Archive for August 25th, 2006

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Teks Penuh Kenyataan Akhbar Pada Khamis, 24 Ogos 2006
capaian :- http://www.keadilanrakyat.org/spm/content/view/666/32/

Ketika Malaysia mencapai kemerdekaan, pejuang-pejuang kemerdekaan kita mengimpikan sebuah negara yang bebas, makmur dan demokratik. Malangnya, hampir separuh abad kemudian, Malaysia ialah sebuah demokrasi yang tempang.

Kelemahan utama demokrasi Malaysia ialah pilihanraya kita tidak bebas mahupun adil. Hari ini saya akan mendedahkan bukti-bukti kukuh penyelewengan, penipuan dan kelemahan yang mencemari integriti pilihanraya Malaysia. Laporan mendalam berserta bukti-bukti kukuh akan dilancarkan di Kongres Nasional keADILan.

Tanpa pilihanraya yang bebas dan adil, demokrasi tidak akan berfungsi. Hanya kerajaan yang lemah akan campur tangan di dalam pilihanraya untuk meneruskan pemerintahan mereka. Sebuah kerajaan yang bermaruah tidak akan menggunakan pilihanraya yang tidak sempurna untuk memberi ilusi demokrasi.

Maka adalah amat penting kita memastikan pilihanraya adalah bersih dan berjalan di atas padang yang rata. Amatlah menyedihkan apabila tahap demokrasi Malaysia merosot sedangkan ia terus berkembang di negara-negara seperti India, Indonesia, Turki dan negara-negara membangun yang lain.

Perjuangan asas keADILan ialah memperbaharui demokrasi di Malaysia. Ini merangkumi badan kehakiman yang bebas, media yang terbuka, pemuliharaan hak asasi manusia dan masyarakat madani yang kukuh.

Tetapi elemen terpenting ialah dengan memastikan pilihanraya yang bebas dan adil berjalan. Saya menyeru agar pihak kerajaan menunjukkan kepimpinan dan keazaman politik untuk menyelesaikan isu ini. Pada masa yang sama saya ingin menjemput badan-badan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia keseluruhannya turut serta dalam perjuangan mengembalikan kepercayaan terhadap demokrasi Malaysia.

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

assalamualaikum datuk seri,
bila kita bicara soal seni dan sastera pada pandangan saya ianya harus dikaitkan dengan nilai kejujuran yang amat tinggi, jujur dalam bekarya memberi impak yang cukup luas dan berkesan. baik rendra dari indonesia, muhamad iqbal, rabindranath tagore, mahupun shakespeare sendiri meletakkan kejujuran sebagai dasar paling utama dalam setiap hasil karya beliau. Saya pernah terbaca satu pandangan dari datuk seri bahawa penggiat seni (penggiat tulen bukan pelacur seni) harus di beri kebebasan sepenuhnya tanpa sebarang batas sekatan. Apakah pendirian datuk seri sekiranya berkuasa kelak terhadap prinsip kebebasan pada golongan penggiat seni ini?….bagaimanakan kita ingin membezakan antara karya agung atau seni picisan dalam perkembangan seni sastera?

bukan al kindi,

Khalayak seni, sastera dan budaya biasanya selesa dengan persekitaran terbuka. Kongkongan dan syarat berlebihan akan menghambat ruang dan membendung rekacipta. Saya pastinya akan cenderung mendukung karya bermutu dan bukannya picisan; karya seni tinggi dan tidak selera nafsu murahan. Tetapi ia memerlukan kebijaksanaan dan sikap berlapang dada.

