27
Jul
06

Jawapan Kepada AFathi

A Fathi menanyakan melalui emel:

Assalamualaikum.
Saudara DSAI,
Terima kasih atas jawapan yang Dato’ Seri berikan. Saya doakan agar perjuangan Dato’ Seri dan para pendokong keadilan serta jentera pembangkang diberikan kemenangan dalam masa yang terdekat ini (Insya Allah), memandangkan keadaan konflik di negara kita semakin meruncing.
Melalui email yang lepas saya ada menyatakan kepentingan pendidikan yang sempurna dalam pelbagai aspek agama dan kepentingan golongan pendidik dalam membantu menyelesaikan konflik sosial. Saya ada beberapa kemusykilan tentang bagaimana jentera pembangkang samada Keadilan atau Pas mendidik golongan pelapis. Memang saya tidak dapat menafikan bahawa golongan pelapis ini berjaya dalam menjalankan beberapa gerak kerja yang dapat membantu jentera mereka bergerak maju. Malah mereka lantang bersuara jika ada permasalahan dalam parti mereka. Dari satu sudut, saya amat bimbang kerana penerapan ilmu-ilmu agama yang sangat utama seperti pemantapan (Ilmu Asas) seperti Ilmu Syariah, Ilmu Aqidah dan Ilmu Tasauwuf (Ilmu Rohani) diabaikan atau diambil sambil lewa dan adakalanya dipandang remeh ilmu tersebut. Apa yang dipentingkan oleh golongan pelapis hanyalah Ilmu Gerakan (Ilmu Haraki), sebagai contoh golongan pelapis Pas di universiti-universiti tempatan, mereka hanya mendalami ilmu-ilmu haraki yang boleh dikategorikan tidak penting dan tidak membantu dalam pembentukan peribadi yang kukuh. Malah ilmu tersebut boleh dipelajari bila mereka benar-benar bergerak dalam parti.
Kepentingan Ilmu Asas adalah membantu sepenuhnya golongan pelapis dalam menghadapi cabaran di masa akan datang. Ramai mahasiswa, mereka sangat bersemangat tapi macam kayu buruk, hanya mampu bertahan buat seketika. Bukan itu sahaja, malah mereka lemah dalam memberikan idea dan tidak memahami kaedah yang sepatutnya digunapakai dalam menggerakkan parti. Saya yakin jika golongan pelapis ini dimantapkan dengan ilmu asas, jentera pembangkang boleh memberikan satu tamparan yang hebat buat jentera pemerintah. Bahkan mereka mampu melumpuhkan terus jentera Umno.
Dato’ Seri, apa yang saya utarakan adalah maklumat yang saya perolehi daripada golongan pelapis ini. Saya juga ingin tahu bagaimana Dato’ Seri memantapkan golongan pelapis. Adakah Keadilan mengambil ringan soal pemantapan golongan tersebut?. Saya juga ingin menggunakan saluran Dato’ Seri untuk meminta budi baik Dato’ Seri agar menyampaikan permasalahan ini pada Pas agar kekuatan jentera pembangkang dapat diperkukuhkan.
Akhir kata, saya pohon kehadrat Ilahi agar memudahkan pemantapan golongan pelapis dalam menegakkan Agama Islam.
Wassalamualaikum.

sdr AFathi,

Ramai ulama dan sarjana menyimpulkan bahawa soal pendidikan adalah soal asas. Malah kebanyakan mereka menyarankan perubahan dan pembinaan tamadun melalui pendidikan. Gerakan-gerakan Islam terdahulu juga meletakkan program tarbiyah dan pendidikan sebagai keutamaan malah ada juga yang mewajibkan semua ahli mengikuti program pendidikan asas.
Saya bersetuju dengan saranan tersebut walaupun mengakui bahawa program pendidikan dan latihan tidak semestinya terlalu formal. Ia bolih diserapi melalui wacana dan pendedahan kapada kegiatan bersama masyarakat. Kendatipun begitu ia tidak terlepas dari pengetahuan ilmu asas - termasuk kemantapan aqidah, pembentukan akhlak dan syaksiyah serta kefahaman mengenai sistem politik, ekonomi dan dunia antarabangsa.
Perkara ini sedang terus diusahakan dengan segala keterbatasan dan tekanan yang ada.
Keadilan telah menetapkan kaedah latihan dan pendedahan kapada barisan pimpinan dan PAS juga mempunyai skim latihan.
Saya pohon kerjasama sdr untuk membantu.


0 Responses to “Jawapan Kepada AFathi”


  1. No Comments

Leave a Reply