oleh Mohd Yusmadi Yusoff
![]()
Washington D.C 12 Oktober 2006 – Kuliah Datuk Seri Anwar Ibrahim kali ini berkaitan dengan Revivalisme ataupun Nahdah Islam di Malaysia. Kuliah bermula seperti biasa tepat jam 3.15 petang.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan mauduk tersebut dengan menjelaskan konsep Revivalisme Islam kepada para pelajar dengan contoh-contoh initiatif awal yang berlaku di Malaysia. Kuliah kali ini amat menarik kerana contoh-contoh yang disebut merupakan pengalaman peribadi yang dilalui oleh Datuk Seri Anwar sebagai pemimpin pelajar, belia dan seterus sebagai Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia.
Revivalisme Islam di Malaysia dikatakan unik jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain seperti di Pakistan dan Timur Tengah. Datuk Seri Anwar menjelaskan bagaimana bahan-bahan bacaan ketika itu banyak mempengaruhi beliau dan teman-teman di dalam menterjemahkan idealisme awal mereka. Selain daripada karya-karya tokoh Timur Tengah dan Pakistan seperti Syed Qutb, Hassan Al Banna dan Maududi, karya-karya dari pemikir-pemikir Islam di Barat seperti Ismail Faruqi, Syed Husin Nasr (Universiti Temple) dan Fazrul Rahman (Universiti Chicago) juga mempunyai pengaruh yang tersendiri kepada beliau dan teman-teman yang mengerakkan agenda Islam ketika itu.
Seterusnya, Datuk Seri Anwar menjelaskan bagaimana pemikiran Natsir pemimpin parti Islam Masyumi di Indonesia juga memberi pengaruh kuat beliau dan revivalisme Islam di Malaysia pada ketika itu. Pengaruh Islam dari Indonesia berterusan melalui komunikasi Datuk Seri Anwar dengan teman-teman di Himpunan Mahasiswa Islam (HMI) di Indonesia.
Dengan latar belakang pendidikan yang berbeza berbanding dengan peneraju-peneraju Islam di negara lain, keunikan Datuk Seri Anwar sebagai pelopor revivalisme Islam amat siknifikan. Revivalisme Islam di Malaysia merentas aliran pendidikan ketika itu yang boleh dilihat melalui institusi-institusi seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar, Maktab Perguruan Sultan Idris, dan pendidikan Islam di sekolah-sekolah agama dan pondok pada ketika itu.
Program-program yang dilakukan bukan sahaja tertumpu kepada persoalan pendidikan Islam, malah tumpuan diberikan kepada isu-isu keperdulian rakyat seperti kemiskinan, isu atarabangsa seperti isu perang di Vietnam dan revolusi di Iran.
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ditubuhkan oleh Datuk Seri Anwar dan teman-teman menjadi wadah yang begitu relevan kepada mahasiswa pada ketika itu sehingga memberi tekanan kuat kepada kepimpinan Tuanku Abdul Rahman ketika itu.
Inisiatif revivalisme Islam yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar diceritakan menjadi lebih unik di dalam kapasiti beliau sebagai Presiden Majlis Belia Malaysia ketika itu di mana ianya dilakukan seiringan dengan kerjasama yang rapat di antara pimpinan bukan Islam yang lain, antaranya Puan Irene Fernandez yang menerajui pimpinan belia Kristian pada ketika itu.
Datuk Seri Anwar kemudiannya membincangkan fasa seterusnya bila mana beliau menerima pelawaan Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamed untuk menyertai kerajaan pimpinan UMNO. Episod itu amat penting menurut beliau memandangkan ianya mendapat reaksi negatif oleh sebilangan pimpinan gerakkan Islam ketika itu.
Antara sebab kemasukkan beliau ke dalam UMNO yang dinyatakan ialah komitmen yang ditunjukkan oleh Dr. Mahathir untuk melalakukan perubahan melalui pembenterasan rasuah dan sebagainya.
Corak agenda Islam yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa di dalam kabinet mempunyai perbezaan ketara jika dibandingkan dengan pendekatan yang dilaungkan oleh pengerak pengerak Islam lain seperti PAS yang lebih cenderung mengketengahkan isu-isu Negara Islam dan hudud.
Datuk Seri Anwar lebih menumpukan agenda-agenda keadilan sosial dan governance melalui projek-projek membasmi kemiskinan, projek rumah kos rendah dan projek tabung amanah di kalangan golongan termiskin di Malaysia dan program anti rasuah sehingga beliau tidak disenangi oleh beberapa pimpinan kerajaan lain.
Kuliah Datuk Seri Anwar kemudian diteruskan dengan soal-jawab oleh para pelajar dan tamat kira-kira jam 5.30 petang.
















0 Responses to “Nahdah Islam di Malaysia”
Leave a Reply