Acara Khamis ketat sekali. Saya tertekan untuk menyelesaikan tugas dan kuliah di Universiti Georgetown. Undangan bertambah setelah pihak Universiti diberitahu saya akan menamatkan perkhidmatan disini dalam tempoh satu bulan inshaallah.
Setelah mengadakan pertemuan dengan teman-teman di Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT) di Reston, Virginia saya terus ke Washington DC. Saya tiba di Institut Dasar Awam (Public Policy Institute) University pada pukul 12.30 tengah hari untuk memimpin Seminar bersama graduan kursus sarjana. Saya banyak menumpukan perbincangan mengenai pengurusan awam dan isu rasuah.
Pada pukul 2 petang, saya tiba dipejabat dan menemui beberapa mahasiswa dan graduan yang mengikuti kursus saya. Saya berbincang dengan Assoc Prof Max Gross pembantu saya dalam mengendali kursus Contemporary Islam in South east Asia. Kuliah saya bermula dari pukul 3.15 hingga 5.05 petang. Saya mengejutkan mahasiswa dan graduan dengan memberikan ujian ringkas meminta mereka mengulas buku rujukan yang dibaca sabelum ini. Ini termasukkarya Herbert Feith, Clifford Geertz, dan lain-lain judul.
Kuliah saya kali ini tertumpu kapada masalah nasionalisme dan Islam di Indonesia; gagasan Pancasila olih Sukarno dan kontroversi Piagam Jakarta; pilihanraya 1955 dengan penyertaan Masjumi, PNI, PKI; pemberontakan PRRI hingga 1961; Gestapo 30 dan kemunculan Suharto dan Orde baru…
Selesai kuliah, mahasiswa dan graduan bergilir mengambil kesempatan menemui saya mengemukakan pelbagai soalan. Saya melayani semua kerenah mereka sambil berjalan menuju pejabat.
Sejurus kemudian beberapa mahasiswa aktivis MSA (Muslim Students Association) Universiti menemui saya dan mengiringi saya ka dewan untuk majlis iftar. Iftar kali ini dikendali olih MSA dan ditaja olih Berkley Center. Ramai yang hadhir termasuk profesor dan mahasiswa bukan Islam. Omar Akbar, anak kapada sarjana Akber Ahmad memperkenalkan saya dan saya menyampaikan ceramah yang menyentuh soal ibadah puasa, kelazatan ilmu menurut tradisi Islam, cabaran di Amerika Syarikat terutama dengan pencerobohan Amerika di Iraq, langkah pentadbiran Presiden Bush menggantung writ habaes corpus yang saya anggap sebagai satu tindakan yang bercanggah dengan hak asasi manusia.
Sebaik tiba dirumah, dengan tilawah, membelek email dan blog, saya tentunya keletihan “capek” kata teman Jakarta!
















Begitu banyak ilmu dan kebijaksanaan. Alangkah baik jika usaha sedang dilakukan untuk membukukan semuanya bagi santapan (consumption) rakyat Malaysia. Mungkin juga syarahan-syarahan yang disampaikan boleh dirakam dan disiar melalui webtv atau dikelaskan mengikut maudhu’ untuk diedar melalui VCD-DVD.