik dan meneruskan perjuangan untuk membela nasib rakyat. Sekali lagi, semua ahli dan penyokong tidak perlu gusar kerana Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti yang berpegang teguh kepada prinsip demokrasi dan tetap relevan sebagai pilihan rakyat. Proses pemilihan ini akan memastikan tampok pimpinan PKR diterajui oleh mereka yang berwibawa demi menjana kemenangan yang menunggu kita dihadapan!
Pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim