Archive for July, 2006

31
Jul

Kemusykilan Ibnu Hassan…

Beberapa minggu lalu saya ada menerima warkah dari sahabat yang berasal dari Kelantan. Saya akan hanya merujuk kapada beliau sebagai ibnu Hassan. Saya memilih untuk memberikan respon terbuka kerana isu yang diketengahkan adalah bernas dan perlu dihebah kapada khalayak yang lebih luas. Continue reading ‘Kemusykilan Ibnu Hassan…’

31
Jul

Nawar Hashim Dijawab

Nawar Hashim menanyakan melalui emel:

Harap Dato’ Seri dapat ulas;

1) Mengapa AMK membuat kenyataan sebegini, sedangkan sekutunya PAS mahu forum IFC dan artikle 11 ini dihalang…? Sepatutnya forum ini dihalang,
tiada masa untuk kita runding dengan puak-puak ini. PAS juga bersetuju…
Kenapa Keadilan tidak sepakat dalam hal begini?

http://www.malaysia-today.net/blog/2006/07/jangan-halang-forum-artikel-11.htm

2) Bekas peguam Dato’ Seri, Dato’ Sabri telah berjumpa dengan rakan saya,
dan menceritakan tentang hal DS yang bukan-bukan, yang tak sedap didengar.
Apa sebenarnya yang berlaku?

3) Mengapa satu ketika dulu ramai orang membuat simbolik terhadap DS,
(perbuatan menutup hidung dan mulut dengan lengan). Soalan ini diajukan oleh
rakan saya.

Harap DS dapat ulas. REFORMASI!! TAKBIR!!
Sekian, wassalam.

sdr nawar hashim,

Mungkin penjelasan saya terlalu ringkas di sini kerana telah saya ulas dalam Off The Edge bulan lalu. Penganjur IFC perlu berundur setapak untuk memberikan ruang penyertaan yang lebih representatif dan tidak dilihat sebagai insistif kalangan yang mempunyai prasangka terhadap Islam dan perlaksanaannya di Malaysia. Kedua saya tidak mahu menghalang sesiapa sahaja untuk mengemukakan hujah dengan bertanggungjawab kerana saya yakin dengan pendirian dan kemampuan kita memberikan hujah balas.

Sepanjang rekod yang ada sejak saya di Universiti Malaya menghadapi puluhan tohmahan dan tuduhan, nama yang disebut itu tidak pernah ada hubungan dengan saya apa lagi selaku peguam. Kita malah harus berhati-hati dengan berita dari gulungan fasik.

Mungkin kerana tanda kebebasan disekat. Wallahualam

31
Jul

Isu IFC: Respon Kepada Wan Hilmi

Wan Hilmi menanyakan melalui emel:

Assalamualaikum Datuk Seri,

saya sekadar inginkan satu penjelasan drpd Datuk Seri,atas kapasiti sebagai Penasihat Keadilan.kita semua maklum bahawa isu Suruhanjaya Antara Agama (IFC) adalah amat hebat diperkatakan oleh umum dewasa ini, tetapi sedikit menggusarkan apabila ada usaha-usaha daripada pihak di dalam Keadilan sendiri, melalui Naib Ketua AMK, Sdr Shamsul Iskandar yang menyeru agar masyarakat perlu memberi ruang kepada Kumpulan Artikel 11 untuk membuat perbincangan, yang mana umum sedia maklum yang Kumpulan ini beria-ia mengesa kerajaan untuk meminda Perlembagaan untuk mewujudkan ruang kebebasan dlm beragama, yang mana penganut agama Islam tidak terkecuali.

Isu ini adalah amat sensitif kerana ia membabitkan aqidah umat Islam.Benar,saya bersetuju bahawa ruang kebebasan beragama perlu ada dan diwujudkan, pun begitu apabila ia membabitkan persoalan aqidah umat Islam, maka saya secara peribadi merasakan ini adalah tidak wajar. dan saya melihat Keadilan sendiri seolah2 ada usaha ke arah menyokong, apabila perjumpaan Kumpulan Artikel 11 ini yang dijadualkan berlangsung di Johor turut dihebahkan melalui laman web rasmi Parti Keadilan Rakyat. Tambah mengelirukan apabila sekutu Keadilan, PAS pula membantah aktivisme Kumpulan ini sehingga ada pimpinan PAS yang dihadapkan ke mahkamah kerana usahanya menghalang perhimpunan Kumpulan ini di Pulau Pinang satu ketika dahulu. Apakah PAS dan Keadilan berbeza pendapat dalam isu ini?

