Jawapan Anwar Ibrahim kepada Penyataan Belaan Tun Dr Mahathir Mohamad

17 June 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

DI DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR
DALAM WILAYAH PERSEKUTUAN, MALAYSIA
(BAHAGIAN SIVIL)
GUAMAN SIVIL NO: S4-23-15-2006

ANTARA

DATO’ SERI ANWAR BIN IBRAHIM – PLAINTIF

DAN

TUN DR MAHATHIR BIN MOHAMAD – DEFENDAN

JAWAPAN KEPADA PERNYATAAN PEMBELAAN

1. Plaintif menjawab Pernyataan Pembelaan seperti berikut:

2. Merujuk kepada perenggan 1 Pernyataan Pembelaan Plaintif menegaskan sebaliknya dan akan membuktikan bahawa Plaintif sesungguhnya telah difitnah oleh Defendan dan akan menentang semua atau apa-apa permohonan Defendan untuk membatalkan Writ Saman dan Pernyataan Tuntutan Plaintif sama ada menurut Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi atau apa jua undang-undang.

3. Merujuk kepada perenggan 2 Pernyataan Pembelaan, Plaintif mengekalkan pengataan beliau di dalam Pernyataan Tuntutan.

4. Merujuk kepada perenggan 3 (i) – (v) dan 4 Pernyataan Pembelaan, Plaintif menegaskan bahawa perkara-perkara yang diplid di dalamnya adalah tidak berkaitan dengan tindakan semasa ini terhadap Defendan dan adalah ipso facto, otiose.

5. Merujuk kepada perenggan 3 (vi) – (xi) Pernyataan Pembelaan, pensabitan Plaintif di dalam perkara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Perbicaraan Jenayah No. 45 – 48 Tahun 1998 dan 45 – 49 Tahun 1998 dan kemudiannya Plaintif kehilangan kelayakan untuk memegang jawatan politik dan sebagainya adalah tidak relevan dengan tindakan semasa ini terhadap Defendan dan sabitan tersebut adalah di bawah s 2 (1) Emergency (Essential Powers) Ordinance No. 22/1970 yang mana untuk “amalan korup” bukan kewangan (“non pecuniary “corrupt practice”) sahaja. Tambahan pula, Yang Arif Hakim Augustine Paul (ketika itu), yang menghakimi Plaintif, telah menyatakan secara jelas bahawa “the amended charges merely refer to allegations of sodomy and sexual misconduct and not to the actual commission of sodomy or sexual misconduct of the accused. The truth and falsity of the allegations is therefore not in issue in this trial. Any evidence or argument that has or is to be directed upon that matter is therefore irrelevant and immaterial.”

6. Merujuk kepada perenggan 5 (i) – (iv) dan perenggan 9 (i) – (ix) Pernyataan Pembelaan, Plaintif menegaskan dan akan menegaskan bahawa kata-kata yang dipersoalkan tersebut yang dilafazkan oleh Defendan, sama ada dibaca secara keseluruhan atau sebaliknya atau di dalam mana-mana konteks atau sebaliknya adalah salah dan berniat jahat dan bukannya otiose. Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 tidak mengurniakan kepada mana-mana orang yang dijemput untuk memberi ucapan di dalam forum-forum yang dianjurkan oleh SUHAKAM apa-apa hak istimewa, a fortiori, perlindungan bersyarat seperti yang dinyatakan oleh Defendan. Plaintif selanjutnya menegaskan bahawa Defendan tidak berhak untuk pembelaan yang disediakan di bawah ss 12 (1) dan (2) Akta Fitnah 1957 berkenaan dengan kenyataan-kenyataan Defendan yang dibuat di SUHAKAM. Plaintif juga menegaskan bahawa Defendan bukanlah seorang ahli, pegawai atau pekerja SUHAKAM dan oleh yang demikian perlindungan yang dikurniakan kepada ahli-ahli, pegawai-pegawai dan pekerja-pekerja SUHAKAM di bawah s. 18 Akta tersebut tidak terpakai ke atas Defendan. Oleh itu kata-kata yang dipersoalkan yang dilafazkan oleh Defendan adalah tidak dilindungi oleh perlindungan bersyarat seperti yang diplidkan dan dengan itu adalah jelas berniat jahat.