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

hanturaya,

Umum mengetahui bahawa keputusan merobah dasar bahasa dengan mewajibkan pengajaran matapelajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris di sekolah kebangsaan, dan sekolah aliran Cina dan Tamil dilakukan secara gopoh tanpa penelitian rapi. Ia jelas bercanggah dengan dasar bahasa dan kini terbukti membebankan pelajar dan menurunkan prestasi pelajar terutama di desa dan kawasan pendalaman. Penguasaan bahasa Inggeris di kalangan guru lemah dan pelajar justeru itu menjadi lemas!
Apa yang harus dilakukan ialah memantapkan program latihan dan kursus di kalangan guru matematik dan sains dalam bahasa kebangsaan dan ibunda.
Begitu juga dengan pendekatan kita memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar. Asakan diperingkat menengah dan pengajian tinggi haruslah lebih berkesan dan intensif lagi. Sebaiknya kita merujuk kapada pandangan pendidik, mengkaji aspek pedagogi agar kesannya terjamin. Saya mewakili pendangan bahawa penguasaan bahasa Inggeris dikalangan rakyat, terutama di peringkat IPT perlu lancar dan cemerlang.

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

mustar haniff menanyakan:

Assalamualaikum YB Dato’ Seri ,

Sekali lagi saya ingin bertanyakan pandangan yang perlu saya fahami.

1- Bersama semangat merdeka ingin saya tanyakan apakah jejak langkah yang
mampu dan telah dilakukan oleh kerajaan untuk memulihkan agar selain jasa
pemimpin UMNO di catit sebagai sejarah, bagaimanakah perlu generasi masa
kini mengetahui jasa yang disumbangkan oleh pemimpin melayu & bukan melayu
dari parti yang di anggap berhaluan kiri juga diukur sebagai jasa menyumbang
membina aliran pemikiran yang lebih mewakili rakyat marhaen.
(more…)

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

monaz memberi respon:

Rasuah di Malaysia ni hebat walaupun tak sehebat negara jiran kita Indonesia.

Apa-apapun kalau kita nak membenteras rasuah, ia kena bermula dengan pemimpin nombor wahid iaitu PM.

Lihat Singapura. Dia bukan negara Islam dan PMnya tidak Islam tetapi rasuah di Singapura hampir 0. Ingat lagi tak seorang pemimpin Singapura yang sanggup bunuh diri sebab dituduh dan didapati rasuah. Kalau Lee Kuan Yew boleh buat kenapa Malaysia yang Islam ni tak boleh buat? Macam mana orang bukan Islam nak hormat. Islam tak salah tetapi manusia yang mengaku Islam tu yang salah.

Keduanya saya lihat (ini observation sayalah), kabinet kita besar sangat. Lebih 30 orang menteri. Ini tak masuk timbalan menteri, setiausaha parlimen dan sebagainya. Nk buat apalah ramai-ramai sangat macam ni. India dan Australia yang besar tu cuma berapa belas sahaja.

Lebih menghabiskan beras ialah Setiausaha-setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai-pegawai khas. Nak buat apalah mamat-mamat ni?

Bukankah setiap kementerian dah ada KSU. Ada TKSU. Ada setiausaha bahagian dan sebagainya. Ini jawatan-jawatan politik inilah yang sebenarnya menghancurkan. Setengah-setengah Setpol lebih kaya dari menteri sendiri.

Ini yang saya tak faham. Dia ingat duit rakyat ni duit bapak dia?

monaz,

Kita sering membandingkan dengan prestasi negara yang punyai rekod lebih jelek. Walhasil rasuah di Malaysia sudah ke tahap parah. Hanya kita lebih canggih, tidak melakukan secara terang.
Benar kata sdr, amat mengaibkan manakala pemimpin Islam yang larut membicara soal Islam tetapi bergelumang dengan rasuah.

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Zahir memberi respon:

Saudara Anwar,

Kenyataan Dr M baru-baru ini mempersoalkan rasuah dua menteri dalam kabinet Pak Lah sangat mencurigakan. Tidakkan Dr M sedar bahawa kenyataan seperti itu hanya akan “backfire” kepada dirinya sendiri?

zahir,

Soal backfire tidak relevan. Yang nyata ada beberapa Menteri yang dituduh rasuah yang dipertahan selama puluhan tahun olih Dr M dan kini dibela terus olih PM Abdullah. Omongan rasuah hanya berkaitan dengan slogan pilihanraya dan tidak berkaitan telatah Menteri!