Keadilan mempunyai satu bentuk dimensi perjuangan yang amat relevan untuk kita sandarkan harapan merubah Malaysia ke arah Malaysia yang lebih baik. Pun begitu,saya kira ramai berpendapat bahawa Keadilan perlu lebih berhati2 mendepani isu-isu berkaitan sensitiviti agama Islam. Saya sekadar memberi pendapat, dan menunggu komen balas daripada Datuk Seri, sekian.

sdr wan hilmi,

Saya telah menyentuh persoalan tersebut. Pandangan saya dan Keadilan dalam isu Islam, jaminan Perlembagaan, termasuk 121(1A) jelas sekali. Kekhuatiran kami ialah di mana ruang perbincangan dalam isu perlaksanaan dihalang. Perhatikan sahaja kekeliruan dalam kes Moorthy. Walhal sikap kita adalah untuk mempertahankan hak umat Islam diadili mengikut undang-undang Islam di Mahkamah Syariah. Kita tidak bermaksud menghalang hak bukan Islam diadili di mahkamah sivil. Justeru itu, ruang perbincangan perlu diberikan. Tetapi dalam isu Perkara 11 dan IFC, saya melahirkan kebimbangan kerana kalangan yang menaja IFC dipercayai oleh ramai masyarakat Islam sebagai sengaja ingin menghakis sendi Islam dalam sistem perundangan negara.

31
Jul

Jawapan kepada Mioraz

mioraz memberi komentar:

Assalamualaikum DSAI,

Seperti yang DSAI ketahui, sekarang ini memang satu masa yang kritikal kepada umat Islam kerana dimusuhi, ditohmah, dikhianati, dibenci, ditindas dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam. Umat Islam nampaknya tidak bermaya untuk membantu antara satu sama lain. Kuasa bukan Islam merasakan inilah masanya untuk menekan Umat Islam seadanya kerana kelemahan dan kebodohan umat Islam itu sendiri.

Kata-kata ‘Umat Islam adalah bersaudara’, sudah tidak bermakna lagi kerana kurangnya sifat bersatu (juga sumber teknologi) dikalangan umat Islam. Negara Islam Timur Tengah lah yang sepatutnya mengetuai kesatuan Islam ini sudah hilang taring mereka untuk memulakan sesuatu yang baik untuk umat Islam. Kebanyakan mereka sudah tidak bermaya lagi untuk menyuarakan hak bagi mewakili umat Islam sedunia.

Lemahnya umat Islam kini tidak lain dan tidak bukan kerana tidak berpegang kepada Kitab Allah lagi, apa yang anjurkan semuanya tidak diendahkan…, maka inilah balasanNya. Al-Quran menyuruh kita membaca, menuntut Ilmu, berusaha memajukan diri, mencipta teknologi canggih, berekonomi secara Islam, membantu sesama Islam, jangan berpecah belah, jangan menzalimi dan sebagainya, semuanya tidak diambil kisah……….

DSAI, saya rasa kita bangsa Melayu dari Timur Jauh ini perlu membuat percambahan fikiran (brainstorming) kita untuk membantu mayarakat Islam seluruh dunia agar menjadi lebih cerdik, keluar dari zaman yang lesu, berfikiran kritis, berinovasi dan berusaha untuk memajukan diri.

DSAI lah pada fikiran saya harus mengetuai MISI ini, jangan tumpukan usaha kepada masyarakat Malaysia sahaja, malah ianya hendaklah meliputi seluruh masyarakat Islam sedunia. Beri idea-idea kepada masyarakat Islam sedunia bagaimana untuk berubah dan memajukan umat Islam sedunia.

Kerja DSAI bukanlah susah sangat, tubuhkan pusat kajian seperti Institut Kajian Dasar, mungkin dinamakan Islamic Strategic Centre (ISC) atau Islamic Research Development Centre (IRDC) atau sebagainya dan usahakan perubahan minda melalui mata pena. Atau bergabung saja dengan Chandara Muzaffar. Mata pena adalah lebih tajam dari mata pedang…..