7. Merujuk kepada perenggan 6 Pernyataan Pembelaan, Plaintif mengekalkan tegasan beliau di dalam Pernyataan Tuntutan.

8. Merujuk kepada perenggan 7 dan sub perenggan 7 (i) sehingga (viii) Pernyataan Pembelaan, Plaintif menegaskan dan akan menegaskan bahawa kata-kata yang dipersoalkan seperti yang dinyatakan di dalam peranggan 4 Pernyataan Tuntutan adalah tidak benar dan berniat jahat secara fakta dan isinya kerana kedua-dua Munawar Anees dan Sukma Darmawan semenjak pembebasan mereka dari penjara, telah menafikan dengan bersungguh-sungguh tuduhan-tuduhan yang dibuat terhadap mereka dan terhadap Plaintif, pada awalnya. Mereka telah mengisytiharkan bahawa mereka telah dipaksa membuat pengakuan salah semasa di dalam tahanan dan telah sepatutnya selepas itu, memfailkan tindakan terhadap Kerajaan Malaysia dan telah memfailkan rayuan-rayuan yang perlu terhadap sabitan-sabitan mereka dan Plaintif akan bergantung kepada kertas-kertas kausa dan afidavit-afidavit masing-masing yang difailkan oleh Munawar Anees and Sukma di dalam penafian-penafian dan rayuan-rayuan mereka yang disebut di atas.

9. Merujuk kepada sub perenggan 7 (ix) Pernyataan Pembelaan, Sukma telah memfailkan satu rayuan terhadap penolakan Mahkamah Tinggi permohonan beliau untuk masa memfailkan petisyen beliau. Begitu juga, Munawar Anees telah memfailkan satu rayuan terhadap sabitan beliau dan kedua-dua perkara rayuan tersebut sekarang ini masih belum diselesaikan oleh Mahkamah. Merujuk kepada sub perenggan 7(xi), (xii), (xiii) dan (xiv) Pernyataan Pembelaan, perkara tersebut masih belum didengar meritnya tetapi telah dibatalkan di peringkat interlokutori justeru itu isu estopel tidak boleh dibangkitkan. Plaintif akan bergantung kepada kertas-kertas kausa dan afidavit-afidavit yang telah difailkan padanya.

10. Merujuk sub perenggan 7 (xv) sehingga (xviii) Pernyataan Pembelaan, Plaintif menegaskan bahawa Plaintif telah dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Persekutuan terhadap kesemua sabitan di dalam perkara Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Perbicaraan Jenayah No. 45 – 51 Tahun 1998 dan 45 – 26 Tahun 1999. Plaintif menegaskan bahawa petikan daripada keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan yang dirujuk di dalam sub perenggan 7 (xvii) Pernyataan Pembelaan, adalah dibuat melampaui bidangkuasa Mahkamah yang mana ianya dibuat adalah hanya untuk menghakimi ketepatan keputusan-keputusan mahkamah rendah di dalam menyabitkan Plaintif terhadap tuduhan-tuduhan yang dibuat ke atas Plaintif oleh Pendakwa Raya. Walau apa pun kata-kata di dalam petikan tersebut adalah tidak relevan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

11. Merujuk kepada perenggan 8 Pernyataan Pembelaan Plaintif mengulangi perengan 7, 8, 9 dan 10 di dalam ini.

12. Merujuk kepada perenggan 9 Pernyataan Pembelaan Plaintif mengulangi perenggan 6 di dalam ini.

13. Plaintif menegaskan dan telah menegaskan dari awal (ab initio), sehingga 2 September 1998 ketika Plaintif dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan oleh Defendan, Plaintif ialah mangsa kepada konspirasi politik yang dirancang secara senyap-senyap oleh Defendan. (Plaintif akan bergantung kepada kesemua nota-nota keterangan kedua-dua Perbicaraan Jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (45 – 48 – 98; 45 – 49 – 98; 45 – 51 – 98; 45 – 26 – 99) dan rayuan-rayuan berikutnya dan yang berkaitan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan. Plaintif juga akan bergantung kepada lain-lain permohonan yang berkenaan dan pelbagai permohonan, kertas-kertas kausa, afidavit-afidavit sokongan dan lain-lain dokumen yang difailkan padanya).

14. Selanjutnya, Plaintif menegaskan dan akan menegaskan bahawa dari lebih kurang pada tahun 1995 Defendan telah mula menunjukkan dan menzahirkan rasa penentangan terhadap Plaintif mengenai beberapa tindakan yang diambil atau dicadangkan oleh Plaintif sebagai Timbalan Perdana Menteri dan/atau Menteri Kewangan di dalam menangani salah pengurusan kewangan dan salahguna dana di dalam kerajaan, syarikat-syarikat awam dan UMNO. Defendan juga merasakan bahawa Plaintif tidak bekerjasama dan tidak taat dan telah dilihat sebagai halangan kepada beberapa cadangan Defendan untuk menggunakan dana awam di dalam operasi bailout kepada sesiapa yang mempunyai hubungan rapat atau mempunyai kaitan dengan Defendan.

Butir-butir

14 (i) Lebih kurang pada tahun 1995 Dato Nik Affendi, seorang wakil Perbendaharaan Persekutuan di dalam Lembaga Perwaja telah melaporkan kepada Plaintif sebagai Menteri Kewangan (‘MOF’) mengenai kerugian besar yang ditanggung oleh Perwaja kerana kegagalannya untuk mematuhi prosedur-prosedur piawai kewangan mengenai pemerolehan dan pembayaran dananya. Plaintif kemudiannya mengarahkan bahawa jawatankuasa tender sewajarnya (“proper tender”) dan kewangan ditubuhkan oleh Lembaga Perwaja. Tetapi apabila perkara ini dibangkitkan oleh ahli Lembaga tersebut, jawapan yang diberikan oleh Chief Executive Office (CEO) Tan Sri Eric Chia adalah bahawa Perdana Menteri, iaitu Defendan, telah diberikan taklimat dan beliau telah memberikan kelulusan untuk membuat apa sahaja yang CEO suka. Selepas itu di pertengahan 1996, Perwaja seterusnya telah mencatatkan kerugian besar dan memerlukan suntikan dana tambahan dari Perbendaharaan Persekutuan. Oleh kerana Defendan telah mengarahkan bahawa Tan Sri Eric Chia diberikan kebebasan dan sokongan, kuasa-kuasa Perbendaharaan telah diikat. Justeru itu, di atas nasihat Setiausaha Agung Perbendaharaan, Plaintif telah meluluskan perlantikan Price Waterhouse (“PW”), sebuah firma akauntan, untuk mengaudit akaun-akaun syarikat dan menyerahkan cadangan-cadangan. PW melaporkan semula kepada Plaintif bahawa sejumlah RM2 billion diperlukan untuk menyelamatkan syarikat tersebut. Ekoran daripada yang tersebut di atas, lebih kurang pada atau sekitar Disember 1996 Plaintif telah membentangkan satu usul di Parlimen memohon kebenaran untuk dana RM2 billion diberikan kepada Perwaja dan untuk pengurusan Perwaja yang akan diawasi oleh PW. Plaintif kemudiannya membentangkan laporan awal (“preliminary report”) oleh PW di Parlimen, yang mana antara lain, menyatakan penemuan-penemuan berikut:

a. pengurusan yang tidak baik (“bad management”) oleh CEO., dan kegagalan untuk mematuhi prosedur-prosedur kewangan.

b. urusniaga yang dipersoalkan dan kos bahan-bahan mentah dan bayaran pengangkutan yang terlalu berlebihan/tinggi.

c. Bayaran kos guaman yang tidak munasabah (‘significant’) kepada firma-firma guaman, terutama, V.K. Lingam & Co and Lewis & Co, sejumlah lebih kurang RM13 juta. Tambahan lagi satu bayaran sejumlah RM5.4 juta kepada En. Durai Rajasingam Rajaduray yang bekerja di Lewis & Co. Tiada sebarang dokumen sokongan bagi bayaran tersebut.

