27
Jul
06

Pengalaman di pesantren

Saya membaca catatan sdr Nik Nazmi mengenai pengalaman kami bersama para kiayi dan santri di Pondok Pesantren Sunan Drajat, Lamongan, Surabaya. Bapak Kiayi Hj Abdul Gafur telah berulang kali mengundang saya kesana. Menurutnya anak-anak santri yang berjumlah delapan ribu turut mendoakan kesejahteraan dan kejayaan saya tatkala enam tahun di penjara Sg Buluh. Akhirnya pada 24 Julai, saya dan rombongan tiba di pesantren tersebut dan menginap semalam disana. Baru disana saya menerima khabar bahawa Kiayi AG telah mengesan saya sejak 1996 lagi. Dan satelah difitnah dan dipenjara, beliau dan anak-anak telah menunjukkan keprihatinan luar biasa terhadap nasib kami sakeluarga.

Saya terkejut dan terharu kerana dinobatkan sebagai keluarga Sunan Drajat dan diberi penghormatan menziarah makam Wali Songo. Dan yang amat mengesankan ialah mendengarkan ribuan anak-anak santri berzikir di mesjid dan mendoakan keamanan dan kesejahteraan Indonesia dan rantau Melayu. Kami bersama lagi berjemaah subuh dan diikuti dengan majlis khas bersama ribuan penduduk Lamongan dan perwakilan dari Jakarta.

Ada beberapa mauduk yang saya sentuh dalam majlis tersebut. Pertama, penobatan dan pengiktirafan yang diberikan adalah terlalu besar buat saya. Walaubagaimana pun insyaallah akan saya usahakan islah – diri dan masyarakat dengan sedaya upayanya. Saya nyatakan bahawa dalam kuliah saya di Universiti Georgetown (sapertimana dinukil dalam Gelombang Kebangkitan Asia) corak pengIslaman di kepulauan Melayu adalah unik, aman dan serasi dengan budaya tempatan. Wara’, hikmah dan kegigihan Wali Songo (termasuk yang diceriterakan dalam The 9 Saints of Java) berjaya meneruskan pengIslaman rantau ini tanpa pertumpahan darah. Demikian mesej kesederhanaan dan kebijaksanaan dalam dunia yang begitu prasangka terhadap Islam atau keghairahan melihat Islam dari sudut kegiatan pengganas.

Kedua ialah sikap sederhana menghormati dan tidak memusnahkan peninggalan pengaruh Hindu-Buddha setelah mereka menyerah dan memilih Islam dengan aman. Maka segala tugu, pandi dan menara lama peninggalan Hindu tidak dorobohkan sapertimana yang terdapat berdekatan beberapa mesjid lama. Kiayi AG menjelaskan bahawa ini adalah kesefahaman diantara ulama dan tantri (ketua agama Hindu). Tambah beliau, dari sudut aqidah, ibadah dan amalan ia tidak sedikit pun merubah apa yang ditetapkan dalam syariat Islam. Tetapi dalam pergaulan dan budaya, kita menunjukkan sikap sederhana dan saling menghormati (lita’arafu).

Ketiga, saya menzahirkan penghargaan kapada ulama dan pejuang silam yang meletakkan asas kukuh buat generasi kini meneruskan perjuangan. Ulama sejak Teuku Cik di Tiro, Pengeran Diponegor, Imam Bondjol hinggalah Hj Agus Salim, Kiayi Wahid Hasyim dan lain-lain terkenal dengan kecekalan dan pengurbanan mereka. Inilah yang disebut oleh Almarhum Muhammad Natsir mengenai pondok pesantren sebagai benteng aqidah dan ilmu, kubu pertahanan umat sepanjang zaman. Saya berbangga dengan kejayaan Indonesia memulihkan kebebasan dan demokrasi, mengiktiraf hak rakyat bebas menyuarakan pendapat tanpa undang-undang zalim dan kejam. Indonesia punyai potensi besar sebagai model negara Islam dan negara membangun dunia sekiranya ia dapat memacu pertumbuhan yang lebih rancak dan dapat menghindari dari amalan rasuah (istilah korupsi disana). Kita tidak perlu dipukau dengan slogan tetapi tidak disusuli dengan amal dan tindakan.


5 Responses to “Pengalaman di pesantren”


Leave a Reply




Galeri Flickr

Recent Comments

     

    July 2006
    M T W T F S S
         
     12
    3456789
    10111213141516
    17181920212223
    24252627282930
    31