Beberapa minggu lalu saya ada menerima warkah dari sahabat yang berasal dari Kelantan. Saya akan hanya merujuk kapada beliau sebagai ibnu Hassan. Saya memilih untuk memberikan respon terbuka kerana isu yang diketengahkan adalah bernas dan perlu dihebah kapada khalayak yang lebih luas.
Ibnu Hassan menyingkap panjang pengalaman beliau mengharungi gelombang dakwah bersama ABIM, mengikuti liku perjuangan saudara Anwar dan tokoh-tokoh ABIM Kelantan ketika itu termasuk Ustaz (Dato) Hashim Yahaya, Ustaz Mat Daud Iraqi dan Cikgu Megat Ramli. Diakhir tahun 90han beliau bersama dengan gerakan reformasi, “disatukan oleh satu keyakinan yang Dato Seri adalah mangsa kezaliman pemerintahan Dr Mahathir.” Episod ini telah menyatukan kita semua, malah terbuka untuk bersama-sama menggunakan pentas dengan aktivis bukan Islam saperti Tian Chua, Gobala dan Irene Fernandez.
Salepas dibebaskan, harapan terus menggunung tinggi untuk saya berbuat sesuatu yang lebih drastik dan berkesan. Ibnu Hassan akui sindiran tajam dan kenyataan sinis yang terbit dari kalangan yang mencurigai keputusan saya unuk berpengkalan sementara diluar negara. Tetapi beliau memberikan ransangan untuk meneruskan perjuangan. Beliau menyeru:
‘Maka Datuk Seri lakarlah peta perjuangan yang akan kita rempuh bersama, tandakan
ranjau-ranjaunya dan pengkalan-pengkalan yang perlu kami lalui dalam mencapai
sebuah impian……..’
Dibahagian 3 (nampaknya nombor sering mencabar sepertimana nama blog), Ibnu Hassan menyentuh “beberapa perkara yang terkilan”. Beliau mengakui keperluan saya meneruskan usaha mendamaikan persengketaan agama dan kaum. Tetapi beliau musykil dengan sikap yang seolah-olah mahu menjauhkan diri dengan “golongan Islamiyyun”, saperti mengadakan hubungan akrab dengan parti pemerintah Turki (AKP) tetapi tidak dengan HAMAS. Beliau juga menyentuh mengenai pendirian yang tidak menyenangi kehadiran PAS di Sarawak, menafikan sumbangan PAS sejak awal pelancaran Parti Keadilan atau mempertikai pendirian PAS dalam isu negara Islam. Kedua, saya juga ditegur kerana memuji Maharaja Kerajaan Mogul India, Dara Shikoh yang telah dihukum murtad oleh sebahagian ulama. Ketiga saya dipesan agar tidak kelihatan meraikan seni yang berunsurkan Hindu saperti wayang kulit, menora dan lainnya.
Pendirian Ibnu Hassan tetap positif, nadanya penuh dengan kasih sayang dan mengakhiri warkah dengan pengakuan untuk “menyumbang apa-apa yang termampu dalam kudrat saya yang terhad untuk membantu perjuangan Dato Seri.” Jazakallahu khairan.
Izinkan saya memberi sadikit penjelasan bagi menjawab kekhuatiran sdr. Pertama, saya tetap meneruskan hubungan akrab dengan badan dan parti Islam. Parti AKP dan Kerajaan Turki dibawah pimpinan Perdana Menteri Tayyib Erdogan berlandaskan Islam telah menjalin hubungan istimewa dengan saya dan Parti Keadilan Raktyat. AKP turut mengundang rombongan PKR pimpinan sdr Ezam M Nor. Tetapi saya tetap mengadakan pertemuan dengan Prof Nejmuddin Erbakan di Ankara. Semasa melawat Pakistan dua bulan lalu, saya telah mengadakan perbincangan dengan wakil parti pemerintah, PPP, Muslim League dan Jamaat Islami. Bahkan diantara acara utama di Islamabad adalah pidato yang di anjurkan oleh Prof Kurshid Ahmad. Hubungan saya dengan pelbagai kalangan di Amerika Syarikat, Eropah atau dunia Arab termasuk mempengerusikan Foundation of the Future tajaan Kerajaan-Kerajaan Arab, Eropah dan Amerika tidak menghalang saya untuk mengadakan hubungan dengan gerakan Ikhwan Muslimim, HAMAS, dan lain-lain. Di semua pertemuan tersebut, saya jelaskan pendirian saya secara konsisten termasuk keperluan bermuafakat mempertahankan hak asasi rakyat, menegakkan keadilan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mapan. Ini pastinya berkaitan dengan hubungan akrab saya dengan pimpinan dan parti PAS. Dikebelakangan ini sahaja saya, Tuan Guru Ustaz Hadi Awang, Tuan Guru Nik Aziz bergilir berkongsi pentas bersama samada anjuran PAS atau Keadilan di Dungun, Kota Sarang Semut, Felda Sg Sayong Johor dan Tg Karang. Tugas saya diantara lain ialah memperkukuh jentera Pembangkang termasuk mencari ikhtiar bagi meredakan ketegangan diantara sebahagian penyokong, atau yang lebih mencabar lagi dalam hubungan dengan DAP dan beberapa badan bukan Islam. Saya tidak pernah menafikan jasa besar Almarhum Ustaz Fadhil Nor dan PAS kapada saya sekeluarga, kapada perjuangan dan Keadilan. Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita semestinya terikat dalam semua isu atau strategi, dan yang paling akhir, isu menangani serangan Dr Mahathir terhadap PM Abdullah. Yang perlu dielak ialah kesangsian, bisikan karut sesama sendiri.
Kedua, secara khusus, tatkala menyentuh Dara Sikhoh, saya sekadar mengakui jasa beliau menyemarakkan ilmu, memperhebatkan usaha terjemahan dari khazanah ilmu yang berencam. Saya tidak pernah mendukung kezaliman dan kefasikan.
Ketiga, saya tidak pernah menganggap aspek seni seperti wayang kulit dan menora sebagai masalah yang boleh menggugat aqidah umat. Saya sedar bahawa Wali 9 Jawa, Wali Songo telah memenfaatkan pendekatan wayang kulit untuk menyampaikan risalah dakwah. Apa yang kita harus usahakan ialah mengelak seni sebagai wahana propaganda mempertahankan kezaliman atau menggalakkan maksiat.
Pandangan sdr amat dihargai dan maaf kerana memilih ruang ini untutk memberikan respon.
Anwar









1 Response to “Kemusykilan Ibnu Hassan…”
Leave a Reply