Ramai cerdik pandai serta cendiakawan Islam seluruh dunia boleh digembeling untuk memberikan idea dan semuanya hendaklah diserahkan kepada ISC atau IRDC. Pusat ini seterusnya akan menguruskan semua penerbitan dan pengedaran seluruh dunia Islam dan bukan Islam. Tetapi yang penting, jangan buka keanggotaan selain daripada Bangsa Melayu untuk pengurusan pusat kajian ini (ada rasionalnya…).

DSAI tengok bagaimana hebatnya HARUN YAHYA dengan pelbagai koleksi buku yang hebat yang membuka minda umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia…. . Kita jangan ketinggalan lagi. Saya harap DSAI pernah membaca dan meyimpan koleksi buku-buku HARUN YAHYA ini (terbitan SABA ISLAMIC MEDIA).

DSAI, saya ada menyimpan 2 koleksi buku Kebangkitan Asia yang DSAI karang (Inggeris dan Melayu) dan ianya amat bagus untuk dibaca tetapi saya dapat tahu bahawa baki stok buku tersebut telah diarahkan untuk dimusnahkan. Ini ‘kerja gila’ pemerintah pada masa itu yang tidak menghargai ilmu…..

Melihat kepada kekeliruan dan pertembungan dunia Islam dan Barat sekarang ini, saya tidak nampak dialog Islam-bukan Islam boleh menyelesaikan masalah ini dalam masa terdekat ….. . Apabila kita ajak dialog mereka tidak mahu…. itu masalahnya. Lebih baik kita sebarkan dialog kita sendiri yang sudah ada jawapan terhadap kekeliruan tersebut.

Banjirkan seluruh dunia dengan MAKLUMAT yang kita sudah SETkan jawapannya. Saya yakin semua orang akan membacanya………. . Internet juga boleh dijadikan medium sebaran.

DSAI, buat masa ini lebih baik tuliskan buku bertajuk seperti ini,

DON’T FIGHT MUSLIM THROUGH WAR
Its Waste Your Time and Money

Intipati buku :

Sejarah membuktikan bahawa Islam tidak boleh dikalahkan dengan peperangan, Islam akan bangkit sekiranya kezaliman berlaku ke atas mereka, Islam pernah mengalah banyak kuasa besar zaman dahulu. Islam adalah bersaudara, mereka tetap akan membantu saudara mereka walau apa pun yang terjadi……… . Zaman Islam akan berbalik kepada zaman gemilang.

(begitu juga dengan Yahudi – sejarah menunjukkan mereka ini degil dan tidak berubah perangainya…., bagaimana harus mengatasi situasi sebegini?)

Nasihatkan supaya Islam dan Barat agar menghormati antara satu sama lain, jangan bermusuh.

Jadi janganlah cuba nak berlawan dengan Islam………

———-

DSAI, hasrat penulisan buku ini sebenarnya hendak mendidik masyarakat Barat supaya takut pada Islam dan jangan mempeleceh dan memusuhi Islam…. DSAI mesti berani menulis buku sebegini.

Buku ini boleh jadi best seller dunia…….., biar kita kejutkan dunia dengan tajuk yang ’sensasi’ sebegini.

Semoga dengan usaha ini nasib Islam akan terbela untuk beratus tahun akan datang. Nasib kita, kita yang ubah sendiri, bukankah begitu…….

SEKIAN, TERIMA KASIH

Harap DSAI dapat jawab dalam BLOG …..

sdr mioraz,

Saya meneliti saranan panjang sdr yang dipercayai lahir dari keprihatinan malah kegelisahan sdr akibat prasangka dan permusuhan Barat terhadap Islam. Saya turut menyanjung inisiatif pelbagai kalangan untuk mengetengahkan keterangan mengenai Islam secara autentik, sahih dan tidak diwarnai oleh sentimen kabilah dan kaum yang sempit.

Insyaallah akan kita usahakan dalam pelbagai cara termasuk penulisan dan mendedahkan masyarakat Islam dan bukan Islam dengan risalah Islam dan kemanusiaan - rahmatan lil alamin.