Ekoran daripada pendedahan tersebut di Parlimen media nasional memberikan liputan meluas pada hari berikutnya. Defendan mempersoalkan tindakan Plaintif mengenai keperluan membentangkan ringkasan penemuan-penemuan awal PW di Parlimen. Plaintif kemudiannya mencadangkan bahawa akauntan-akauntan PW (Tan Sri Raja Arshad dan Mr. Khoo Eng Choo) memberi taklimat kepada Defendan, yang mana telah mereka lakukan pada awal 1997. Defendan jelas dan ternyata tersinggung terhadap Plaintif dan Defendan terus mempertahankan Tan Sri Eric Chia. Pada pertengahan 1998 PW (selepas itu dikenali sebagai PWC) telah menyerahkan satu laporan lengkap kepada Defendan sebagai Perdana Menteri, Plaintif sebagai Timbalan Perdana Menteri & Menteri Kewangan dan kepada Gabenor Bank Negara ketika itu Tan Sri Ahmad Don. Ianya telah menunjukkan antara lain, kerugian besar, salah pengurusan yang melampau (“gross mismanagement”) oleh CEO dan bukti kesalahan Defendan kerana meluluskan kontrak-kontrak besar tanpa tender dan/atau rujukan kepada Lembaga Perwaja atau Perbendaharaan. Defendan telah menyaksikan perkara ini sebagai satu cubaan oleh Plaintif untuk memalukan beliau.

Selepas itu, dalam tahun 1999 semasa di penjara, Plaintif telah membuat satu laporan polis (Tun H S Lee No. 19625/99) terhadap Perwaja dan telah melampirkan laporan PWC sebagai bukti. Plaintif semestinya bergantung kepada laporan polis dan laporan PWC tersebut ketika perbicaraan nanti.

14 (ii). Lebih kurang pada tahun 1995 Agensi Anti Rasuah (“ACA”) telah menyerahkan satu laporan kepada Plaintif yang menyatakan bahawa terdapat bukti rasuah terhadap Tan Sri Rahim Thamby Chik (“Rahim”) dan Dato Rafidah Aziz (“Rafidah”) dan mengesyorkan pendakwaan. Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Mokhtar Abdullah, (“AG”) mengesyorkan pendakwaan terhadap Rafidah. Adalah menjadi satu amalan ketika pentadbiran Defendan, kesemua keputusan untuk pendakwaan yang membabitkan VIPs mestilah dirujuk kepada Defendan sebagai Perdana Menteri untuk kelulusan dan oleh itu AG telah melaporkan kepada Defendan yang telah telah mengarahkan beliau untuk tidak meneruskan dengan pendakwaan tersebut dan untuk menutup kes tersebut. AG kemudiannya menggesa Plaintiff untuk campur tangan di dalam hal ini. Apabila Plaintiff menemui Defendan berkenaan hal ini, Defendan telah berkata bahawa AG tidak memahami politik dan Defendan telah tersinggung terhadap Plaintif kerana membangkitkan hal ini dan campur tangan beliau di dalam hal ini.

14 (iii). Lebih kurang pada 1996 Plaintif telah memperolehi surat-surat yang dialamatkan kepada Tun Daim Zainuddin yang ketika itu Bendahari UMNO (“Daim”) daripada Tan Sri Halim Saad (Halim), Tan Sri Tajuddin Ramli dan Tan Sri Wan Azmi, yang memegang lebih kurang 600 juta syer-syer Resort World (Genting) yang telah disenaraikan bernilai RM1 billion mendakwa bahawa syer-syer tersebut dipegang sebagai amanah untuk Daim. Oleh kerana perkara tersebut tidak baik, Plaintif telah membawa perkara tersebut kepada perhatian Defendan yang dengan marahnya menolaknya dengan hanya berkata “it is meant for UMNO and I will deal with it”.

