Archive for July 31st, 2006

31 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Beberapa minggu lalu saya ada menerima warkah dari sahabat yang berasal dari Kelantan. Saya akan hanya merujuk kapada beliau sebagai ibnu Hassan. Saya memilih untuk memberikan respon terbuka kerana isu yang diketengahkan adalah bernas dan perlu dihebah kapada khalayak yang lebih luas. (more…)

31 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Nawar Hashim menanyakan melalui emel:

Harap Dato’ Seri dapat ulas;

1) Mengapa AMK membuat kenyataan sebegini, sedangkan sekutunya PAS mahu forum IFC dan artikle 11 ini dihalang…? Sepatutnya forum ini dihalang,
tiada masa untuk kita runding dengan puak-puak ini. PAS juga bersetuju…
Kenapa Keadilan tidak sepakat dalam hal begini?

http://www.malaysia-today.net/blog/2006/07/jangan-halang-forum-artikel-11.htm

2) Bekas peguam Dato’ Seri, Dato’ Sabri telah berjumpa dengan rakan saya,
dan menceritakan tentang hal DS yang bukan-bukan, yang tak sedap didengar.
Apa sebenarnya yang berlaku?

3) Mengapa satu ketika dulu ramai orang membuat simbolik terhadap DS,
(perbuatan menutup hidung dan mulut dengan lengan). Soalan ini diajukan oleh
rakan saya.

Harap DS dapat ulas. REFORMASI!! TAKBIR!!
Sekian, wassalam.

sdr nawar hashim,

Mungkin penjelasan saya terlalu ringkas di sini kerana telah saya ulas dalam Off The Edge bulan lalu. Penganjur IFC perlu berundur setapak untuk memberikan ruang penyertaan yang lebih representatif dan tidak dilihat sebagai insistif kalangan yang mempunyai prasangka terhadap Islam dan perlaksanaannya di Malaysia. Kedua saya tidak mahu menghalang sesiapa sahaja untuk mengemukakan hujah dengan bertanggungjawab kerana saya yakin dengan pendirian dan kemampuan kita memberikan hujah balas.

Sepanjang rekod yang ada sejak saya di Universiti Malaya menghadapi puluhan tohmahan dan tuduhan, nama yang disebut itu tidak pernah ada hubungan dengan saya apa lagi selaku peguam. Kita malah harus berhati-hati dengan berita dari gulungan fasik.

Mungkin kerana tanda kebebasan disekat. Wallahualam

31 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Wan Hilmi menanyakan melalui emel:

Assalamualaikum Datuk Seri,

saya sekadar inginkan satu penjelasan drpd Datuk Seri,atas kapasiti sebagai Penasihat Keadilan.kita semua maklum bahawa isu Suruhanjaya Antara Agama (IFC) adalah amat hebat diperkatakan oleh umum dewasa ini, tetapi sedikit menggusarkan apabila ada usaha-usaha daripada pihak di dalam Keadilan sendiri, melalui Naib Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar yang menyeru agar masyarakat perlu memberi ruang kepada Kumpulan Artikel 11 untuk membuat perbincangan, yang mana umum sedia maklum yang Kumpulan ini beria-ia mengesa kerajaan untuk meminda Perlembagaan untuk mewujudkan ruang kebebasan dlm beragama, yang mana penganut agama Islam tidak terkecuali.

Isu ini adalah amat sensitif kerana ia membabitkan aqidah umat Islam.Benar,saya bersetuju bahawa ruang kebebasan beragama perlu ada dan diwujudkan, pun begitu apabila ia membabitkan persoalan aqidah umat Islam, maka saya secara peribadi merasakan ini adalah tidak wajar. dan saya melihat Keadilan sendiri seolah2 ada usaha ke arah menyokong, apabila perjumpaan Kumpulan Artikel 11 ini yang dijadualkan berlangsung di Johor turut dihebahkan melalui laman web rasmi Parti Keadilan Rakyat. Tambah mengelirukan apabila sekutu Keadilan, PAS pula membantah aktivisme Kumpulan ini sehingga ada pimpinan PAS yang dihadapkan ke mahkamah kerana usahanya menghalang perhimpunan Kumpulan ini di Pulau Pinang satu ketika dahulu. Apakah PAS dan Keadilan berbeza pendapat dalam isu ini?

Keadilan mempunyai satu bentuk dimensi perjuangan yang amat relevan untuk kita sandarkan harapan merubah Malaysia ke arah Malaysia yang lebih baik. Pun begitu,saya kira ramai berpendapat bahawa Keadilan perlu lebih berhati2 mendepani isu-isu berkaitan sensitiviti agama Islam. Saya sekadar memberi pendapat, dan menunggu komen balas daripada Datuk Seri, sekian.

sdr wan hilmi,

Saya telah menyentuh persoalan tersebut. Pandangan saya dan Keadilan dalam isu Islam, jaminan Perlembagaan, termasuk 121(1A) jelas sekali. Kekhuatiran kami ialah di mana ruang perbincangan dalam isu perlaksanaan dihalang. Perhatikan sahaja kekeliruan dalam kes Moorthy. Walhal sikap kita adalah untuk mempertahankan hak umat Islam diadili mengikut undang-undang Islam di Mahkamah Syariah. Kita tidak bermaksud menghalang hak bukan Islam diadili di mahkamah sivil. Justeru itu, ruang perbincangan perlu diberikan. Tetapi dalam isu Perkara 11 dan IFC, saya melahirkan kebimbangan kerana kalangan yang menaja IFC dipercayai oleh ramai masyarakat Islam sebagai sengaja ingin menghakis sendi Islam dalam sistem perundangan negara.

31 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

mioraz memberi komentar:

Assalamualaikum DSAI,

Seperti yang DSAI ketahui, sekarang ini memang satu masa yang kritikal kepada umat Islam kerana dimusuhi, ditohmah, dikhianati, dibenci, ditindas dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam nampaknya tidak bermaya untuk membantu antara satu sama lain. Kuasa bukan Islam merasakan inilah masanya untuk menekan Umat Islam seadanya kerana kelemahan dan kebodohan umat Islam itu sendiri.

Kata-kata ‘Umat Islam adalah bersaudara’, sudah tidak bermakna lagi kerana kurangnya sifat bersatu (juga sumber teknologi) dikalangan umat Islam. Negara Islam Timur Tengah lah yang sepatutnya mengetuai kesatuan Islam ini sudah hilang taring mereka untuk memulakan sesuatu yang baik untuk umat Islam. Kebanyakan mereka sudah tidak bermaya lagi untuk menyuarakan hak bagi mewakili umat Islam sedunia.

Lemahnya umat Islam kini tidak lain dan tidak bukan kerana tidak berpegang kepada Kitab Allah lagi, apa yang anjurkan semuanya tidak diendahkan…, maka inilah balasanNya. Al-Quran menyuruh kita membaca, menuntut Ilmu, berusaha memajukan diri, mencipta teknologi canggih, berekonomi secara Islam, membantu sesama Islam, jangan berpecah belah, jangan menzalimi dan sebagainya, semuanya tidak diambil kisah……….

DSAI, saya rasa kita bangsa Melayu dari Timur Jauh ini perlu membuat percambahan fikiran (brainstorming) kita untuk membantu mayarakat Islam seluruh dunia agar menjadi lebih cerdik, keluar dari zaman yang lesu, berfikiran kritis, berinovasi dan berusaha untuk memajukan diri.

DSAI lah pada fikiran saya harus mengetuai MISI ini, jangan tumpukan usaha kepada masyarakat Malaysia sahaja, malah ianya hendaklah meliputi seluruh masyarakat Islam sedunia. Beri idea-idea kepada masyarakat Islam sedunia bagaimana untuk berubah dan memajukan umat Islam sedunia.

Kerja DSAI bukanlah susah sangat, tubuhkan pusat kajian seperti Institut Kajian Dasar, mungkin dinamakan Islamic Strategic Centre (ISC) atau Islamic Research Development Centre (IRDC) atau sebagainya dan usahakan perubahan minda melalui mata pena. Atau bergabung saja dengan Chandara Muzaffar. Mata pena adalah lebih tajam dari mata pedang…..

Ramai cerdik pandai serta cendiakawan Islam seluruh dunia boleh digembeling untuk memberikan idea dan semuanya hendaklah diserahkan kepada ISC atau IRDC. Pusat ini seterusnya akan menguruskan semua penerbitan dan pengedaran seluruh dunia Islam dan bukan Islam. Tetapi yang penting, jangan buka keanggotaan selain daripada Bangsa Melayu untuk pengurusan pusat kajian ini (ada rasionalnya…).

DSAI tengok bagaimana hebatnya HARUN YAHYA dengan pelbagai koleksi buku yang hebat yang membuka minda umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia…. . Kita jangan ketinggalan lagi. Saya harap DSAI pernah membaca dan meyimpan koleksi buku-buku HARUN YAHYA ini (terbitan SABA ISLAMIC MEDIA).

DSAI, saya ada menyimpan 2 koleksi buku Kebangkitan Asia yang DSAI karang (Inggeris dan Melayu) dan ianya amat bagus untuk dibaca tetapi saya dapat tahu bahawa baki stok buku tersebut telah diarahkan untuk dimusnahkan. Ini ‘kerja gila’ pemerintah pada masa itu yang tidak menghargai ilmu…..

Melihat kepada kekeliruan dan pertembungan dunia Islam dan Barat sekarang ini, saya tidak nampak dialog Islam-bukan Islam boleh menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat ….. . Apabila kita ajak dialog mereka tidak mahu…. itu masalahnya. Lebih baik kita sebarkan dialog kita sendiri yang sudah ada jawapan terhadap kekeliruan tersebut.

Banjirkan seluruh dunia dengan MAKLUMAT yang kita sudah SETkan jawapannya. Saya yakin semua orang akan membacanya………. . Internet juga boleh dijadikan medium sebaran.

DSAI, buat masa ini lebih baik tuliskan buku bertajuk seperti ini,

DON’T FIGHT MUSLIM THROUGH WAR
Its Waste Your Time and Money

Intipati buku :

Sejarah membuktikan bahawa Islam tidak boleh dikalahkan dengan peperangan, Islam akan bangkit sekiranya kezaliman berlaku ke atas mereka, Islam pernah mengalah banyak kuasa besar zaman dahulu. Islam adalah bersaudara, mereka tetap akan membantu saudara mereka walau apa pun yang terjadi……… . Zaman Islam akan berbalik kepada zaman gemilang.

(begitu juga dengan Yahudi – sejarah menunjukkan mereka ini degil dan tidak berubah perangainya…., bagaimana harus mengatasi situasi sebegini?)

Nasihatkan supaya Islam dan Barat agar menghormati antara satu sama lain, jangan bermusuh.

Jadi janganlah cuba nak berlawan dengan Islam………

———-

DSAI, hasrat penulisan buku ini sebenarnya hendak mendidik masyarakat Barat supaya takut pada Islam dan jangan mempeleceh dan memusuhi Islam…. DSAI mesti berani menulis buku sebegini.

Buku ini boleh jadi best seller dunia…….., biar kita kejutkan dunia dengan tajuk yang ‘sensasi’ sebegini.

Semoga dengan usaha ini nasib Islam akan terbela untuk beratus tahun akan datang. Nasib kita, kita yang ubah sendiri, bukankah begitu…….

SEKIAN, TERIMA KASIH

Harap DSAI dapat jawab dalam BLOG …..

sdr mioraz,

Saya meneliti saranan panjang sdr yang dipercayai lahir dari keprihatinan malah kegelisahan sdr akibat prasangka dan permusuhan Barat terhadap Islam. Saya turut menyanjung inisiatif pelbagai kalangan untuk mengetengahkan keterangan mengenai Islam secara autentik, sahih dan tidak diwarnai oleh sentimen kabilah dan kaum yang sempit.