Dalam inisiatif kecil saya, umpamanya tatkala membicarakan mengenai Shakespeare, saya tidak ketinggalan menyentuh isu moral dan etika, kekuatan makruf menumpaskan kemungkaran, dan perjuangan menegak kebebasan dari kezaliman dan kerakusan sang penguasa.

31
Jul

Respon Kepada Ibnu Mohamad

Ibnu Mohamad menanyakan:

Assalamualaikum Dato Ser Anwar,
saya tertarik dgn isu ini. Cuma ingin saya ketengahkan betapa anak muda dan remaja sekolah menengah sekarang ini disogok dengan budaya tidak mencintai ilmu. Lihat saja dalam kartun yg disiar dlm astro, betapa orang yang bodoh diagungkan sebagai watak popular dan watak pandai digelar “nerd”. Anak remaja sudah mula terpengaruh dan mengejek rakan sebaya mereka yang menunjukkan minat terhadap ilmu. Media terutamanya melalui slot drama seperti Dunia Baru terus menerus menonjolkan bahawa anak melayu seakan-akan mudah memasuki universiti. Malang sekali yang ditonjolkan dalam setiap siri adalah cuma kisah mahasiswa menangani kisah cinta 3 segi, masalah perhubungan antara teman lelaki dan teman wanita dan juga menonjolkan cara hidup mahasiswa yang bersuka-sukaan, manakala yang bijak (dilakonkan oleh anak lelaki En Ngasri) ditonjolkan sebagai watak orang yang lurus bendul kebodoh-bodohan. Tidak sedikitpun diselitkan bagaimana suasana pencarian ilmu, kemantapan jati diri mahasiswa dan nilai2 murni yang lain. Walaupun ini adalah drama, namun bagi saya - drama, kartun dan iklan adalah merupakan agen pembentuk budaya yang begitu berkesan dalam mendidik jiwa anak muda ke arah satu hala tuju yang tertentu. Khuatir saya melihat kecenderungan ke arah mewujudkan budaya tidak mencintai ilmu ini disogok dgn begitu intensif dimedia masa. Dalam kita cuba membentuk masyarakat menjadi masyarakat madani sebagaimana Dato Seri Anwar perjuangkan, perkara ini harus dipandang serius. Anak remaja dan orang muda adalah bakal pemimpin masa hadapan. Rosaklah negara kalau mereka rosak. Soalan saya mengapakah kerajaan tidak menggunakan Finas bagi menapis doktrin jahat sebegini, atau adakah memang kerajaan bersikap lewa terhadap isu keruntuhan moral remaja? Bagaimanakah pada pandangan Dato Seri, untuk kita halang pendoktrinan tanpa sedar ini dari terus disogok kepada masyarakat? Sebagai masyarakat, apakah yang harus dilakukan bagi mengembalikan budaya cintakan ilmu dikalangan anak muda? Sekian soalan saya, moga mendapat buah fikiran Dato Seri….

ibnu mohamad,

Wacana mengenai budaya ilmu amat kritikal dinegara kita. Kalangan yang sedar dan celik budaya harus lebih berani menzahirkan pendapat dan tidak membisu seribu bahasa. Keadaan umumnya memang tenat tetapi masih boleh dipulihkan. Dengan kedangkalan serta budaya picisan yang diterapkan oleh pimpinan negara dan media utama, suasana pastinya akan lebih gawat. Maka agak meleset jika harapan tertumpu kapada elit penguasa.
Masih ada ruang meskipun amat terbatas untuk kita semarakkan semula budaya ilmu dan tradisi aqliyah.

30
Jul

teguran dari kiayi Sunan Drajat

Saya ada menerima teguran dari kiayi Sunan Drajat kerana tidak menyebut gelaran “orang tua” yang dianugerah oleh keluaraga Pesantren Sunan Drajat. Saya pohon maaf kerana saya tidak bermaksud meremehkan penobatan tersebut yang saya terima dengan penuh tawadduk dan rendah diri. Tatkala menghimbau pengalaman saya dan rakan-rakan di Pondok Pesantren Sunan Drajat bersama Kiayi Hj Abdul Gafur, para kiayi dan santri, saya sengaja tidak menyebut mengenai “orang tua” kerana saya kira ia memberi signifikan keruhanian dan tidah semestinya dihebahkan.