Begitu juga Defendan terlalu tersinggung terhadap Plaintif di dalam beberapa kejadian lain apabila Plaintif, antara lain:

a. meminta Defendan untuk menghilangkan tanggapan salah orang ramai bahawa Plaintif ialah de facto pemegang saham majoriti atau sebaliknya di dalam Malaysian Resources Corporation Berhad (“MRCB”) apabila secara realitinya terdapat bukti bahawa Defendan sebenarnya pemegang 70% saham di dalam Realmild Sdn Bhd yang dikuasai oleh MRCB.

b. Bertanya kepada Defendan (terutamanya apabila Plaintif, meskipun seorang Timbalan Presiden UMNO, bukan seorang pemegang amanah untuk dana UMNO), mengenai kedudukan berbilion-bilion dana UMNO. Apabila Tengku Razaleigh Hamzah mengundurkan diri sebagai bendahari UMNO akaun yang telah diaudit menunjukkan UMNO mempunyai baki kredit sebanyak RM2 bilion. Selanjutnya, Plaintif juga bertanya kepada Defendan mengenai aset-aset lain UMNO yang terdapat di dalam Hatibudi Sdn Bhd berjumlah lebih kurang RM2 bilion dan di dalam Realmild Sdn Bhd berjumlah lebih kurang RM1.5 bilion dan lain-lain asset di mana, pada 1998 telah berkembang menjadi lebih kurang berjumlah RM8 bilion, kerana akaun-akaun yang telah diaudit telah tidak diserahkan kepada biro politik UMNO dan/atau kepada Majlis Tertinggi UMNO.

14 (iv). Untuk beberapa tahun Dato Seri Samy Vellu, Menteri Kerja Raya dan Daim melobi Defendan bagi pihak Halim dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (“PLUS”) mencari kenaikan bayaran tol dengan helah bahawa ianya telah termaktub di dalam Perjanjian Konsesi. Tetapi Plaintif juga terikat dengan surat Setiausaha Agung Kementerian Kewangan, ketika itu Tan Sri Zain Azraai yang telah menasihatkan Daim, ketika itu Menteri Kewangan akan kecacatan terma-terma Perjanjian Konsesi tersebut. Pegawai-pegawai Perbendaharaan dengan teliti mengkaji rayuan PLUS tersebut dan telah memutuskan bahawa kenaikan tersebut tidak boleh dijustifikasikan atau disokong secara fiskal. Defendan kemudiannya membawa isu tersebut untuk pertimbangan Kabinet. Plaintif kemudiannya meyakinkan Defendan bahawa beliau akan secara sendiri mengkaji isu tersebut dan melaporkan kepada Kabinet. Semasa di dalam menimbangkan perkara di atas, Halim telah menemui Plaintif di pejabat Plaintif merayu supaya meluluskan perkara di atas walaupun Plaintif memberitahu beliau bahawa penemuan-penemuan Perbendaharaan adalah kos-kos pembinaan adalah lebih rendah berbanding daripada amaun yang terlalu tinggi yang dituntut oleh PLUS. Plaintif telah menolak rayuan PLUS tersebut. Defendan terlalu tidak senang dan membuat kata-kata sinis terhadap Perbendaharaan dan kemudiannya mengarahkan Plaintif supaya mengakaskan keputusan kementerian pada pertengahan 1998. Namun, tidak lama selepas itu, Plaintif telah dipecat pada 2 Sept 98, membuka jalan kepada Defendan untuk segera meluluskan kenaikan tol yang pertama di antara kenaikan-kenaikan tol lain yang bermula pada Okt 98.

14 (v). Lebih kurang pada 1997 Plaintif telah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Bakun. Defendan telah memutuskan untuk menawarkan projek Empangan Bakun tanpa tender kepada Ekran Bhd di mana Tan Sri Ting Peck Khing (“Ting”), mempunyai kepentingan besar di dalamnya. Unit Perancang Ekonomi pada ketika itu di bawah Dato Shamsuddin. Tugas pertama Plaintif adalah untuk menggesa Ekran Bhd supaya menyerahkan cadangan terperinci dan untuk membuat kajian EIA bagi pertimbangan kerajaan.