Insyaallah akan kita usahakan dalam pelbagai cara termasuk penulisan dan mendedahkan masyarakat Islam dan bukan Islam dengan risalah Islam dan kemanusiaan – rahmatan lil alamin.

Dalam inisiatif kecil saya, umpamanya tatkala membicarakan mengenai Shakespeare, saya tidak ketinggalan menyentuh isu moral dan etika, kekuatan makruf menumpaskan kemungkaran, dan perjuangan menegak kebebasan dari kezaliman dan kerakusan sang penguasa.

31 July 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Ibnu Mohamad menanyakan:

Assalamualaikum Dato Ser Anwar,
saya tertarik dgn isu ini. Cuma ingin saya ketengahkan betapa anak muda dan remaja sekolah menengah sekarang ini disogok dengan budaya tidak mencintai ilmu. Lihat saja dalam kartun yg disiar dlm astro, betapa orang yang bodoh diagungkan sebagai watak popular dan watak pandai digelar “nerd”. Anak remaja sudah mula terpengaruh dan mengejek rakan sebaya mereka yang menunjukkan minat terhadap ilmu. Media terutamanya melalui slot drama seperti Dunia Baru terus menerus menonjolkan bahawa anak melayu seakan-akan mudah memasuki universiti. Malang sekali yang ditonjolkan dalam setiap siri adalah cuma kisah mahasiswa menangani kisah cinta 3 segi, masalah perhubungan antara teman lelaki dan teman wanita dan juga menonjolkan cara hidup mahasiswa yang bersuka-sukaan, manakala yang bijak (dilakonkan oleh anak lelaki En Ngasri) ditonjolkan sebagai watak orang yang lurus bendul kebodoh-bodohan. Tidak sedikitpun diselitkan bagaimana suasana pencarian ilmu, kemantapan jati diri mahasiswa dan nilai2 murni yang lain. Walaupun ini adalah drama, namun bagi saya – drama, kartun dan iklan adalah merupakan agen pembentuk budaya yang begitu berkesan dalam mendidik jiwa anak muda ke arah satu hala tuju yang tertentu. Khuatir saya melihat kecenderungan ke arah mewujudkan budaya tidak mencintai ilmu ini disogok dgn begitu intensif dimedia masa. Dalam kita cuba membentuk masyarakat menjadi masyarakat madani sebagaimana Dato Seri Anwar perjuangkan, perkara ini harus dipandang serius. Anak remaja dan orang muda adalah bakal pemimpin masa hadapan. Rosaklah negara kalau mereka rosak. Soalan saya mengapakah kerajaan tidak menggunakan Finas bagi menapis doktrin jahat sebegini, atau adakah memang kerajaan bersikap lewa terhadap isu keruntuhan moral remaja? Bagaimanakah pada pandangan Dato Seri, untuk kita halang pendoktrinan tanpa sedar ini dari terus disogok kepada masyarakat? Sebagai masyarakat, apakah yang harus dilakukan bagi mengembalikan budaya cintakan ilmu dikalangan anak muda? Sekian soalan saya, moga mendapat buah fikiran Dato Seri….

ibnu mohamad,

Wacana mengenai budaya ilmu amat kritikal dinegara kita. Kalangan yang sedar dan celik budaya harus lebih berani menzahirkan pendapat dan tidak membisu seribu bahasa. Keadaan umumnya memang tenat tetapi masih boleh dipulihkan. Dengan kedangkalan serta budaya picisan yang diterapkan oleh pimpinan negara dan media utama, suasana pastinya akan lebih gawat. Maka agak meleset jika harapan tertumpu kapada elit penguasa.
Masih ada ruang meskipun amat terbatas untuk kita semarakkan semula budaya ilmu dan tradisi aqliyah.