Saya tetap menganggap penobatan tersebut bersama sebagai keluarga Pesantren sebagai sesuatu yang mulia kapada manuasia kerdil saperti saya. Semoga Allah swt memberikan hidayah dan kekuatan.

27
Jul

Ahmad Yamani dijawab..kali kedua!

ahmadyamani menanyakan :

Meski saya setuju dengan pembahagian tahap-tahap kehidupan Anwar Ibrahim, saya merasa resah setiap kali melihat Anwar Ibrahim 3.0 yang digunakan.
Apakah Anwar Ibrahim android atau cyborg yang mempunyai nombor siri?
Jika benar Anwar Ibrahim 1.0 adalah ketika memimpin gerakan mahasiswa dan belia, bagaimana dengan kehidupan beliau sebelum itu?
Apakah Anwar Ibrahim 0.1 hingga 0.9 atau mungkin Anwar Ibrahim proto model?

sdr ahmadyamani,

Wah wah, janganlah terlalu banyak menelaah sosok dan pembahagian tahap oleh sdr Khalid Jaafar. Bukankah hidup ini adalah satu perjalanan. Kita kan tambah matang dan dewasa. Saya belum bersara atau ke pusara, maka tidak perlulah digali sejarah hidup sejak dilahirkan. Memadailah dengan maklumat setakat ini dan tumpukan saja agenda berikutnya.
Ya jangan khawatir, sendainya sdr ingin penjelasan spesifik, bolehlah saya usahakan.

27
Jul

Jawapan Kepada AFathi

A Fathi menanyakan melalui emel:

Assalamualaikum.
Saudara DSAI,
Terima kasih atas jawapan yang Dato’ Seri berikan. Saya doakan agar perjuangan Dato’ Seri dan para pendokong keadilan serta jentera pembangkang diberikan kemenangan dalam masa yang terdekat ini (Insya Allah), memandangkan keadaan konflik di negara kita semakin meruncing.
Melalui email yang lepas saya ada menyatakan kepentingan pendidikan yang sempurna dalam pelbagai aspek agama dan kepentingan golongan pendidik dalam membantu menyelesaikan konflik sosial. Saya ada beberapa kemusykilan tentang bagaimana jentera pembangkang samada Keadilan atau Pas mendidik golongan pelapis. Memang saya tidak dapat menafikan bahawa golongan pelapis ini berjaya dalam menjalankan beberapa gerak kerja yang dapat membantu jentera mereka bergerak maju. Malah mereka lantang bersuara jika ada permasalahan dalam parti mereka. Dari satu sudut, saya amat bimbang kerana penerapan ilmu-ilmu agama yang sangat utama seperti pemantapan (Ilmu Asas) seperti Ilmu Syariah, Ilmu Aqidah dan Ilmu Tasauwuf (Ilmu Rohani) diabaikan atau diambil sambil lewa dan adakalanya dipandang remeh ilmu tersebut. Apa yang dipentingkan oleh golongan pelapis hanyalah Ilmu Gerakan (Ilmu Haraki), sebagai contoh golongan pelapis Pas di universiti-universiti tempatan, mereka hanya mendalami ilmu-ilmu haraki yang boleh dikategorikan tidak penting dan tidak membantu dalam pembentukan peribadi yang kukuh. Malah ilmu tersebut boleh dipelajari bila mereka benar-benar bergerak dalam parti.
Kepentingan Ilmu Asas adalah membantu sepenuhnya golongan pelapis dalam menghadapi cabaran di masa akan datang. Ramai mahasiswa, mereka sangat bersemangat tapi macam kayu buruk, hanya mampu bertahan buat seketika. Bukan itu sahaja, malah mereka lemah dalam memberikan idea dan tidak memahami kaedah yang sepatutnya digunapakai dalam menggerakkan parti. Saya yakin jika golongan pelapis ini dimantapkan dengan ilmu asas, jentera pembangkang boleh memberikan satu tamparan yang hebat buat jentera pemerintah. Bahkan mereka mampu melumpuhkan terus jentera Umno.
Dato’ Seri, apa yang saya utarakan adalah maklumat yang saya perolehi daripada golongan pelapis ini. Saya juga ingin tahu bagaimana Dato’ Seri memantapkan golongan pelapis. Adakah Keadilan mengambil ringan soal pemantapan golongan tersebut?. Saya juga ingin menggunakan saluran Dato’ Seri untuk meminta budi baik Dato’ Seri agar menyampaikan permasalahan ini pada Pas agar kekuatan jentera pembangkang dapat diperkukuhkan.
Akhir kata, saya pohon kehadrat Ilahi agar memudahkan pemantapan golongan pelapis dalam menegakkan Agama Islam.
Wassalamualaikum.

