Pagi tadi dapat e-mel dari pembantu Datuk Seri Anwar di Washington, Aasil. Katanya jadual Datuk Seri cukup ketat di sana dengan kuliahnya pada hari ini, dan pelbagai jemputan dari masyarakat tempatan. Tambah-tambah lagi, apabila timbul isu rampasan kuasa tentera di Thailand, ramai yang ingin mengetahui pandangan seorang pemimpin Asia Tenggara.
Baru tadi Datuk Seri Anwar muncul di World Biz Report di BBC World, rangkaian 93 Astro.
“Biasanya, saya tidak menyokong sebarang rampasan kuasa,†kata Datuk Seri Anwar.
Tetapi, beliau mengatakan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra juga telah mengundang kemarahan rakyat Thai atas pelbagai isu termasuk pengecualian cukai Dollar AS 1.88 billion ketika menjual sahamnya kepada Temasek Singapura, pilihanraya yang begitu tempang hingga dibatalkan oleh Mahkamah Perlembagaan.
Harus diingat, cara Thaksin mengendalikan krisis di Selatan Thai termasuk peristiwa berdarah Tak Bai juga perlu diambilkira.
Datuk Seri Anwar menegaskan keyakinannya bahawa sekiranya pemerintah tentera menunaikan janji mereka untuk mengembalikan tampuk pemerintahan kepada rakyat dan kerajaan yang baru dibentuk atas prinsip keterbukaan, akauntibiliti dan demokrasi, masyarakat antarabangsa tidak perlu gusar. Asas-asas ekonomi Thai terus kukuh.
World Biz Report akan diulang tayang 10.30 pagi, 12.30 tengahari, 1.30 petang, 2.30 petang, 6.30 petang dan 11.45 malam.
















