Amartya Sen, Asia dan Demokrasi

17 June 2006

Pendapat

Pendapat Anda?

Beberapa bulan lalu, sarjana ekonomi Amartya Sen melancarkan bukunya The Argumentative Indian : Writings on Indian History, Culture and Identity
di Washington. Beliau mengundang saya dan Azizah sebagai tetamu khas dimajlis tersebut. Agak menarik gurauannya menyindir kalangan yang menganggap rakyat Asia belum bersedia menerima demokrasi. Menurutnya, budaya India sejak ribuan tahun segar dengan wacana dan perdebatan. Telaah saja Ramayana dan Mahabarata, Kautilya dizaman silam; toleransi dizaman Mogul dan perjuangan nasionalisme yang menjanjikan kebebasan, demokrasi dan keadilan.
Kemudian menyusul lagi  bukunya  yang terbaru Identity and Violence: the illusion of destiny. Awal tahun ini saya makan tengahhari bersama beliau dan Prof ekonomi Harvard Tharun  Khanna sabelum saya menyampaikan kuliah di Univ Harvard. Ketika itu beliau meminta saya memberikan komen untuk dimuatkan dikulit buku yang bakal diluncurkan. Saya terkesan dengan gagasan beliau bahawa pembentukan peribadi mungkin saja merangkul pelbagai sifat dalam satu  tubuh – India, Hindu, toleran dengan Islam, Asia, minat dengan sastera Barat, menguasai pelbagai bahasa. Justeru itu adalah kurang wajar buat dikongkong diri dalam satu petak khusus.
Dan bulan lalu, dalam perjalanan pulang ka Malaysia, saya sempat membaca buku yang dipinjamkan oleh Izzah karya Profnya Sunil Khilnani The Idea of India yang membantu melengkapkan kefahaman mengenai watak dan peribadi India yang rencam, demokratik, dengan pelbagai susuk, sederhana dan melampau, jurang ekonomi yang melebar dan budaya yang segar.
……..
Sejak minggu kebelakangan ini saya mula menghadham semula karya Shakespeare, karenah manusia gelojoh dan tamak kuasa saperti dalam Julius Ceaser, Macbeth,Hamlet dan King Lear; cemburu dalam Othello; cinta dan permusuhan kabilah dalam Romeo dan Juliet; pencerobohan hukum dan tragedi dalam Winters Tale dll. Martin Lings menghimbau sudut keruhanian dalam karya Shakespeare. Saya merujuk karya-karya tersebut termasuk The Age of Shakespeare sebagai persiapan menyediakan kertas utama Persidangan Dunia mengenai Shakespeare yang bakal diadakan di Brisbane pada bulan Julai nanti.

Pendapat Anda

Switch to our mobile site