25 August 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

semuthitam_83 menanyakan:

saya baru lepas tgk filem remp-it, kisah rakyat muda yang mmg wujud dan ramai di kota kuala lumpur dan pekan2 di seluruh malaysia. saya berumur 23 tahun, dan banyak bergaul dengan kumpulan2 lumba motor haram ni, jadi sedikit sebanyak fasih dalam kegiatan meraka. soalnya, bagaimana pada hemat pak syeikh utk kita ‘berkawan’ dengan kumpulan ini dan menggunakan persahabatan ini kearah yang bermanafaat dalam konteks parti. bagi saya, mereka adalah penting dan tidak harus dibiarkan begini.

namun, jika kita terus ingin menyuapkan mereka dengan idea2 politik, pasti mereka akan memuntahkannya bulat2.
saya teringat tulisan thomas friedman (the lexus and the olive tree) mengenai globalisasi yang menyentuh bagaimana warga dunia ke 3 di sumbat dgn idea kebebasan bersuara dan lain2 oleh masyarakat maju barat sedangkan warga miskin ini bergelut untuk mencari sesuap nasi. bagi saya, ini antara problem parti dlm usaha mendekati masyarakat kelas bawahan (spt saya!) yang berpendapatan rendah. kami tidak punyai byk masa utk terlibat dlm aktiviti ‘merakyatkan k’rajaan’ kerana perlu fokus utk melengkapkan belanja bulanan.

kembali kepada kumpulan lumba haram, selain seks bebas, rumput balut (ganja) dalam bermacam2 gejala sosial, golongan ini sebenarnya perlu akan perhatian. masalah ini pula bukan masalah baru! ia wujud sejak sekian lama dan pihak pemerintah GAGAL mengatasi masalah ini. ini bukan mesej benci. ini mesej kasih sayang yang dilayarkan atas nama prihatin akan anak muda sebaya saya. sedih apabila anak malaysia gagal berfikir dgn waras dan diketepikan dgn label ‘mat rempit’ , ‘mat motor’ dan lain2. itu belum dikira perkataan ‘apa kejadahnya’ lagi. saya seru agar pihak MPT agar merumuskan satu formula yang dapat digerakkan oleh AMK untuk bersahabat dgn kumpulan ini.

semuthitam,

Soal kebebasan adalah soal asas, hak dan kedaulatan rakyat. Tanpa kebebasan, masalah kehidupan terhimpit, harga barang melonjak, pekerja ditindas, harta rakyat – balak, saham dan kontrak – dirompak, tarif letrik dan air dinaikkan olih syarikat keluarga dan kroni tidak akan dibantah. Pemikiran rakyat dibelenggu dan menjadi dungu!

Friedman melihat dari New York – demokrasi sebagai proses negara dewasa dan kebanyakan negara dunia ketiga, menurut beliau dan Fareed Zakaria, belum cukup matang dan terpaksa bergelut dengan kemiskinan dan kemudahan asas. Kita menegaskan bahawa satelah setengah abad merdeka, kesengsaraan rakyat justeru pengurusan ekonomi olih perasuah dan perompak khazanah negara.

Dan kembali kapada soal pokok tadi, isu kebebasan adalah hak mutlak insan. Menyentuh isu sosial generasi muda, ia tidak dapat dilerai dengan leteran dan propaganda murahan. Belum terdapat pendekatan bersungguh olih pemerintah BN.
Generasi muda harus didekati, diberikan latihan, pendedahan dalam pelbagai bidang yang mereka minati, sukan, seni dll. Tetapi mesej daawah, kesedaran, tanggungjawab wajib disampaikan dengan penuh hikmah.
Permasalahan pokok termasuk isu kehidupan dan pekerjaan yang perlu ditangani.