02
Oct
06

Kuan Yew Terperangkap Kerangka Pemikiran Lapuk!

Bekas Perdana Menteri Singapura Lee Kuan Yew baru-baru ini menyelar Malaysia dan Indonesia kerana meminggir kaum Cina. Ini jelas mengandaikan bahawa kaum Cina tidak diberikan layanan adil dan saksama. Kenyataan tersebut sewajarnya mengundang wacana segar seacara tenang kerana sesungguhnya permasalahan tersebut menyentuh isu pokok prinsip negara hukum, pegurusan ekonomi, perpaduan kaum dan keadilan sosial.

Menurut amalan sekarang, hanya di Indonesia wacana bebas boleh berlaku. Kita perit meneka kemungkinan wacana sademikian diizinkan di Singapura atau Malaysia dimana undang-undang menyekat kebebasan dan mengongkong media terus diamalkan.

Lee Kuan Yew kini merupakan negarawan disegani terutama memandangkan rekod pentadbirannya yang memacu pertumbuhan ekonomi dan mengurus negara Singapura. Namun, kehebatan beliau turut tercemar lantaran tindakan menghalang kebebasan bersuara, memenjara dan menekan musuh politiknya. Penglibatan syarikat negara dalam beberapa syarikat dinegara jiran masih dipertikai dari sudut ketelusannya. Gagasan beliau mengenai “nilai Asia” yang diwarwar hebat dahulunya, kini dihumban sebagai jumud oleh Amartya Sen.

Jelas sekali Lee Kuan Yew masih terperangkap dengan kerangka pemikiran perkauman lapuk. Hujah beliau sekaligus mendedah sosok perkauman yang terpendam sekian lama. Maka masalah Cina diseberang laut kelihatan tetapi tidak kegelisan masyarakat Melayu Singapura yang merungut duka kerana terabai dan kedudukan mereka hanyut terkebelakang. Dan yang lebih dikesalkan ialah kerana beliau tidak menunjukkan keprihatinan terhadap nasib lain-lain kaum yang merempat dalam kesempitan, samaada bumiputra atau India. Malah di Indonesia, menurut perangkaan terbaru terdapat hampir 40 juta rakyat yang terbelenggu dalam kemiskinan.

Lee Kuan Yew wajar sekali merenung permasalahan kaum dan pembangunan bersendikan paksi keadilan bagi semua kaum. Beliau tetunya arif dengan kenyataan bahawa tatkala Dasar Ekonomi Baru di lancarkan pada tahun 1970, penguasaan ekonomi Melayu dan bumiputera ada sekitar 1.8 peratus sahaja. Kejayaan DEB diakui terutamanya dalam bidang pendidikan, melahirkan jumlah profesional serta menyediakan peluang dalam bidang perniagaan. Namun, dasar tersebut juga diselewengkan sehingga menular rasuah dan kronisme, memperkaya sejumlah kecil dan meminggirkan majoriti bumiputera. Hasilnya turut dikaut oleh beberapa syarikat Cina dan India yang terpilih yang menggondol habuan kontrak besar, penjanaan kuasa bebas dan dalam sektor perjudian.

Saya memang menghimbau gagasan pembangunan baru, menggantikan DEB yang kian usang dengan Agenda Ekonomi Baru. Negara harus lebih berupaya bersaing dan bersedia dengan cabaran dunia sejagat. Nasib semua rakyat miskin dan terpinggir perlu dibela, rasuah dibanteras dan semua kaum perlu diberikan peluang bersama memacu pertumbuhan yang meyakinkan.

Selama ini Lee Kuan Yew selesa dengan tokoh negara jiran yang memukul gendang perkauman yang sama. Beliau sayugia menerima kenyataan baru, bahawa suara menuntut pembaharuan ke arah kebebasan, dan keadilan bagi semua rakyat kini lebih semarak dan lantang.

Anwar Ibrahim


3 Responses to “Kuan Yew Terperangkap Kerangka Pemikiran Lapuk!”


  1. 1 ramnan zul Oct 5th, 2006 at 3:13 am

    Sdr. DS Anwar,

    percubaan lee kuan yew mengheret pemimpin terdahulu amat sinikal, seolah-olah memberi gambaran ‘benar’ ttg Malay Dilemma [ultra malay dsb]. Sdr juga giat membantu golongan luarbandar yang rata2nya melayu. Adakah alasan kuan yew ini sengaja mahu menimbulkan konflik antara Tun M dan pak lah yang juga melibatkan sdr sbg salah seorg ‘aktor’percaturan politik negara? Saya melihatnya sebagai ya, kerana dasar luar kuan yew yang saya tahu amat keras dalam menangani melayu dan Islam di rantau ASEAN ini khususnya. saya sifatkan sdr juga mangsa kpd keadaan ini, secara langsung atau tidak langsung, kuan yew tidak mahu seorg yg teguh jiwa islam dan melayunya menjadi ikon di rantau ASEAN ini! Pls comment.

  2. 2 kepaingan Oct 12th, 2006 at 2:44 pm

    Assalamualaikum DS,

    Saya newcomers dalam site ini. Di introduce oleh rakan yang sangat meminati ruangan DS.

    Ruangan ini sangat bermakna untuk semua pihak, segala persoalan tidak terjawab, yang ada kedai kopi, dam aji dan kesimpulan sendiri…

    Mungkin persoalan yang cuba saya timbulkan agak lapuk tetapi masih berkisarkan singapura dan malaysia. Apa yang dapat saya nilai melalui penilaian yang cetek ini, malaysia dan singapura mempunyai hubungan diplomatik bole di katakan ala kadar. Apa benar begitu?

    Singapura menghentam kuat negara kita dan ada ketikanya memperbudakkan negara dalam beberapa isu penting. Mengapa masih negara kita berlembut dengan mereka? Mengapa tidak kita berpendirian tegas seperti dengan mereka? Melayu yang penuh dengan budi pekerti dan peribahasa sepatutnya digunakan pada dan ketika yang betul bukannya masih lagi berpegang dengannya dalam segala hal..

    sekian terima kasih.

  3. 3 besikuning May 28th, 2007 at 6:52 pm

    Memang benar DSAI telah dilantik menjadi penasehat Kerajaan di Dubai. Saya sendiri ada menonton TV semasa di Mekah awal bulan May 07 yg lalu.Ada gambar DSAI dan sambutan mesra oleh pemimpin disana. Beliau tetap disanjung oleh negara Arab. . Syabas DSAI.Teruskan misi saudara membantu negara Islam.

Leave a Reply