sdr AFathi,

Ramai ulama dan sarjana menyimpulkan bahawa soal pendidikan adalah soal asas. Malah kebanyakan mereka menyarankan perubahan dan pembinaan tamadun melalui pendidikan. Gerakan-gerakan Islam terdahulu juga meletakkan program tarbiyah dan pendidikan sebagai keutamaan malah ada juga yang mewajibkan semua ahli mengikuti program pendidikan asas.
Saya bersetuju dengan saranan tersebut walaupun mengakui bahawa program pendidikan dan latihan tidak semestinya terlalu formal. Ia bolih diserapi melalui wacana dan pendedahan kapada kegiatan bersama masyarakat. Kendatipun begitu ia tidak terlepas dari pengetahuan ilmu asas - termasuk kemantapan aqidah, pembentukan akhlak dan syaksiyah serta kefahaman mengenai sistem politik, ekonomi dan dunia antarabangsa.
Perkara ini sedang terus diusahakan dengan segala keterbatasan dan tekanan yang ada.
Keadilan telah menetapkan kaedah latihan dan pendedahan kapada barisan pimpinan dan PAS juga mempunyai skim latihan.
Saya pohon kerjasama sdr untuk membantu.

27
Jul

Respon Kepada Monaz

monaz memberi respon pada posting ‘Jawapan Kepada Monaz’:

Cuba Dato’ Seri namakan Yahudi yang baik tu. Cheney? Ari Fleischer? Wolfowitz? Douglas Feith? E. Abrams? Dov Zekheim? H. Kessinger? M. Grossman? R. Satlof?
Dasar Israel bukan sahaja keterlaluan, malah lebih buruk dari binatang.
Dasar Amerika menghulur makanan sebagai bantuan kemanusiaan kepada Lubnan TETAPI membekal senjata kepada Israel untuk membedil Lubnan kelihatannya seperti tauke ayam bagi makan ayam supaya gemok untuk disembelih.

sdr monaz,

Prinsip Islam adalah jelas tidak menolah permusuhan kaum termasuk Yahudi. Yang kita tentang adalah kezaliman dan kebiadapan. Apa yang sedang berlaku di Palestin dan Lubnan jelas menunjukkan kekejaman Israel dengan bantuan Amerika. Ini telah saya tegaskan dalam temuramah saya denga BBC, AlArabiya dan ABC baru-baru ini.
Saya memang punyai kenalan Yahudi yang menentang keganasan Israel di Palestin.

27
Jul

Jawapan Kepada AhmadYamani

ahmadyamani member respon:

Saya melihat cara Dr. Mahathir ‘bertembung’ dengan Abdullah Badawi benar-benar tidak seperti lazimnya beliau.
Apabila Mahathir bertingkah secara terbuka, pukulannya adalah pukulan maut untuk membunuh. Tetapi persoalan-persoalan yang dibangkitkan terhadap rejim Abdullah terlalu lembut. Saya percaya jika Mahathir benar-benar mahu menghentam Abdullah, beliau akan menggunakan pengaruh dan jentera dalam UMNO (yang beliau masih punyai pengaruh kuat).
Yang lebih menarik, bagi saya, ialah natijah kritikannya terhadap Abdullah menghampirkan dirinya kepada PAS (lewat peranan Raja Petra).
Mahathir adalah seorang yang mempunyai sumber kewangan yang cukup luas. Mesranya dengan PAS akan lebih akrab jika digula-gulakan dengan bantuan kewangan untuk PAS bertanding di semua kerusi dalam pilihanraya akan datang. PAS sudah tentu tertarik kerana sedari dulu bertanding pilihanraya adalah paksi perjuangan PAS, hatta bagi penyokong di peringkat kampus lagi.
Justeru, keADILan dan Anwar Ibrahim akan terpinggir daripada PAS. Sekaligus pakatan pembangkang akan pecah.
Sasarannya bukan Abdullah, tetapi Anwar Ibrahim.
Pohon dikritik tulisan ini dan dihujahkan sehingga tertolak hipotesis saya ini.