Tetapi sebelum kedua-dua kajian tersebut lengkap dan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Kabinet, Defendan seorang diri, telah memutuskan untuk melancarkan projek tersebut di Bakun, tanpa menghiraukan Jawatankuasa Kabinet dan Perbendaharaan. Plaintif, melalui Jawatankuasa Kabinet telah mengesyorkan bahawa laporan terperinci mesti dilakukan, termasuk kajian semula cadangan kontraktor tersebut, Asea Brown Bovery’s (ABB) untuk pembinaan Empangan Bakun. Akibat terlalu marah, Defendan menyelar Jawatankuasa Kabinet kerana melengahkan projek tersebut dan pada 1997 Defendan selanjutnya kecewa bahawa Plaintif telah mengesyorkan untuk mengurangkan skop projek tersebut. Pada 1998 oleh kerana krisis ekonomi Plaintif telah mencadangkan supaya menangguhkan projek Bakun tersebut. Permohonan Ting untuk pampasan sebanyak RM2.2 bilion dengan bayaran pendahuluan sebanyak RM120 juta telah diarahkan oleh Defendan kepada Plaintif pada 12-8-1998 untuk memudahkan bayaran tanpa menghiraukan prosedur-prosedur dan peraturan-peraturan kewangan.

14 (vi). Lebih kurang pada 1997, Konsortium Perkapalan (“KP”) di mana Mirzan Mahathir, salah seorang anak Defendan, yang mempunyai kepentingan besar di dalamnya, mengalami kerugian besar akibat daripada krisis ekonomi. Defendan telah mencadangkan bahawa Perbendaharaan memikirkan satu skim khas untuk bailout KP. Plaintif telah menggesa Defendan untuk menimbangkan semula skim bailout tersebut ketika memohon dana Perbendaharaan kerana ianya terlalu susah untuk direalisasikan dan dijustifikan. Defendan berkeras hati dan telah tersinggung terhadap Plaintif. Selanjutnya, Plaintif telah menerangkan bahawa ianya boleh dilakukan sekiranya Perbendaharaan mengemukakan permohonan bajet sokongan untuk kelulusan Perlimen. Ketika Plaintif menerangkan perkara ini, Defendan ternyata kecewa dan menyatakan bahawa ia akan memalukan beliau apabila ianya dilakukan seperti yang diterangkan.

Selepas itu, lebih kurang pada awal tahun 1998, Tan Sri Hasan Merican (“Hasan”), CEO Petronas telah berjumpa dengan Plaintif dan telah menzahirkan bantahan beliau dan lain-lain eksekutif kanan terhadap cadangan Defendan untuk membolehkan Lembaga Petronas untuk menyusun satu bailout untuk KP. Plaintif kemudiannya mengadu kepada Hasan mengenai kesulitan beliau semenjak hubungan beliau dengan Defendan telah menjadi tegang terutamanya mengenai isu KP. Walaubagaimanapun Hasan menggesa Plaintif untuk campur tangan dan memujuk Defendan. Apabila Plaintif melakukannya, Defendan merasa tersinggung dan mengatakan secara ringkas dan kasar “Petronas is not under the control of the Treasury”. Plaintif akan menegaskan bahawa Defendan telah menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri di dalam mengarahkan Petronas untuk bailout KP menurut S.3(2) dan (3) Petroleum Development Act 1974. Bailout tersebut melibatkan, antara lain, bayaran tunai lebih kurang RM700 juta kepada KP yang mana seharusnya telah menguntungkan Mirzan Mahathir.

14 (vii). Plaintif akan merujuk, ketika perbicaraan, kesemua laporan polis yang dibuat oleh Plaintif mengenai perkara di atas dan lain-lain perkara (dan ekshibit-ekshibit yang terkandung di dalamnya), termasuk iaitu: Tun H S Lee Reports Nos. 19625/99; 20455/99; 14752/2000; 22517/99; dan Dang Wangi Reports Nos. 20255/99.

15. Plaintif akan mengemukakan bukti-bukti selanjutnya ketika perbicaraan, mengenai beberapa keadaan di mana Defendan merasa tersinggung terhadap bantahan-bantahan Plaintif kepada pemerolehan perjanjian perniagaan yang diragukan di mana Defendan telah menyalahgunakan kedudukan beliau bagi tujuan tersebut untuk sesiapa yang berkaitan dengan beliau, perol

Pendapat Anda

Switch to our mobile site