sdr ahmadyamani,

Tanggapan sdr berasas kerana keengganan Tun Dr M nenyelar isu dasar yang lebih besar. Sekiranya ini dilakukan sudah barang tentu beliau sendiri dan PM Abdullah akan turut terpalit. Isu lebih serius termasuk rasuah dan pengumpulan kekayaan olih pimpinan, kerosakan badan kehakiman, penipuan pilihanraya, penyalahgunaan kuasa melalui polis dan badan penguatkuasa.
Walaubagaimana pun saya yakin pertembungaan mereka berdua juga sengit dan akan membawa kesan parah. Sebahagian pekung dan najis telah terbongkar di khalayak umum termasuk isu badan kehakiman, MAS, perniagaan keluaraga.
Saya juga percaya dana besar akan digunakan untuk mengenengahkan pandangan dan serangan masing-masing. Tetapi rakyat harus lebih berhati-hati untuk memahami persoalan dan tidak diperalatkan. Hak sesiapa sahaja menyuarakan pandangan perlu dipertahankan dan hanganlah diizinkan tindakan menindas pengkritik sapertimana yang dilakukan olih Dr M tatkala beliau berkuasa.
Mengenai PAS, saya masih menjalin hubungan akrab dan tidak mempercayai tohmahan bahawa sebahagian pimpinan mereka mudah disogok dengan wang ringgit.

27
Jul

Pengalaman di pesantren

Saya membaca catatan sdr Nik Nazmi mengenai pengalaman kami bersama para kiayi dan santri di Pondok Pesantren Sunan Drajat, Lamongan, Surabaya. Bapak Kiayi Hj Abdul Gafur telah berulang kali mengundang saya kesana. Menurutnya anak-anak santri yang berjumlah delapan ribu turut mendoakan kesejahteraan dan kejayaan saya tatkala enam tahun di penjara Sg Buluh. Akhirnya pada 24 Julai, saya dan rombongan tiba di pesantren tersebut dan menginap semalam disana. Baru disana saya menerima khabar bahawa Kiayi AG telah mengesan saya sejak 1996 lagi. Dan satelah difitnah dan dipenjara, beliau dan anak-anak telah menunjukkan keprihatinan luar biasa terhadap nasib kami sakeluarga.
Continue reading ‘Pengalaman di pesantren’

27
Jul

Khalid, Dan Quayle dan potato..

Sdr Khalid Jaafar menyentuh mengenai blog saya dalam Suara Keadilan. Blog saya menganjurkan wacana terbuka dan tidak terbatas kapada persoalan politik semata. Sejak awal tatkala mengutarakan gagasan masyarakat madani, yang ditekankan ialah pemerkasaan politik dan budaya. Semangat kebebasan dan keluhuran akhlak perlu bersandarkan ilmu dan tradisi aqliyah. Sdr Khalid turut menyinggung nada jawapan saya yang serius. Mungkin saja saya kendurkan jika tidak terlalu memburu waktu. Ha, mengenai ejaan, saya pohon maaf kerana saya terus menaip tanpa menyemak semula. Sekali-sekali saya terbawa-bawa dengan ejaan purba. Nasib baik dalam bahasa Melayu kesilapan ejaan tidak menjadi ukuran kehebatan ilmu kerana sistem ejaan sering dirobah. Hal sademikian tidak diterima dalam bahasa Inggeris sapertimana pengalaman calon Naib Presiden Amerika, Dan Quayle. Beliau dikutuk media sebagai kurang cerdik kerana kesalahan mengeja “potato” didepan pelajar.




Dokumentari Perbicaraan 1998

Video Manifesto KeADILan

Sila klik sini untuk versi Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil

Ceramah DSAI di Bandar Tun Razak

DSAI Menerangkan Dasar Harga Petrol Alternatif

Pamerkan Di Website Anda

Other Banners

 

July 2006
M T W T F S S
« Jun   Aug »
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930
31